p8270055Sebentar tadi saya menyampaikan ceramah di Wisma Radio RTM Kota Kinabalu. Ia bukan untuk khusus rakaman radio tetapi ceramah bulanan yang diatur oleh penganjur untuk warga penyiaran.

Tapi saya nampak juga ia dirakam. Mungkin sedutannya akan disiarkan di mana-mana.

Kehadiran lebih kurang 30 orang diketuai oleh Pengarah Penyiaran, Datuk Jumat Engson dan timbalannya Hj Jaafar, bersama staf yang lain termasuk penyampai-penyampai radio yang suara mereka sering berkumandang di Sabah FM.

Ceramah berlegar tentang keperibadian dan akhlak luhur Rasulullah SAW. Sebagai orang yang berada di dunia penyiaran dan berkait langsung dengan dunia hiburan, saya bandingkan dunia artis yang yang maklumatnya di dalam genggaman mereka berbanding pengetahuan tentang peribadi Nabi SAW.

Ramai orang tahu artis itu dan ini, jam berapa dia bangun, di mana dia tinggal, apa aktiviti mereka, apa menu kegemaran mereka, warna yang mereka gemari dan sebagainya.

Malangnya terhadap diri Rasulullah yang kita katakan sebagai contoh teladan seluruh alam itu, secubit tentang diri nabi tidak kita ketahui.

Bagaimana tubuh nabi, rambutnya, matanya, dahinya, hidungnya, giginya, dadanya, perutnya, tumitnya. Apa warna kegemaran nabi, apa makanan kesukaan nabi, bagaimana pakaian nabi, bagaimana pergaulan nabi dengan isteri-isteri, anak, cucu, sahabat, jiran dan musuh?

Bagaimana baginda berkomunikasi dengan para sahabat yang pelbagai ragam itu? Tidakkah nabi itu pandai bergurau? Adakah nabi hanya asyik berperang sepanjang hidupnya?

Bagaimana ibadah nabi sebagai seorang hamba Allah yang telah diampunkan dosanya terdahulu dan akan datang?

Entahlah.

Seseorang yang kasih akan seorang yang lain, akan mengambil berat tentang orang itu. Bagaimana kehidupannya, makan minumnya, keperluannya.

Kita masih tidak kenal siapa nabi kita. Tapi kita kata kita cinta dengan nabi.  Kita masih tidak mengikut apa nabi suruh. Kita belum tinggalkan apa yang nabi larang.

Kita kata kita cinta nabi.

Advertisements