Pada 1 Januari 2008, ketika di Istana Negeri, saya ditugaskan memimpin bacaan doa ketika Istiadat Angkat Sumpah TYT Yang DiPertua Negeri Sabah Tun DSP Hj Ahmadshah Abdullah bagi penggal kedua.

Teringat lagi, saya begitu kelam kabut menyediakan teks doa hanya pada pagi acara itu. Teks yang disediakan hanya bertulis tangan.

Beberapa hari kemudian, saya dipanggil oleh Setiausaha Sulit Kepada TYT, Tuan Hj Abd Gapar Madin. Halnya tentang doa yang saya baca tempohari. Katanya, TYT Tun bertanya tentang satu rangkap doa yang saya baca.

Ia berkenaan tentang kekuasaan Allah memberi dan menarik balik kuasa pemerintahan. Doa ini biasanya diwiridkan selepas solat maghrib dan subuh. Ia adalah ayat al-Quran daripada surah Ali Imran.

Pertanyaan SUS itu sebenarnya menyesakkan pemikiran saya. Mungkin TYT terasa hati dengan doa yang saya sampaikan.

Tapi ini jawapan SUS setelah saya menjelaskan bahawa doa itu adalah ayat al-Quran. Kata Hj Gapar :

“Tun suka doa tu. Dia mahu kalau ada istiadat, doa tu wajib baca! Dia mahu pemimpin yang hadir dengar bahawa kuasa itu bukan dia punya tapi Allah yang bagi”.

Pada 27 Januari 2008, saya menerima kenderaan baru. Proton Persona yang lebih selesa untuk bergerak sama ada bersama keluarga atau program dakwah di mana-mana.

Kereta Kelisa masih berada bersama dan dipakai secara bergilir-gilir.

Pada 1 Mac 2008, saya dipindahkan ke Unit Penyelidikan, Bahagian Penyelidikan dan Informasi JHEAINS di Wisma MUIS, setelah bertugas selama 1 tahun 4 bulan di Istana Negeri.

Perpindahan ke unit memberi pengalaman baru dan mencabar sebenarnya kerana terpaksa melakukan penyelidikan terutama berkait dengan ajaran-ajaran salah atau sesat. Juga mengkaji buku-buku yang dirampas, aduan-aduan penyelewengan aqidah dan seumpamanya.

Pada 8 Mac 2008, semua mengingatinya sebagai tsunami politik Malaysia.

Pertama kali dalam sejarah hidup saya mengundi calon dan parti yang saya ingini. Pada pilihanraya 1999, umur saya baru 20 tahun manakala PRU 2004, saya berada di Mesir. Saya mengundi di kampung halaman, SK Lubok Temiang WP Labuan.

Adalah sesuatu yang sukar dilupakan apabila saya melakukan sesuatu yang diperintah agama ini. Memilih pemimpin bukan perkara main-main. Memilih pemimpin yang baik dan benar adalah wajib hukumnya.

Sebaliknya haram memilih dan mengundi pemimpin yang zalim tambahan lagi mereka yang enggan melaksanakan Islam di dalam pemerintahan.

Pada 12 Mac 2008, isteri saya selamat melahirkan anak keempat di Hospital Likas.

Banyak cadangan daripada ahli keluarga dan kawan-kawan tentang nama anak baru ini tambahan lagi perubahan politik negara.

Akhirnya kami memilih nama Lu’lu’ Badriyyah sebagai nama anak perempuan kami ini. Ia sebagai satu sokongan kepada Ahli Parlimen Muslimat di Wilayah Persekutuan, Dr Hjh Lo’lo’ yang mewakili Parti Islam SeMalaysia.

Pada 4 Julai 2008, saya menerima satu ujian apabila ‘digam’ daripada menulis khutbah untuk JHEAINS.

Puncanya teks khutbah yang saya buat untuk JHEAINS pada minggu itu dikatakan telah berpihak kepada DSAI dalam isu tuduhan liwat, walaupun hakikatnya untuk dalam menjelaskan kebenaran tidak mengira siapa.

Sehingga kini, walaupun bertugas di bahagian yang salahsatu tugasan menyediakan khutbah mingguan, saya tidak lagi dibenarkan menulis untuk JHEAINS. Teks yang kontroversi itu ada saya muatkan di arkib blog ini pada awal Julai.

Pada 7 Julai 2008, sebagai satu reaksi spontan kepada larangan menulis itu, saya telah memulakan penulisan blog di Abu Nuha Corner ini. Sebenarnya ini bukan kali pertama saya punyai blog, tetapi beberapa tahun sebelum itu sudah ada tetapi ia terbengkalai dan saya pun sudah lupa kata kuncinya.

Kini dengan mementum dan semangat baru, saya memulakan satu wadah baru. Alhamdulillah, setelah 6 bulan berlalu, saya telah menulis sejumlah 370 artikel. Terima kasih juga atas sokongan para sahabat.

Pada 16 Oktober 2008, bersama-sama 34 yang lain, saya menerima satu surat perlantikan semula sebagai Ahli Lajnah Tashih al-Quran Malaysia, Kementerian Dalam Negeri. Penyerahan surat itu berlaku di KL International Hotel.

Ia merupakan satu pengiktirafan terbesar saya perolehi untuk bersama-sama mempertahankan kesucian al-Quran daripada dinodai oleh musuh Islam. Melalui pertemuan dan bengkel-bengkel, saya dapat mengetahui dan mendalami kaedah memeriksa dan mentashih al-Quran.

Pada 20 Disember 2008, seperti yang saya catatkan, saya sekeluarga kemalangan jalanraya di WP Labuan.

Pendek cerita, semuanya selamat walaupun kereta Persona remuk. Lebih penting melihat anak isteri selamat dan tidak mendapat kecederaan parah. Insya Allah seminggu dua lagi, kereta dijangka siap dibaiki.