Daripada pagi di pejabat, saya menghabiskan beberapa ketika untuk menyiapkan teks untuk tazkirah di Sabah FM. Rakaman tazkirah untuk radio bagi saya tidak semudah ceramah biasa. Maklumlah saya orang baru.

Teks perlu ditulis, kemudian dilatih baca supaya masa tidak terbabas lebih daripada 15 minit yang ditetapkan penerbit.

Selepas asar, saya ke studio. Penerbit rancangan ialah Sdr Maidan bersama-sama dengan DJ Noraidah. Seperti yang saya war-warkan, rakaman akan disiarkan pada pagi isnin jam 6.45 pagi di Sabah FM.

Selepas rakaman selesai, saya terserempak dengan Puan Johara Abdullah, seorang lagi DJ di Sabah FM. Puan Johara adalah seorang muallaf. Ketika saya berceramah minggu lepas untuk warga penyiaran, beliau begitu teruja dan bersemangat mendengar kisah-kisah Rasulullah SAW.

“Ustaz, nanti sambunglah lagi. Mesti banyak cerita Nabi. Ustaz, saya ni muallaf. Mendengar kisah Nabi, saya seronok ustaz”.

Nabi SAW sudah tiada di sisi kita. Tetapi kisah-kisah baginda tetap menjadi teladan sepanjang zaman.