Rehat dan keluar sebentar daripada cerita Jakarta.

Tengahari tadi, saya menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid dalam Parlimen Putatan. Lebih baik saya tidak nyatakan. Ada beberapa perkara yang menjadi perhatian kali ini.

1. Teks dan khatib

Isu kali ini berkenaan kegawatan ekonomi antarabangsa yang turut dialami oleh negara kita. Ia asalnya teks JAKIM dan diambil oleh JHEAINS untuk edaran seluruh Sabah. Di pihak JHEAINS, saya yang mengedit semula teks berkenaan sebelum diterbitkan.

Saya teruja mendengar penyampaian khatib yang lancar dan lantang. Cuma saja apabila masuk kepada ayat al-Quran atau hadith seringkali dimulakan dengan “… yang bermaksud..”, tanpa membaca teks bahasa Arabnya kecuali sedikit untuk melepaskan rukun sahaja.

Saya perasan perkara itu berlaku kerana saya yang mengedit teks berkenaan. Asyik-asyik “yang bermaksud”. Apabila diperhati bacaan teks berbahasa Arab mereka, sebenarnya nampak lemah. Hanya barangkali orang awam tidak menyedari perkara itu.

Sebenarnya bukan khatib ini saja. Saya acap mendengar ramai khatib melakukan taktik begini. Apakah untuk menjimat masa atau kerana kelemahan diri, Allah lebih mengetahui. Tetapi di pihak PTA dan PPTA mesti melakukan sesuatu untuk memantapkan penguasaan pengucapan khutbah para khatib.

Keduanya, saya seringkali mengimpikan agar setiapkali sesuatu isu dibentangkan di atas mimbar, ia disampaikan oleh orang yang benar-benar ahli supaya penyampaian itu selaras dengan ilmunya. Misalnya, soal rasuah disampaikan oleh pegawai SPRM, soal dadah dibentang oleh pegawai narkotik atau PEMADAM, soal jenayah diutarakan oleh PDRM dan begitulah seterusnya.

2. Wudhu yang tidak sempurna

Ketika selesai khutbah pertama, saya terpandang seorang jamaah yang mengambil wudhu secara sambil lewa di tepi masjid.

Seingat saya, dan memang jelas basuhan tangan tidak benar-benar ke hujung siku, walaupun yang sebaiknya dilebihkan. Begitu juga basuhan kaki tidak sampai ke sempadannya. Saya ingin sekali menegurnya, apakan daya khutbah sedang berlangsung.

Selesai Jumaat dia sudah menghilang.

3. Sujud tidak cecah ke lantai

Ni lagi pelik. Solat saya benar-benar terganggu. Bukan jauh, tapi hanya bersebelahan. Ketika sujud itu, saya benar-benar perasan orang sebelah tidak mencecahkan kepalanya ke lantai. Rasanya hanya seperti orang merangkak. Mungkin jarak kepala dan lantai sekira-kira sejengkal.

Saya sangka baik saja, mungkin dia tidak sihat dan ada sebab yang tidak diketahui. Ingin sekali saya bertanya selepas selesai. Seusai salam, dia menadah tangan dan langsung keluar laju.

4. Bertemu sahabat lama – Ust Hisham Yahya

Ust Hisham adalah sahabat yang pendiam sejak zaman sekolah sehinggalah ke Universiti al-Azhar di Kaherah.

Selepas solat itu kami terserempak dan bersembang. Rasanya sejak kembali ke tanahair kami tidak bertemu walaupun sama-sama duduk dan bertugas di Kota Kinabalu.

Saya calonkan namanya kepada tuan imam yang lalu pulang agar memasukkan beliau sebagai khatib di masjid berkenaan. Dengan malu-malu, imam itu mengiyakan saja. Tunggulah.

Terkenal sebagai pelajar pintar dan kami gelarkannya mufti dengan sebab waraknya. Alhamdulillah, sejak awal tahun ini, beliau bertugas di unit Falaq, Pejabat Mufti Negeri Sabah.