Jam 9.30 pagi tadi, saya menyampaikan ceramah tentang kepentingan pendidikan di hadapan lebih 200 ibu bapa pelajar sekolah berkenaan. Menurut catatan, sekolah ini telah wujud sejak 70 tahun lalu, iaitu pada 1939 lagi.

Sebenarnya, antara kewajiban ibu bapa terhadap anak-anak ialah memberi pendidikan terutama ilmu fardhu ain kepada anak-anak. Oleh kerana kemampuan itu terbatas, maka dihantarlah anak ke sekolah.

Ketika di rumah, ibu bapa mesti menunjukkan teladan yang baik seperti tidak mengabaikan solat, menyediakan suasana yang kondusif untuk anak-anak mengulangkaji pelajaran seperti hubungan erat ibu-bapa, sebagaimana yang diteladankan oleh Rasulullah SAW.

Setelah ibu bapa memberi amanah kepada guru untuk mendidik di sekolah, menjadi kewajiban kedua pihak pula untuk memastikan pendidikan itu tidak terabai kepada anak-anak. Tatkala guru mengajar, jangan pula ibu bapa menyerahkan 100 peratus kepada guru.

Buatlah perbincangan, temui guru kelas dan guru subjek anak-anak. Sediakan masa kualiti untuk bersama anak-anak, apa yang mereka pelajari di sekolah, siapa kawan-kawan mereka dan seumpamanya.

Terima kasih buat pengerusi PIBG, Puan Guru Besar, seluruh tenaga pengajar dan ibu bapa yang hadir. Mereka tekun mendengar celoteh saya. Terima kasih juga buat sahabat saya Fairuz Bend yang menjadi ejen sehingga saya menjejakkan diri, sampai ke sekolah berkenaan buat pertama kalinya.