Ada satu kisah.

Ada seorang anak lelaki, punya seorang ibu yang sudah tua. Bapanya sudah tiada sejak ia masih bayi lagi. Jadi ibunya yang bersusah payah menjaga sendirian sehingga ia dewasa.

Kebetulan, dia adalah anak tunggal. Ibunya menjaganya bagai menatang minyak yang penuh tanpa suami selama puluhan tahun dan hidup dalam kemiskinan dua beranak. Kasihnya kepada anak ini tidak boleh dibelah-belah dan ditukar ganti sehinggalah anak ini besar dan bekerja.

pa100010Sampai masa, anak ini pun hendak menamatkan zaman bujangnya dengan seorang gadis yang cantik dan berakhlak mulia. 

Pendek kata gadis  pilihannya  menepati ciri-ciri sebagai muslimah yang baik.

Sebagai seorang anak yang mengasihi ibunya, ia memberitahu dan meminta izin serta perkenan ibunya akan hasrat hatinya untuk mendirikan rumahtangga.

Gambar si gadis dihulurkan, diceritakan secara molek akan keperibadian bakal isterinya.

Permintaan izin anak akhirnya diperkenan ibunya. Majlis perkahwinan berlangsung dengan meriah sekali. Kawan- kawan datang dari merata daerah bagi meraikan kedua mempelai yang sama cantik dan padan.

Rumahtangga mereka berjalan dengan rukun damai. Si ibu yang memberi restu juga tinggal bersama dengan anak menantu. Kebahagiaan mereka semakin terserlah dengan kelahiran anak dan cucu pertama. Ia benar-benar menambah sinar dan kegembiraan di rumah berkenaan.

Walaubagaimanapun, bak kata orang panasnya tidak sampai ke petang.

Si ibu yang menjaga anaknya sedari kecil, begitu cemburu dengan menantu yang sangat berbudi bahasa itu. Ia merasa kasih anaknya telah beralih arah kepada perempuan lain. Sedangkan hakikatnya si anak hanya menunaikan tanggungjawab suami kepada isteri, sedangkan dalam masa yang sama kasihnya kepada ibu tidak berkurang setitik pun.

Si ibu seorang yang sangat sensitif. Ia merasa cemburu jika anaknya membelikan sesuatu untuk isterinya. Bahkan jika si menantu membeli keperluan sendiri dengan duitnya sendiri pun membuatkan si ibu berkecil hati.

Barang-barang dapur di rumah dianggap milik si ibu sendiri. Jika hilang sebiji, atau pecah maka menantu yang baik ini akan dituduh dan disalahkannya. Sebagai menantu yang baik, ia cuma mendiamkan diri, tidak melawan dan cuba memahami sikap ibu mertuanya.

Sebenarnya, bukan sekali ia cuba berbaik dengan ibu mertuanya itu. Banyak kali ia cuba mengambil hati ibu mertua tetapi ada saja halangannya.

Akhirnya, satu malam berlakulah satu detik hitam dalam keluarga ini. Entah semena-mena, teguran menantu agar ibu mertuanya berehat setelah baru pulang dari luar dipandang cemuh oleh si ibu. Menantu yang baik ini dihalau serta merta sehelai sepinggang.

Si anak yang mendengar terkedu dan melopong dengan kejadian itu. Walaubagaimana sikap ibunya, itulah tubuh yang menjaga dan membesarkan dirinya. Ia mengetahui pengorbanan ibu tidak dapat dibalas dengan emas setinggi gunung.

Isterinya yang baik budi itu pula bagaikan menambah dan melengkapkan cahaya rumah. Ia melahirkan zuriat dan keturunannya. Mana mungkin ia akan menyalahkan isterinya yang baik itu.

Allah SWT telah mentakdirkan isterinya yang baik dan penyabar bersuamikan lelaki yang kasihkan ibunya. Allah SWT menguji si anak dengan sikap ibunya, menguji si isteri @ menantu dengan sikap ibu mertuanya.

Kini sebuah cahaya itu sudah malap. Si isteri tidak lagi tinggal bersama dengan ibu mertuanya dan terpaksa tinggal di rumah yang lain. Si suami pula terpaksa berulang alik antara dua rumah. Isteri dan anaknya di sebuah rumah, manakala ibunya di rumah yang lain.

Macam orang berbini dua.

Harapnya cahaya itu akan bersinar kembali. Kesemuanya akan bersatu kembali sebagai sebuah keluarga yang bahagia. Jika mereka membaca ini, pohonlah kepada Allah agar diberikan jalan keluar daripada kesulitan ini.