Satu perkara yang perlu kita ketahui tentang sikap orang Indonesia secara umumnya, ialah mereka adalah manusia yang rajin bekerja, cepat menghidu ruang dan peluang untuk mencari sara hidup.

Itulah yang kami perhatikan sepanjang berada di Jakarta dan Bandung dalam tempoh yang singkat.

Lihat saja ramainya ‘unit amal’ di setiap tepi jalan. Memerhati dan mengawasi kenderaan yang keluar masuk parkir bagai polis trafik tanpa disuruh. Kemudiannya mereka akan menerima upah 1000 rupiah atau kira-kira 30 sen lebih.

Semakin banyak kenderaan yang boleh mereka ‘atur’ keluar masuknya, maka kocek mereka pun banyak ‘masuk’ sama.

Belum lagi dikira mereka yang berjalan di sepanjang jalanraya sambil menjual suratkhabar, air minuman, biskut, kuih muih, alat mainan dan sebagainya. Tidak kurang juga yang mencuci kereta, menjual ais krim, buah-buahan dan lain-lain walaupun sudah diberi amaran dan dilarang.