Banyak sangat cerita sepanjang berada di Kudat sehingga terlewat cerita soal sekolah anak.

Nuha sudah masuk kelas untuk 6 tahun di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Nur Fathonah, Pekan Putatan. Adiknya Hana pula memulakan persekolahan di kelas untuk 4 tahun di PASTI yang sama.

Sebelah petang, kami sepakat memasukkan Nuha ke sekolah agama di Pusat Pendidikan an-Nur, Taman Austral dalam darjah 1. Ini untuk memudahkannya nanti peperiksaan darjah 6. Ertinya ketika umurnya 11 tahun dia sudah mengikuti peperiksaan Sijil Rendah Ugama (SRU) darjah 6, sementara peperiksaan UPSR setahun kemudian di sekolah rendah.

Hari pertama Hana masuk sekolah nampaknya ok saja. Cuma apabila Atoknya terlambat 5 minit datang mengambil,  dia sudah menangis. Dia nampak kawan-kawan sudah mula diambil pulang. Sedangkan bersamanya ada kakaknya, Nuha.

Petang itu dia pun menceritakan hal itu. Kemudian dia bertanya : “Esok sekolah lagikah?”

Mungkin dia rasa sekolah tu sekali saja.