Setelah 3 hari di luar kawasan, hari ini kembali ke pejabat.

Melihat tugasan-tugasan yang bakal dilakukan, terdapat 3 perkara yang berkait dengan masalah aqidah untuk disentuh hari ini.

Selasa lepas, sehari sebelum bertolak ke K.Terengganu, ada laporan lagi berkenaan pemasangan jubin lantai bertulis kalimah Allah. Sebelum ini sudah terdapat beberapa tempat dikesan menggunakan jubin sedemikian, dan tindakan sudah diambil.

Kali ini menurut laporan ia berlaku lagi. Khabarnya pula di premis perjudian. Insya Allah sebentar lagi saya akan keluar meninjau tempat berkenaan.

Pada sabtu lepas, sahabat wartawan Sdr Abd Naddin daripada Utusan Borneo telah melaporkan kitab terjemahan al-Quran Mahmud Yunus mengandungi kesilapan. Ia kurang daripada apa yang sepatutnya.

Ust Abu Hurairah Abd Rahman yang menemui kesilapan berkenaan. Insya Allah, ia juga akan disentuh hari ini.

Satu lagi peristiwa yang berlaku minggu lepas dan akan berlaku lagi rabu ini ialah adat istiadat mandi safar. Sebenarnya beberapa pegawai daripada jabatan ini ada membuat rondaan minggu lepas. Bahkan pihak polis sudah mengarahkan mereka yang terlibat agar naik semula ke darat dan kembali ke rumah masing-masing.

Khabarnya, di Teluk Likas, ribuan orang bermandi manda atas fahaman membuang sial pada setiap rabu dalam bulan Safar sejak awal pagi lagi. Maklumat itu juga telah diberi kepada saya rabu lalu, tetapi ketika itu saya berada di LTAKK untuk ke KL.

Jalan penyelesaian akan dibincangkan hari ini, insya Allah. Kepada pemberi maklumat, setinggi penghargaan.

Advertisements