p1020147Saya mengetahui nama kampung ini beberapa bulan lalu.

Jadi, apabila dijadualkan berceramah di masjid ini malam sabtu lepas, begitu teruja sebenarnya.

Pertamanya, saya mengetahui sedikit maklumat kampung ini yang kebanyakan rumahnya berada di atas air.

Kehidupan orang kampung agak sederhana, tetapi ada juga yang susah.

Dalam keadaan begitu, kampung ini mempunyai potensinya sendiri. Ada seorang graduan al-Azhar baru kembali ke kampung halaman.

Manakala seorang lagi baru meneruskan pelajaran ke Mesir beberapa bulan lalu.

p1020155Tersenyum saya melihat nama masjid – Masjid al-Akmal. Mungkin boleh memuatkan 400-500 jamaah.

Wah, saya ni tidaklah banyak sangat menjelajah masjid dan surau. Tapi barulah saya terjumpa nama masjid yang lain sedikit daripada biasa.

Kebanyakan di Kota Kinabalu menamakan masjid dan surau dengan awalan ‘Nurul’. Nurul Iman, Nurul Hikmah, Nurul Ihsan, Nurul Islam dan sebagainya.

Kehadiran malam itu agak saya hampir 80 orang. Oleh kerana ceramah pada hari Jumaat malam Sabtu, mungkin pihak JK Masjid sudah membuat hebahan sebelum solat Jumaat pada siangnya.

Saya perasan rupa bentuk masjid ini sama seperti Masjid Kg Pasir Putih Putatan, Masjid Tg Aru KK dan Surau SMK Lohan Ranau. Mungkin arkiteknya sama atau memang mungkin ‘fesyen’ masjid dulu-dulu begitu bentuknya.

p1020158Seperti banyak tempat lain, ceramah malam itu juga berkisar soal hijrah.

Saya membentangkan kepada mereka contoh-contoh berkenaan pengetahuan amal ibadah yang agak terabai. Ia sebagai muhasabah buat diri masing-masing.

20-30 tahun lalu, tidak ramai mengetahui isi kandungan al-Fatihah. 20-30 tahun lalu tidak ramai mengetahui terjemahan qunut. 20-30 tahun lalu, tidak ramai mengetahui bacaan doa iftitah.

20-30 tahun kemudian, adakah kita sudah mengetahui makna ayat dalam al-Fatihah, qunut dan iftitah? Atau jangan itu, apakah makna al-Fatihah, makna qunut, makna iftitah itu sendiri?

Masa sejam setengah berceramah tidaklah dapat merubah apa-apa kecuali mungkin sedikit. Ceramah hanya bertujuan untuk penaik semangat sahaja. Lebih penting lagi kuliah-kuliah aqidah, fekah, akhlak, sirah, tafsir, hadith dan sebagainya.

Maka saya mencadangkan agar pihak JK melakukan sesuatu agar kita berhijrah daripada segi ilmu pengetahuan.

Masuk sesi soal jawab, boleh tahan juga soalan mereka.

Seorang bertanya tentang keadaan masyarakat yang banyak rosak, dan dia memberi contoh tentang sambutan tahun baru. Walaupun di peringkat kampung, juga berlaku sambutan tahun baru masihi yang keterlaluan. Disebutnya juga apa peranan Islam Hadhari dan Negara Islam.

Seorang lagi menanyakan soal adat khufarat yang masih berlaku seperti mandi buang sial dan sebagainya.