Keyakinan saya sangat tinggi sejak awal lagi bahawa PAS akan menang kerusi Parlimen Kuala Terengganu semalam atas dua faktor. Faktor dalaman dan faktor luaran.

Faktor dalamannya yang sangat saya yakini apabila Tuan Guru Hj Abd Hadi yang diberi mandat memilih calon telah mendahulukan istikhar dan istisyar sebelum keputusan calon PAS diumum.

Solat istikharah kepada Allah agar diberikan hidayah menamakan calon terbaik, dan berbincang, bermesyuarat dengan pelbagai pihak untuk mendapatkan pandangan. Sedang istikhar dan istisyar ini menurut janji Nabi SAW, bahawa bagi yang melakukannya tidak akan rugi dan menyesal.

Maka itulah yang berlaku dan diumumkan 10.30 malam tadi.

Faktor luaran ialah apabila pihak UMNO dan BN mempermain-mainkan hukum hudud. Bersenda gurau dan memperlekeh hukum hudud hanya akan mendatang murka Allah SWT, bukan setakat murka Sultan Mizan yang telah memperkenankan enakmen undang-undang Islam di bumi Terengganu.

Kehinaan bagi sesiapa yang terlibat mempermain dan mempersenda hukum Tuhan, kerana hudud itu bukan manusia punya tapi dari Allah SWT. Kewajiban melaksanakan hudud, qisas dan takzir sama saja dengan kewajiban solat, puasa dan zakat.

Mereka yang menentangnya sama macam menentang Allah SWT. Mereka hendak berperang dengan Allah SWT.

Apa kita hairan dengan Yahudi yang membunuh bayi, kanak-kanak, wanita dan orang tua, sedangkan zaman dahulukala para Nabi pun dibunuhnya?

Apa kita hairan dengan pemimpin UMNO yang suka menzalimi dan mempermainkan rakyat, sedangkan hukum Tuhan pun dibuatnya senda gurau dan bahan permainan?