Archive for 11 Februari 2009


MANUSIA SERBA BOLEH?

Satu ketika dahulu, ketika masih belajar, ada keluarga terdekat melangsungkan perkahwinan. Seperti kebiasaan, semua ahli keluarga hadir dan membantu mana yang diperlukan mengikut kemampuan masing-masing.

Satu petang, setelah kenduri selesai, diadakan pula majlis kesyukuran dan doa selamat kerana majlis perkahwinan selamat berlangsung tanpa apa-apa masalah. Seingat saya, pada awalnya saya diminta memimpin doa selamat itu.

Tiba majlis kesyukuran itu, datang seorang tua yang dihormati kerana tuanya, bukan kerana kepandaiannya, lalu memimpin majlis berkenaan. Saya tidak ada masalah. Habis.

Malam itu, ada satu lagi acara. Acara potong kek dan kemudian tari menari, berjoget dan seumpamanya. Acara potong kek itu dibuat dalam acara kekeluargaan, hadirinnya tidak ramai. Semua ahli keluarga bergembira dengan kehadiran ahli baru iaitu menantu dan abang ipar.

Di perkarangan rumah, setelah itu, kumpulan gitar rancak (kugiran) sudah bersedia mengambil tempat. Dimulakanlah majlis tari menari dengan lagu berirama joget. Pada mulanya, tiada siapa yang turun untuk menari.

Tidak lama kemudian, datang seorang tua ‘merasmikan’ tari menari itu dengan seorang perempuan tua yang bukan isterinya. Rupa-rupanya, orang tua itulah yang membacakan doa kesyukuran pada petang tadi.

……..

Sengaja saya membawakan kisah ini untuk mengingatkan kita semua. Ramai orang pada zaman ini mengambil sikap menjadi manusia serba boleh dan serba pandai.

Waktu malam, dia boleh menjadi imam dan bilal masjid dan surau di kampung, boleh berzanji, bermarhaban, mengaji al-Quran, dalam masa yang sama dia juga handal berkaraoke dan menari.

Tarian zaman ini bukan calang-calang. Poco-poco lagi. Dia menari berpasangan dengan isteri orang, atau dengan suami orang. Dia tidak kisah bersentuhan dan berpelukan dengan perempuan atau lelaki lain.

Pagi-pagi dia boleh jadi imam solat subuh, selepas itu berjogging keliling taman berseluar pendek.

Begitu juga waktu petang meluangkan masa bermain bola di padang, sehingga melewati maghrib. Nanti waktu isyak dia datang lagi ke masjid atau surau.

Dia juga boleh juga hadir di konsert Siti Nurhaliza, Misha Omar dan seumpamanya. Dalam masa yang lain, dia juga hadir ke majlis tilawah al-Quran dan forum ehwal Islam. Lebih hebat lagi hadir ke konsert (mungkar) itu, solatnya tidak tinggal, tudungnya pun tidak tanggal. (Rupanya dia tidak faham konsep dan falsafah menutup aurat).

Bulan ramadhan dia rajin bertarawih. Jadi imam atau bilal di kampung. Ikut tadarrus selepasnya. Subuh-subuh dia hadir lagi ke surau. Habis ramadhan, kepalanya bertanduk semula. Pegang perempuan sana sini, karaoke raya lagi dan sebagainya.

Kaum hawa pula, begitu bagus menutup aurat tetapi hanya masa tertentu. Sembahyang dia wajib tutup aurat. Ada ceramah agama, kelas mengaji, orang meninggal. Tapi habis semua itu tudung dilempar entah ke mana.

Majlis ‘tapauwe’, kenduri kahwin, pergi shopping dia pun tunjuk jambul. Dia mula menunjukkan wajah sebenar.

Ada orang boleh hadir ke majlis karaoke amal, dangdut amal, konsert amal, dalam masa yang sama juga boleh hadir majlis tahlil, tadarus al-Quran dan sebagainya. Begitulah rutinnya saban hari, saban minggu, bulan dan tahun. Betul-betul serba boleh.

Begitulah juga yang berlaku kepada sesetengah pemimpin. Malam ini dia rasmikan tilawah al-Quran, malam esok dia hadir konsert artis. Malam lusa pergi masjid. Malam tulat pergi hotel (sx).

Lebih dahsyat kaki nombor. Waktu tengahari dia asyik di kedai judi itu, malam-malam dia hadir dengar kuliah dan ceramah di masjid.

Tetapi ramai dikalangan pelaku ini tidak menyedari kesilapan yang mereka lakukan. Mereka menganggap itu sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan yang tidak ada salahnya. Perhubungan sesama masyarakat sekampung, setaman atau rakan pejabat mesti diraikan walaupun dalam perkara yang haram.

Ada juga sebahagian mereka ini mengetahui kesalahan itu tetapi menganggap hanya kesalahan kecil yang boleh dimaafkan. Nanti malam-malam, istigfar saja.

Bagaimana nanti kalau perangai itu jatuh ke anak cucu. Lelaki miang suka peluk dan pegang anak dara kita. Anak dara kita pula jenis perempuan yang suka menyundal. Zaman itu mungkin kita sudah bertaubat (kalau sempat). Anak cucu kita bagaimana? Sukakah kita menjadi manusia serba boleh itu? Ma’ruf pun buat, mungkar pun ok.

Wahai para ulama’, para ustaz, tolong tegur dan betulkan kesilapan ini. Wahai para pemimpin, tolong tunjukkan akhlak yang mulia. Berikan teladan dan contoh yang baik buat rakyat dan orang bawahan.

Sesungguhnya kita semua akan disoal.

Hadith Rasulullah SAW : “Agama itu adalah nasihat”. Kami bertanya : “Bagi siapa?” Jawab baginda : “Bagi Allah, RasulNya, bagi pemimpin umat Islam dan rakyat mereka”.

Advertisements

p2100919Petang semalam, saya membeli buku ini di Kedai Deen di Wisma MUIS, dan alhamdulillah pagi ini saya selesai membacanya. 

Dalam kehidupan bermasyarakat kita dengan pelbagai kaum, suku dan agama, sudah tentu kita akan bertembung dengan bermacam-macam perkara yang membingungkan kita. Boleh atau tidak? Halal atau haram?

Buku ini menjelaskan banyak persoalan yang ada dalam masyarakat majmuk kita dan prinsip yang harus dipegang oleh umat Islam.

Ia diikat lagi dengan nas al-Quran dan hadith, pendapat para ulama mazhab, ahli hadith dan ulama-ulama’ lainnya serta pandangan penulis dalam suasana di Malaysia khususnya.

Bak kata penerbit, ada 2 perkara yang mesti dipertimbangkan dalam interaksi kita bersama non muslim.

Pertama syariat dan kedua strategi, iaitu matlamat dakwah kita terhadap mereka. Untuk menarik perhatian saudara, saya catatkan 12 bab bersama tajuk perbahasan yang dibincangkan di dalam buku ini.

Bab 1 : Fiqah Iman dan Agama.

Perbahasan : Hukum berkongsi menyambut perayaan non muslim; muslim memasuki rmah ibadah agama lain; non muslim memasuki masjid; ucapan tahniah sempena perayaan agama lain; upacara tafakur di hadapan patung; perebutan jenazah muslim antara muslim dengan non muslim; jualan kitab agama lain secara terbuka.

img_0377Bab 2 : Fiqah Bersaudara, Berjiran dan Berkawan.

Perbahasan : Mengucap salam kepada non muslim; menjawab salam non muslim; berjabat tangan dengan non muslim; berjiran dengan non muslim; tinggal serumah dengan non muslim; menerima hadiah daripada non muslim ataupun memberikan hadiah kepada mereka; ziarah non muslim yang sakit atau meninggal dunia; nafkah ibu bapa non muslim.

Bab 3 : Fiqah Makanan

Perbahasan : Non muslim belanja makan; jamuan makan di rumah non muslim; haiwan sembelihan non muslim (bukan ahli kitab); haiwan sembelihan ahli kitab; haiwan sembelihan yang disebut nama selain Allah; haiwan sembelihan sempena perayaan agama non muslim; ikan jualan non muslim; kelapa yang dipecahkan sempena deepavali; produk makanan keluaran syarikat non muslim; ayam diberi makanan yang diperbuat daripada khinzir; daging korban dimakan non muslim.

Bab 4 : Fiqah Kenajisan Anjing

Perbahasan : Bejana yang dijilat anjing; 7 kali basuhan; kenajisan anjing; bersentuhan dengan anjing; menyentuh tempat yang disentuh oleh anjing; rumah pemilik sebelumnya membela anjing; baju dijilat anjing; memelihara anjing.

Bab 5 : Fiqah Pengharaman Khinzir

Perbahasan : Pengharaman Ddaging khinzir sebagai makanan; sebab daging khinzir diharamkan; segala organ khinzir haram dimakan; keharusa makan khinzir ketika darurat; kenajisan khinzir; cara membersihkan bekas yang terkena khinzir; samak mulut kerana termakan daging khinzir; makanan bercampur daging khinzir; menternak khinzir; memanfaatkan kulit khinzir; ubat-ubat yang diperbuat daripada khinzir; daging lembu dijual bersebelahan daging khinzir; baja najis khinzir.

Bab 6 : Fiqah Pengharaman Arak

Perbahasan : Dalil pengharaman arak; jenis-jenis arak zaman ini; kenajisan arak; jamuan yang menghidangkan arak; kerjaya berkaitan arak; arak sebagai ubat; pelaburan dalam syarikat arak.

Bab 7 : Fiqah Muamalah

Perbahasan : Jual beli dengan non muslim; muamalah dengan syarikat yahudi; menghantar anak kecil ke pusat asuhan non muslim; non muslim menjual dan membeli al-Quran; kitab dan buku agama Islam diberikan kepada non muslim; rumah muslim atau premis milik muslim disewa kepada non muslim; muslim bekerja dengan majikan non muslim.

Bab 8 : Fiqah Perubatan

Perbahasan : Doktor non musli merawat pesakit muslim; derma organ kepada non muslim; penerimaan organ daripada non muslim; penerimaan darah daripada non muslim.

p2040784Bab 9 : Fiqah Aurat

Perbahasan : Aurat antara wanita muslimah dengan wanita non muslim; fesyen; pakaian khas untuk non muslim.

Bab 10 : Fiqah Perkahwinan

Perbahasan : Bercinta dengan non muslim; wanita muslimah berkahwin dengan lelaki non muslim; berkahwin dengan ahli kitab.

Bab 11 : Fiqah Siasah

Perbahasan : Non muslim dalam negara; bekerjasama dengan non muslim; mengangkat non muslim sebagai wakil rakyat; kerjasama politik (tahaluf siyasi); jizyah; jihad menentang non muslim.

Bab 12 : Fiqah Menganut Agama Islam

Perbahasan : Berkhatan; qadha ibadat yang tidak ditunaikan semasa belum Islam; amal kebaikan semasa masih non muslim; tukar nama kerana masuk Islam; wajibkah memberitahu keluarga tentang pengislaman, muslim baru tidak tahu solat; hukuman jenayah murtad ialah bunuh.

Tahniah kepada Ust Mohammad Nizam Abdul Kadir yang menulis buku ini juga penerbit Hj Waharp Yusoff bersama tenaga kerjanya dalam Telaga Biru Sdn Bhd. Untuk makluman cetakan pertama buku ini ialah pada Januari 2009. Beli jangan tak beli!

%d bloggers like this: