Dari lokasi masjid tertinggi, di Pusat Islam UiTM jam 8 pagi tadi saya menyampaikan ceramah berkaitan aqidah dan kecemerlangan.

Di hadapan kira-kira 200 siswa siswi baru itu, saya menjelaskan kecemerlangan dunia akhirat dan kaitannya dengan aqidah.

Ada kawan-kawan yang bukan Islam, nampak baik tetapi rugi sebab tidak beriman kepada Allah SWT. Ada orang Islam pula, cukup mengucap 2 kalimah syahadah di bibir tanpa bukti amalan. Sembahyang tidak, puasa tidak, sedekah tidak, berjudi tidak, minum arak pun tidak.

Jadi kecemerlangan itu bermula dengan aqidah yang sahih dan mantap.

Dalam petunjuk hadith-hadith Nabi SAW juga menjelaskan kaitan iman dengan kemasyarakatan. Sering kita mendengar hadith sedemikian, iaitu iman dikaitkan dengan kejiranan, tamu, menjaga lidah, mengasihi orang beriman lain, dan seumpamanya.

Perkara itu juga saya kaitkan dengan persoalan kubur, soal jawab di dataran mahsyar supaya dalam hidup ini kita tidak melakukan sesuatu perbuatan dengan semberono saja.

Jadi jelaslah bahawa iman itu bukan sekadar ucapan di bibir, tetapi dibuktikan dengan amalan, sama ada hubungan kepada Allah atau hubungan sesama manusia.

Ceramah berakhir 9.20 pagi dengan laungan takbir sebanyak 3 kali.