Kami tiba di Bandar Udara Soekarno Hatta Jakarta pada malam minggu, 12.28 tengah malam atau 11.38 malam waktu Indonesia Barat (WIB), dan langsung ke Bandung dengan sebuah van pelancong yang sudah diatur terlebih awal. (Bandar udara ditakrifkan sebagai lapangan terbang).

p1250029Di dalam perjalanan kami singgah di sebuah kawasan rehat di km 57, yang menempatkan stesen minyak pertamina, restoran, kedai runcit, juga sebuah masjid yang indah.

p1250034Ketika jam 1.30 WIB itu masih ada restoran yang buka.

Ada beberapa perkara yang saya teruja dan pelik juga melihat suasana di sini walaupun baru tiba 2 jam sebelumnya.

Di hadapan restoran Raihan itu, terdapat sebuah tabung infaq untuk Pondok Pasentren Tarbiyyatul Falah.

Bagus, detik hati saya. Ertinya sebuah restoran punya tanggungjawab sosial dan agama untuk memajukan pasantren.

Selepas itu, saya mengambil pula minuman Sprite untuk menghilang dahaga. Sahabat-sahabat lain ada yang sekadar mengambil air mineral dan ada juga yang mengisi perut dengan menu berat.

p1250040Nampaknya di dalam peti sejuk, minuman halal dan haram diletak sekali dan bercampur.

Di tempat kita, walaupun masih dijual sekurang-kurang masih dibezakan ruang halal dan haram. Tambah lagi yang menjualnya peniaga muslim.

Saya ada bertanya kepada pekerja restoran itu yang merupakan adik kepada empunya restoran.

Katanya, sebagai seorang Islam dia maklum keharaman arak, tetapi dia hanya seorang pekerja. Lagipun katanya ada permintaan daripada kalangan pemandu-pemandu lori yang sering singgah ke sana.

Akhirnya agama hanya sebagai milik peribadi. Terpulanglah bagi yang hendak mengamalkannya.

Saya mulanya rasa pelik melihat dua situasi ini. Ada tabung infaq untuk pondok, kemudian arak di peti sejuknya dijual secara bebas dan bercampur sekali dengan minuman halal.

Cikgu Roslan menguraikan kekusutan itu, katanya : “Sedangkan dalam rumah pun boleh bercampur agama, inikan pula minuman di dalam peti sejuk”.

Masjid at-Taubah

p1250028Di sisi kawasan rehat itu terdapat sebuah masjid indah. Ia telah dirasmikan pada September 2006 oleh seorang ulama terkenal K.H. Abdullah Gymnastiar.

p1250043Ruang solatnya boleh memuatkan lebih 400 jamaah yang singgah untuk menunaikan solat, berehat dan membersihkan diri.

Ukiran khat yang menghiasi sangat menarik sekali, begitu juga seni bina bangunannya begitu indah. Bukan sekadar solat 5 waktu, bahkan khabarnya masjid ini juga mendirikan solat fardhu Jumaat.

Sementara kelihatan tandas dan bilik airnya bersih, mungkin ada penjaganya. Di bilik air, terdapat bilik untuk kemudahan orang kurang upaya (OKU).

 Kawasan persinggahan ini telah dianugerahkan pengusaha terbaik pada akhir 2008 lalu.

p1250052Alangkah baiknya semua tempat persinggahan stesen minyak di negara kita jika dilengkapi dengan kemudahan sebegini.

Tandas dan bilik air di Masjid at-Taubah

Tandas dan bilik air di Masjid at-Taubah

Stesen minyak petronas juga punya ruang untuk solat, tetapi biasanya dikunci, ada yang kotor, busuk, tidak terjaga dan sebagainya.

 

Lihatlah surau mereka di beberapa stesen di seluruh negara, khusus di Sabah. 

Saya kurang pasti adakah stesen minyak lain ada kemudahan sebegini.