Mendapatkan satu ilmu, pengajaran dan teladan bukan mesti daripada seorang guru, ustaz atau ulama terbilang tetapi boleh jadi daripada orang biasa saja, bahkan boleh saja daripada haiwan dan alam ini.

Kisah ini saya sudah pendam dan ketahui sejak sekolah menengah lagi tetapi sangat baik untuk dijadikan pengajaran. Baru-baru ini saya bertemu dengan empunya kisah setelah berkuliah di Surau an-Nur Taman Limauan, Kinarut.

Pernah seorang junior sekolah di SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah dahulu bercerita tentang keluarganya, khusus bapanya sendiri.

Bapanya bernama Tuan Hj Ahmad Hassan. Dia cuma orang biasa, bukan ustaz, bukan ulama’, bukan pegawai tinggi, dia seorang hamba Allah yang bekerja sebagai juruwang di Restoran Rahmat di Segama sejak 30 tahun lalu.

Sebenarnya yang paling menarik perhatian saya, ialah unsur didikan yang diterapkan oleh Hj Ahmad ini kepada anak-anaknya yang seramai 9 orang itu.

Kata salah seorang anaknya, ketika mereka masih bersekolah, setiap minggu mereka akan berkumpul sekeluarga dan membaca hadith-hadith Rasulullah SAW. Tidak lama, cuma sekitar 10-15 minit. Anak-anak yang masih kecil juga mesti duduk mendengar dan berada di dalam majlis itu walaupun mereka tidak memahaminya.

Sebagai seorang bapa, apabila dia pulang daripada bekerja, soalan wajib untuk anak-anaknya ialah : “Sudah sembahyang?”

Peristiwa itu berlaku lama dahulu, kira-kira 15 tahun lalu dan berlangsung agak lama.

Tetapi kesannya boleh mula kelihatan sekarang, apabila 5 daripada mereka sudah / hampir menamatkan pengajian di peringkat universiti. Ada yang mengaji di UMS, UIA, Unitar dan UiTM dengan tidak mengabaikan akhlak Islam yang diterapkan dalam keluarga sedari kecil mereka.

Pengajaran paling penting buat kita hari ini, mampukah kita mengumpulkan ahli keluarga, duduk bukan untuk menonton tv atau makan bersama tetapi berkumpul bagi mendengar hadith-hadith Rasulullah SAW?

Sesungguhnya Tuan Hj Ahmad sudah melakukan sesuatu untuk ahli keluarganya agar cintakan Rasulullah SAW.