Sering kita mendengar para ustaz dan ilmuan agama mengungkap dan menghuraikan hadith yang tidak sedikit berkenaan persaudaraan seaqidah umat.

Ada ketika Nabi SAW pernah menyatakan bahawa umat Islam ini seperti satu tubuh. Apabila satu anggota merasa sakit, yang lain akan sakit dan terpaksa berjaga sama.

Ketika lain Nabi SAW  pernah mengatakan bahawa umat Islam seperti satu bangunan yang saling melengkapkan antara satu dengan yang lain.

Pernah juga baginda SAW mengeluarkan amaran bahawa umat Islam yang tidak prihatin dengan saudaranya, tidak diakui sebagai umat Islam.

Sejak berakhirnya pemerintahan khilafah Islamiyyah di Turki pada 1924, bermulalah selepas itu siri penjajahan demi penjajahan ke atas bumi umat Islam oleh penjajah kuffar. Penjajah ini, antaranya Amerika, Britain, Belanda dan Portugis memfaraidkan kawasan untuk mereka takluk.

Penjajahan berlaku, negara yang dijajah kemudiannya dimerdekakan dan dibahagi-bahagikan atas nama negara bangsa. Dimasukkan kefahaman ke dalam pemikiran umat Islam agar menyintai negara semata-mata, sehingga membuang perasaan kasih dan simpati kepada umat Islam di tempat lain. Itulah nasionalisme.

Aku Arab Mesir. Aku Arab Saudi. Aku Arab Jordan. Aku Arab Sudan. Aku Arab Iraq. Aku Arab Qatar. Aku Arab Maghribi. Aku Arab Emirat. Yang penting negaraku selamat. Cukup!

Tidakkah kita terbayang, hakikatnya Yahudi itu hanya tidak sampai 20 juta diseluruh dunia. Sementara orang Islam di bumi Arab saja mencecah ratusan juta. Bagaimana kita boleh membiarkan umat Islam di sebuah negara, disiksa begitu rupa tanpa pembelaan?

Apabila umat Islam disibukkan dengan hal ehwal dalaman negara sendiri dan mengabaikan penderitaan dan urusan saudara mereka di negara lain, maka mudahlah musuh untuk menyerang umat Islam yang mereka sasarkan.

Para ulama’ telah berjuang bersungguh-sungguh untuk menanamkan kembali kefahaman yang sebenarnya terhadap Islam dan ukhuwwah kepada para penganut agama ini.

Sebenarnya, apabila berlaku musibah seperti hari ini, lebih memudahkan ruang untuk kita mengajar tentang erti kasih sayang dan persaudaraan yang tidak ada tolok bandingnya.

Hari ini kita dipisahkan dengan visa dan pasport walaupun hakikatnya kita bersaudara. Walau umat Islam di Palestin ditimpa musibah, hakikatnya kitalah semua yang ditimpa musibah itu, kerana umat Islam adalah bagaikan satu anggota tubuh.

Tidaklah wajar untuk kita berdiam diri, atau masih disibukkan dengan Raja Lawak, Macam-Macam Aznil, Geng Starz, Tom-Tom Bak, Jom Heboh, Gadis Melayu.. aduh!!

p9100030Mari kita galakkan masjid, surau dan apa-apa saja majlis pertemuan kita mulai atau akhiri dengan solat hajat, mudah-mudahan Allah memberi kemenangan, ketenangan, ketabahan, kekuatan, kemuliaan dan seumpamanya kepada umat Islam di Palestin khususnya, dan seluruh umat Islam amnya di mana sahaja umat Islam diperangi di seluruh dunia.

Sekaligus Allah meranapkan musuh-musuh agama ini, Yahudi yang melampau, Amerika yang takbur, puak-puak sekularisme yang terkeluar daripada Islam.

Bak kata Ust Yusuf Embong, doalah bantuan terpantas yang boleh kita lakukan.

Ketahuilah bahawa umat Islam adalah umat yang satu. Agama mereka satu, Tuhan mereka satu, qiblat mereka satu.

Apa lagi. Pergilah ke surau atau masjid. Buat solat hajat!