Saya sedang menyiapkan beberapa artikel untuk kuliah dan ceramah sepanjang hujung minggu ini. Tertarik dengan beberapa hadith Rasulullah SAW berkenaan ganjaran orang yang melakukan kebaikan. Perhatikan hadith berikut :

“Sesungguhnya aku telah melihat seorang lelaki bermundar mandir, bersenang lenang di dalam syurga. Puncanya di dunia dahulu dia telah memotong satu pokok yang mengganggu perjalanan orang Islam”. (HR Muslim)

Hadith ini umum bentuknya. Tetapi apabila membaca hadith ini, saya terkenang kepada beberapa kejadian ribut taufan, angin kuat dan seumpamanya. Terkenangkan juga pekerja-pekerja bandaraya tanpa mengenal masa bersusah payah dan berpenat lelah membersihkan jalanraya setelah pokok tumbang menghalang laluan pengguna jalanraya.

Bukan pekerja bandaraya sahaja, bahkan kepada makcik pakcik pembantu am rendah yang ditugaskan menyapu sampah, membersihkan pejabat dan seumpamanya juga termasuk dalam kategori sedekah yang disebutkan oleh Nabi :

“..Engkau membuang, menyingkirkan benda yang menyakitkan (kotor, tajam dan sebagainya) daripada laluan orang adalah sedekah (berpahala)”.

Ingatlah, semua kebaikan kita lakukan itu bukannya percuma di sisi Allah. Ia bernilai. Ganjarannya tiada lain kecuali syurga, selama ia menunaikan kewajiban ibadah khusus terutama solat.

Advertisements