Tengahari semalam (rabu), saya menerima dua panggilan telefon. Kedua-dua panggilan itu mempunyai hasrat yang sama iaitu jemputan ceramah.

Panggilan pertama daripada pejabat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) yang memohon saya mengisi slot tazkirah mingguan setiap khamis. Walaupun notisnya singkat, iaitu tidak sampai 24 jam, saya menerima pelawaan itu kerana tidak mahu menghampakan permintaan orang.

Panggilan kedua saya terima daripada Sabah FM. Seorang DJ menghubungi agar saya bersedia menyediakan teks sesegera mungkin untuk rakaman siaran tazkirah khas sempena Maulidur Rasul SAW.

p8040099Sebentar tadi baru selesai ceramah hampir dua jam di tingkat 5 Wisma MUIS. Saya puas hati kerana dapat meluahkan apa yang saya hajati.

Tambahan penganjur menyerahkan bulat-bulat tajuk tazkirah. Saya mengambil tajuk berkenaan keperibadian Rasulullah SAW.

Nampaknya kakitangan yang hadir sekitar 20 orang itu selesa dengan tazkirah saya. Reaksi itu saya lihat ketika ceramah, tiada yang nampak boring atau tidur, bahkan memberi tumpuan dengan contoh-contoh kehidupan Nabi SAW yang saya utarakan.

Lebih jelas lagi selepas ceramah, apabila Pegawai Tadbir Encik Abd Rashid Yusuf dan Puan Norlia (PA kepada Pengerusi MUIS) nampaknya berpuas hati dengan ‘persembahan’ saya tadi. Alhamdulillah.

Kebiasaannya, apabila berceramah di tempat baru dengan audien yang pertama kali, saya lebih suka santai dan bersembang. Tidak ada stres, cuma sesekali disindir lembut diselangi dengan gelak ketawa. Mudah-mudahan mereka faham apa maksud sindiran itu.

Sementara bahan untuk rakaman Sabah FM belum sampai separuh yang disediakan. Letih juga otak memikirkan. Sebenarnya ketika Maulidur Rasul tahun lepas, saya juga yang mengisi slot ini. Nampaknya penerbit rancangan Saudara Maidan Hj Hamzah berminat dengan saya.

Esok hari Jumaat. Mungkin rakaman dibuat sebelah petang jika penerbit berkelapangan. Rakaman akan disiarkan pada pagi isnin 6.45 pagi selama 15 minit. Insya Allah, Abu Nuha Corner akan ke udara di Sabah FM.