Siapa Awang Sariff?

Di ruang tepi atas blog ini di sebelah kanan, terdapat satu memo MOHON DANA. Terdapat beberapa gambar terpampang di situ.

Gambar paling atas itulah Awang Sariff. Boleh rujuk semula artikel lama 2 September 2008. https://abunuha.wordpress.com/2008/09/02/rayuan-dana-pendidikan-untuk-awang-sariff-baharuddin/

p1030229Lokasi rumahnya di Kampung Landung Ayang Kudat.

Apabila saya dijadualkan punya slot ceramah di kampung itu, saya memasang niat untuk berziarah ke rumah Awang.

(Laluan awal ke rumah Awang. Rumahnya jauh lagi ke dalam dan berada di hujung titi (tidak kelihatan). Gambar diambil tengahari keesokan harinya).

Bapanya, Encik Baharuddin adalah seorang nelayan dan isterinya suri rumah.

Awang lahir daripada keluarga yang susah. Tetapi itu tidak memadamkan cita-citanya untuk belajar lebih tinggi setelah menempuh 6 tahun di SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah Kota Kinabalu.

Ramadhan lalu, Awang bersama rakan-rakannya telah berangkat ke Mesir.

Bersama Che’gu Jamil, Ust Janis (PPTA JHEAINS Kudat) dan beberapa penduduk kampung yang menunjuk jalan, kami berziarah ke rumah keluarga Encik Baharuddin, yang letaknya di atas air.

Titian ada yang sudah usang dan patah, tambah lagi dalam cahaya suram, sedikit membimbangkan bagi kami yang tidak biasa dengan laluan itu.

Kehadiran kami memang tidak diberitahu kepada tuan rumah sekeluarga. Memang mereka terkejut dan tidak menyangka. Encik Baharuddin mempunyai anak 9 orang dan Awang adalah anak ke-2.

Kebetulan, Encik Baharuddin baru saja kembali dari laut selama 10 hari untuk mencari rezeki buat sekeluarga. Hampir menitis airmatanya menceritakan kesusahan hidup, apabila keputusan wang belanja. Maksimum pendapatan sebulannya hanyalah RM500. Itupun tidak menentu, bergantung kepada hasil tangkapan ikan.

Ada seorang lagi anak mereka kini menuntut di SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah dalam tingkatan 2 yang saya lupa namanya. Tahun lepas dia di SMAI Pantai Manis Papar.

Encik Baharuddin merayu agar anak perempuannya itu dapat dipindahkan ke Kota Kinabalu, memandang kepayahan mereka menziarahinya. Tambah lagi anaknya itu begitu manja dan susah berpisah.

Kadang-kadang, menurut Encik Baharuddin, beliau terpaksa berhutang untuk mencukupkan tambang ke Kota Kinabalu dan kemudian ke Papar untuk melawat anak mereka.

Tambang Kudat-KK saja sudah RM25. Termasuk makan dan wang belanja anak apabila datang, mau saja hampir RM100 dihabiskan. RM100 itu begitu berharga dan susah bagi mereka mendapatkannya.

Sesak juga fikirannya memikirkan pendaftaran sekolah buat anaknya pada isnin di SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah kerana dia tidak punya cukup wang lagi.

p1020170Ibunya pula yang hanya seorang suri rumah cukup susah hati mengenangkan Awang, anak bujangnya merantau.

Tambahan lagi sejak sebulan ini Awang belum menelefon mereka lagi. Begitulah kerinduan seorang ibu, yang jauh di kampung.

Saya menenangkan mereka dengan mengatakan bahawa sekarang ini biasanya adalah musim peperiksaan. Doakan saja Awang mampu melaluinya dengan tenang dan baik.

Kami membawakan sekampit beras dan satu hamper sebagai hadiah kunjungan kami ke sana. Tidak lama, kami dipimpin jalan pulang dengan bantuan abang sulung Awang dalam cuaca hujan renyai.