p1030192Pagi sabtu, sambutan Maal Hijrah Daerah Kudat. Saya hadir bagi menyampaikan ceramah pada pagi itu. Cuaca hujan lebat tidak mengizinkan Dewan Tun Mustapha daripada dipenuhi umat Islam. Malahan tidak sampai satu perempat dewan diisi hadirin.Hari itu Kudat hujan lebat dan banjir.

Ramai yang diberitahu terkandas di tengah jalan dan tidak dapat hadir bersama-sama. Termasuklah YB Bolkiah yang dijadualkan hadir terkandas di tengah laut kerana ada lawatan di sebuah pulau. Majlis dirasmikan oleh YB Abdul Mijul ADUN N1 Banggi. Saya tiba ketika pengacara mempersilakan hadirin bangun untuk bersama-sama menyanyikan lagu hijrah. Lama berdiri dan menanti..

Masing-masing saling toleh menoleh kenapa muziknya belum dimainkan. Tiba-tiba pengacara bersuara :

“Minta maaf, minta maaf tuan-tuan, puan-puan. Kita tidak dapat menyanyikan lagu ‘hijrah’, sebab tuan punya CD terkandas di jalan akibat banjir. Minta maaf sekali lagi”.

Mau ketawa pun ada tetapi terpaksa ditahan kerana majlis rasmi sedang berlangsung. Terpaksalah hadirin duduk kembali meneruskan acara berikutnya.

Ada yang menarik perhatian saya apabila majlis tiba ke penghujung mengumumkan penerima-penerima anugerah. Antaranya ialah penerima Anugerah Saudara Baru, Mohammad Bakri Abdullah @ Batahong Korongkong.

p1030179

p1020022

Beliau yang kini berusia 58 tahun adalah seorang bekas Paderi di Sikuati Kudat selama 35 tahun bermula 1972 – awal 2008. Beliau juga memimpin Gereja Kg Dampirit (81-84), Gereja Kg Andap Bangau (87-91), Bendahari Paroki Sikuati (91-96).

Sebenarnya beliau bukan calang-calang orang. Dalam tempoh yang lama, beliau adalah salah seorang penulis khutbah gereja yang mempunyai Diploma al-Kitab Kristian.

Kebetulan pagi Jumaat saya ada bertemu dengannya. Seperti biasa, soalan saya perkara yang membuatkan dia keluar Kristian dan memeluk Islam.

Dia yang sangat mahir tentang selok belok bible menjelaskan bahawa antaranya ialah apabila dia melihat ajaran-ajaran di dalamnya diingkari oleh penganut Kristian, bahkan dilakukan pula oleh orang Islam. Contohnya larangan makan khinzir, meminum arak, perintah sujud dan bersuci diikuti oleh orang Islam. Tambahan lagi melihat begitu banyak percanggahan di dalam bible menyebabkan dia kembali ke agama yang sebenar iaitu Islam.

Walaupun belum setahun memeluk Islam, Mohammad Bakri yang berbangsa Rungus menghadapi ujian yang sukar apabila terpaksa bercerai dengan isterinya yang enggan memeluk Islam bersamanya. Begitu juga anak-anaknya yang sudah dewasa meninggalkannya atas alasan yang sama.

Kini beliau menyara hidup sebagai seorang pengawal keselamatan di sebuah bank di Kudat dan tinggal di Asrama Dakwah kepunyaan JHEAINS Kudat yang disediakan untuk muallaf yang menghadapi masalah. Kesunyian hidup Mohammad Bakri ini ditampung dengan kesibukannya berdakwah menyampaikan kebenaran Islam dan kebatilan Kristian pula.

Beliau kini aktif dalam Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), sebagai penceramah Yayasan Dakwah Islamiyyah Malaysia (YADIM) dan dalam masa yang sama, mendalami ilmu Islam bersama Pusat Latihan Islam Kudat di bawah JAKIM Cawangan Sabah dan Kelas Titian Murni anjuran JHEAINS Daerah Kudat.

Beliau juga mengikuti pelbagai kursus yang dianjurkan untuk menambah ilmu dan berkongsi pengalaman sepanjang pembabitannya selaku pendukung ajaran Kristian.

Dengan pengaruhnya yang begitu besar sebelum ini, sejak memeluk Islam pada 17 Mac 2008 beliau setakat ini telah berjaya mengislamkan orang-orang Kristian seramai 16 orang.

Sesungguhnya dia telah melakukan hijrah terbesar di dalam hidupnya. Daripada kegelapan kepada cahaya. Daripada kesesatan kepada kebenaran. Insya Allah dia beralih dari berhadapan lubang api neraka kepada keindahan syurga. Semoga kita dapat mengambil teladan.

p1030219