p1260260Sepanjang dua hari dua malam di Kota Jakarta, kami bermalam di hotel ini. Hotel Gren Alia, Jalan Cikini adalah salah satu rangkaian Hotel Alia, yang termasuk dalam senarai hotel syariah. Hotel Syariah bermakna ia menurut peraturan syariah Islam dalam menjalankan urusannya.

Tidak ada pub atau disko hotel, tiada perempuan jalang yang mengetuk pintu bilik hotel pada waktu malam mencari pelanggan, tiada arak dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, ia melaksanakan dasar Islam yang boleh dibuat melalui hotel berkenaan. Contohnya, kadar kos yang sederhana, – sekitar RM100 semalam  – dan paling menonjol sekali, ia mempunyai masjid di dalam bangunan hotel.

p1270579Sehingga saat terakhir untuk berangkat pulang, menanti van tiba menjemput, barulah saya mengetahui ada masjid di dalam hotel berkenaan. Kami mengambil kesempatan menyertai solat zuhur berjamaah.

p1270642Masjid Hotel Gren Alia terletak di lantai (tingkat) satu.

Boleh memuatkan sekitar 300 jamaah pada satu-satu masa, termasuk ruang untuk muslimat.

Bukan sekadar tempat solat lima waktu, juga diadakan solat fardhu Jumaat, ada mini perpustakaan, sebuah almari kecil menjual barangan keperluan harian dan ruang wudhu yang selesa dan bersih.

Selain menjadi kemudahan untuk penghuni hotel, nampaknya jamaah masjid juga terdiri daripada pekerja hotel, dan orang awam yang berada di sekeliling hotel.

Inilah cara pengurusan hotel berdakwah menurut kemampuan mereka. Mudah-mudahan usaha itu dapat dicontohi di hotel-hotel dalam negara kita.

Selepas solat zuhur, kami berangkat meninggalkan hotel Gren Alia menuju ke Bandar Udara Antarabangsa Sokarno Hatta.

p1270698Rombongan bergambar kenangan di Bandar Udara Internasional Sukarno Hatta, Jakarta sebelum pulang ke Kota Kinabalu.

Penerbangan Air Asia meninggalkan Kota Jakarta Indonesia pada jam 5.10 petang (waktu Indonesia Barat) menuju Kota Kinabalu dan tiba pada jam 9 malam (waktu Malaysia). Alhamdulillah.