Archive for Disember, 2008


SEDIKIT KEBEBASAN

 

Lokasi : Halaman rumah Kg Lubok Temiang WP Labuan

Tarikh : 23 Disember 2008

Masa : 5.20 hingga 6.10 petang

Cuba kita ingat-ingat balik.

Masa kita kecil dulu sama ada di rumah atau di sekolah, kita belajar solat dalam bahasa apa? Maksud saya bahasa pengantar untuk belajar sembahyang.

Kemudian kita belajar mengaji muqaddam, atau sekarang iqra / qiraati dalam bahasa apa? Naik pangkat ke al-Quran belajar guna bahasa apa?

Kemudian kita tanya kepada para jamaah haji yang ikut kursus-kursus haji di seluruh negara, ustaz yang membimbing tu bercakap guna bahasa apa?

Cuba perhatikan.

Menurut hukum, wajib solat itu dilaksanakan dalam bahasa Arab. Tidak sah solat dalam bahasa bajau. Bahasa brunei lagi nda boleh. Bahasa Arab sahaja.

Al-Quran yang menjadi pedoman umat itu juga dalam bahasa Arab. Terjemahan al-Quran tidak dikira sebagai al-Quran. Membaca al-Quran yang bahasa Arab itu diberi pahala berdasarkan hitungan huruf. Kalau baca terjemahan al-Quran, tidak dapat pahala perhuruf.

Ibadah haji dilaksanakan di tanah suci Makkah, di mana penduduknya adalah orang Arab dan bahasa pertuturannya dalam bahasa Arab.

Tetapi adakah bermakna ketika kita mempelajari al-Quran, solat dan haji, guru pembimbing kita itu akan menyampaikan pengajarannya dalam bahasa Arab?

Sudah tentu tidak! Guru kita akan menyampaikan ilmunya dalam bahasa pertuturan setempat. Kalau kita orang Melayu, sudah tentu guna bahasa Melayu. Atau jika orang putih, dengan bahasa merekalah.

Rasulullah SAW adalah seorang guru. Baginda adalah guru yang dibimbing langsung oleh Allah SWT. Allah SWT yang Maha Mengetahui boleh saja memberi Baginda SAW ilmu menguasai pelbagai bahasa jika Ia mahu.

Tetapi baginda SAW mengajarkan ilmu wahyu kepada masyarakat sekelilingnya dengan bahasa Arab, iaitu bahasa pertuturan setempat. Dengan bahasa setempat, masyarakat boleh memahami ilmu yang disampaikan oleh guru.

Demikian Allah SWT memberi petunjuk kepada kita dalam soal menyampaikan ilmu.

Soalnya, majoriti rakyat negara ini bertutur, bercakap dan berhubung dengan bahasa Melayu. Yang sibuk-sibuk belajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris tu apa hal?

Ketika ini saya sekeluarga masih di Labuan.

Kebetulan petang Isnin adalah hari ketibaan jamaah haji ke Labuan. Saya kurang arif jumlah jamaah haji Labuan kali ini. Tetapi adalah juga sanak saudara yang diberi kesempatan oleh Allah SWT pergi menunaikan haji dan mereka kembali semalam.

pc220223Malam itu selepas isyak diadakan kenduri kesyukuran meraikan ketibaan suami isteri Tuan Hj Idris Abd Jalil dan Hajjah Mairamah Ahad  di rumah mereka di Kg Rancha-Rancha.

Hj Idris adalah abang kepada emak kami daripada 6 orang adik beradik. (Allahyarham) Jamil, Osman, Hjh Namit, Hj Idris, Halimah dan Datin Hjh Pungut.

Ramai ahli keluarga dan orang kampung datang untuk bertemu dengan kedua haji dan hajah itu.

Sebenarnya suasana meriah menyambut kepulangan jamaah haji dengan budaya dan adat kenduri kendara boleh dikatakan masih belum berubah sejak saya masih kecil lagi.

Dahulu pada 1992, ketika bapa kami kembali menunaikan haji, meriah sekampung berkumpul di rumah ini untuk menyambut dan mengambil berkat orang yang baru kembali daripada ‘melihat kaabah’ dan ‘menyentuh hajarul aswad’.

pc220203Suasana serupa juga saya saksikan dua malam lepas.

Cuma majlis malam itu disekalikan dengan majlis kesyukuran buat 2 orang hero lelaki yang baru lepas berkhatan.

Jadi menurut adat kebiasaan setempat, diadakanlah majlis berdikir dan marhaban.

Teringat acara berdikir yang sudah diamalkan sejak puluhan tahun lalu, sejak kecil saya sudah mendengar acara berdikir ini dengan nada dan irama yang tidak pernah berubah.

Selepas 20 tahun saya mendengar dulu, sepatutnya adalah peningkatan dari sudut kefahaman, sebutan dan irama.

Apa yang saya dengar 2 malam lepas, sebiji, tidak pernah berubah dari segi kesalahan dan iramanya.

Bagi saya mengadakan itu – berkenduri, berdikir dan marhaban  – tidaklah menjadi satu kesalahan besar kecuali apa yang telah saya catatkan tadi, cuma perlulah diperbaiki dari sudut persembahannya.

pc220216

Maklumlah inilah antara bentuk hiburan keagamaan yang menjadi program orang kampung sejak zaman belum ada elektrik sehingga zaman astro ini.

pc220226Saya kira sudah sampai masanya pihak JAWI dan para pendakwah yang ada di Labuan ini  menjelaskan  kembali  kebenarannya (dengan berhati-hati)  supaya  masyarakat  benar-benar  beramal dengan Islam yang sebenarnya.

Para pendakwah khususnya para imam yang sering berada dalam masyarakat punya peranan yang besar untuk memimpin mereka hidup menurut yang semestinya.

Kepada Allah kita memohon perlindungan agar kita dijauhkan daripada perbuatan syirik yang kita sedari, dan memohon keampunan atas perbuatan syirik yang tidak kita sedari.

Walaubagaimanapun, semoga kedua-dua Tuan Hj Idris (Pa Damit Diris – panggilan kami) dan isteri juga semua jamaah haji mendapat keampunan Allah serta dikurniakan haji mabrur. Amin.

Semua orang bersin.

Tapi bersin di dalam Islam mempunyai adab dan petunjuk hidayah yang amat besar sekali.

Berdasarkan petunjuk agama, kita disunnatkan mengucapkan alhamdulillah setelah bersin. Saya pernah mendengar satu ceramah Ust Dato’ Hj Ismail Kamus bahawa ketika kita hendak melempiaskan bersin itu, sebenarnya jantung kita berhenti berdegup seketika.

Sesudah bersin dihembus, jantung kembali seperti biasa. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang masih memberi kita nikmat umur dan kesihatan. Boleh meneruskan kehidupan dan menyambung ibadah yang belum seberapa itu.

Ada satu cerita.

Isnin lepas saya ke Pasaraya Giant di Ujana Kewangan Labuan. Ketika hendak membayar barangan yang dibeli, juruwang wanita di hadapan saya bersin sambil spontan menjerit kuat : “Astaghfirullah!”

GAMBAR TOK GURU @ PERSONA

pc220189Tengahari semalam, saya ke pejabat EON untuk urusan kereta persona yang kemalangan sabtu lepas.

Tujuan utama untuk mengambil semua barang-barang terutama VCD dan CD yang berlambak di dalam kereta sekaligus mengetahui perkembangan kerosakan dan pembaikan yang bakal dijalankan.

Ringkasnya, esok pagi saya akan hadir sekali lagi untuk tandatangan borang persetujuan bagi menggantikan barang dan peralatan kereta yang rosak.

Tetapi menurut maklumat dan anggaran awal, kos kerosakan sekitar RM 7 ribu dan pihak workshop berharap dapat menyiapkan pembaikan kereta sebelum sambutan Tahun Baru Cina hujung Januari nanti.

Walaubagaimanapun, ia terpulang dengan jumlah kerosakan dan kecepatan pihak EON menghantar alat-alat ganti dari KL ke Labuan.

pc220164Ketika saya asyik mengangkat dan memindah barang semalam, pekerja workshop yang saya agak berbangsa kadazan @ dusun – berdasarkan lenggok cakapnya – sempat mencelah : “Ada gambar tok guru lagi tu!”

Maksudnya sticker Tok Guru Nik Abd Aziz, MB Kelantan @ al-Mursyidul Am PAS yang ditampal di cermin hadapan kereta persona jelas menarik perhatiannya. Nampaknya Tok Guru juga mula dikenali di Labuan.

pc210146Ahad jam 6 petang, saya bergerak ke lokasi berkenaan dengan bantuan Saudara Matusin yang sudi membawa dan menemankan ke sana. Maklum kereta sedang dalam tahanan sementara saya sendiri kurang arif tempat sebenar.

Surau yang dituju khabarnya sudah berusia lebih 30 tahun. Lama sebelum saya lahir lagi. Lokasinya jauh sedikit ke dalam dan memang saya tidak pernah ke surau ini sebelum ini.

pc210149Jamaah tidaklah begitu ramai, sekitar 20 orang dalam ruang surau yang sebenarnya hanya boleh menempatkan sekitar 70 orang.

Seperti kebanyakan masjid dan surau di Labuan, surau ini turut dilengkapi dengan kemudahan pendingin hawa.

Secara umumnya, ceramah sejam setengah itu berkisar tentang muhasabah diri dan masyarakat Islam menjelang tahun baru 1430 seminggu lagi.

Masalah ibadah khusus, ibadah umum, keazaman untuk melaksanakan Islam di segenap ruang kehidupan sama ada dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Saya mengutarakan 4 perkara yang menjadi kegerunan musuh (seperti yang pernah dicatat dalam artikel lalu) – al-Quran, solat berjamaah, khutbah Jumaat dan ibadah haji.

Walaupun surau di kampung, kesedaran terhadap menyempurnakan ajaran Islam di peringkat pemerintahan juga sedikit sebanyak diutarakan agar mereka memahami tuntutan itu.

Pulang keluar dari surau, kami menumpangkan seorang jamaah surau, yang juga suami kepada sepupu saya, abang Nayan (tetapi sudah berumur lebih 60 tahun), yang berjalan kaki turun dan naik bukit.  

Agak jauh juga (mungkin lebih 40 minit) untuk berjalan kaki sendirian tetapi kesabaran dan kerajinan itu harus dipuji dan dicontohi.

BERTAMBAH LAGI UMMAT NABI SAW

Isteri kepada Ust Hj Abdullah Din selamat melahirkan cahayamata ke-7, dengan berat 3.8kg di Kedah jam 3.40 pagi tadi. Demikian maklumat SMS yang dikirimkan oleh Ust Abdullah sendiri pagi ini.

Ust Abdullah turut mengumumkan nama bayi baru mereka dengan nama Fadzil. Dengan kelahiran anak terbaru ini, Ust Abdullah dan isteri kini mempunyai 5 anak lelaki dan 2 anak perempuan.

Bagi pihak sahabat-sahabat dan kenalan di Sabah, kami mengucapkan tahniah kepada Ust Hj Abdullah Din sekeluarga. Doa kami semoga rezeki, seri dan barakah terus  mekar di dalam rumahtangga.

pc200076Sabtu dan ahad, saya bersama-sama Ust Hj Nahar Matamin bergilir-gilir mengisi program kursus berkenaan yang diadakan di Masjid al-Muzakkirullah, Kg Lubok Temiang WP Labuan.

pc200092Pagi sabtu, Ust Nahar mengambil dua slot iaitu ‘Peranan Imam Dalam Pengurusan Masjid Yang Cemerlang’ dan ‘Hukum-Hakam Berkaitan Solat & Masjid’.

Saya pula mengambil tempat sebelah petang juga dengan dua slot iaitu ‘Ilmu Tajwid Sepintas Lalu’ dan ‘ Tahsin Al-Fatihah dan Surah Lazim’.

Malam tadi, Ust Nahar mengisi ceramah sempena Maal Hijrah 1430 di masjid yang sama.

Sementara pagi tadi, saya mengisi slot terakhir bertajuk ‘Seni Khutbah’.

Program berkenaan melibatkan hampir 30 peserta dari 4 buah kampung, Kg Pohon Batu, Kg Batu Manikar, Kg Ganggarak dan Kg Lubok Temiang selaku tuan rumah dan penganjur bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan.

Saya kurang pasti apa kesimpulan dan pendapat Ust Nahar, tetapi bagi saya kursus sebegini mesti diadakan setidak-tidaknya secara bulanan. Para imam berhimpun dan mendalami semula ilmu-ilmu asas sebagai satu ulangan dan refresh semula ilmu yang asalnya sudah ada itu.

Contohnya, dalam tempoh sejam setengah takkan dapat menghadamkan ilmu tajwid. Oleh itu saya namakan tajuknya ilmu tajwid sepintas lalu. Hanya mengingatkan kembali.

Begitu juga menyemak bacaan-bacaan surah lazim dan al-Fatihah, tidak semua berpeluang membaca dan memperdengarkan bacaan mereka kerana banyak masa diambil untuk menegur dan membetulkan kesalahan.

Satu yang menarik perhatian saya dan Ust Nahar, para peserta selain seperti biasa dibekalkan dengan fail dan kertas kerja, mereka turut diberikan elaun selaku peserta.

pc210138Harapan saya, semoga para imam lebih istiqamah untuk mendalami ilmu-ilmu asas ini disamping ilmu-ilmu yang lain untuk kebaikan bersama.

Saya sangat seronok dan berbesar hati dapat berkongsi ilmu dan maklumat dengan para imam ini yang sebenarnya lebih berpengalaman.

Mereka sudah puluhan tahun memimpin masjid di peringkat kampung masing-masing dan berkhutbah, sedangkan saya baru pertama kali naik mimbar pada 1995 di masjid kampung ini juga, ertinya baru 13 tahun lalu.

Saya sendiri juga kurang berpuas hati dengan kemampuan diri sendiri memimpin ketiga-tiga tajuk slot ini kerana ini adalah penampilan kali pertama menyampaikan kertas kerja kepada para imam.

Insya Allah dengan pengalaman kali pertama ini sangat berguna jika dijemput lagi dalam kursus yang sama di mana-mana tempat. Rasanya saya sudah boleh mengagak keterbatasan masa, keperluan dan keutamaan peserta untuk diperbaiki pada masa akan datang.

pc200095Sekitar jam 11.45 pagi semalam, saya sekeluarga hadir di kenduri perkahwinan sahabat lama ketika di Mesir, Hj Norazlan Mahmud dan isteri yang baru seminggu dinikahi Norain Abdullah.

Norain, 29 tahun berasal dari Tambunan Sabah dan baru memeluk Islam pada November 2006.

Kenduri diadakan secara sederhana di rumah nenek kepada Norazlan di Kg Batu Arang.

pc2000941Turut hadir ialah sahabat-sahabat Azhariyyun sezaman, termasuk yang turun dari Kota Kinabalu, antaranya Ust Sufian Yatim, Ust Mohammad Mohd Dikin, Ust Hj Auzani Daud, Ust Hj Salman Amir, Ust Hj Sahrum Samlan, Ust Hj Masrol Abdullah dan Ust Saifuddin Md Zin.

Sementara Hj Norazlan adalah lulusan Sarjana Muda Syariah Islamiyyah di Universiti al-Azhar, Cawangan Damanhur pada 1999-2005.

Semasa mengaji di Mesir dahulu pernah memimpin persatuan bagi anak-anak Sabahan – Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM) sebagai Yang Dipertua pada sesi 2004-2005.

Kini bertugas sebagai guru agama di SK Kerupang, WP Labuan.

Bagi pihak alumni azhariyyun Sabah, kami mengucapkan selamat pengantin baru, semoga berbahagia di dunia dan akhirat. Besar pahala memiliki isteri yang baru memilih Islam sebagai pegangan hidupnya.

pc200105

KAMI KEMALANGAN!

Sebenarnya kami sekarang berada di Labuan. Misinya bercuti sambil mengisi beberapa program yang telah ditetapkan.

Petang tadi dan pagi esok saya mengisi 3 slot ceramah kursus pemantapan imam dan pegawai masjid yang melibatkan hampir  30 peserta dari 4 buah kampung dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan. Itu saya akan ulas esok jika berkesempatan.

Pagi tadi sempatlah menghadiri kenduri sempena perkahwinan sahabat al-azhariy – Hj Norazlan Mahmud. Pun akan saya akan cerita kemudian.

Keluar dari lokasi kenduri di Kg Batu Arang, saya berhajat untuk ke pusat bandar seketika. Tujuannya hendak mencari dan membeli wayar USB kamera, untuk memuat-naik gambar-gambar yang diambil sepanjang perjalanan termasuk pengantin baru.

Sebabnya wayar USB kamera tertinggal di KK sedangkan banyak cerita dan gambar hendak dipaparkan.

Begitulah Allah SWT menyusun kehendakNya. Kata orang, hendak dijadikan cerita.

Tiba di satu persimpangan lampu isyarat berhadapan Masjid Jamek An-Nur, menanti lampu isyarat yang masih merah untuk bergerak. Apabila lampu hijau menyala, baru sedetik dua menekan minyak, tiba-tiba lori di hadapan berhenti mengejut.

pc200111Saya juga menekan brek mengejut, tetapi sudah terlalu hampir dan Proton Persona yang baru 11 bulan itu melanggar masuk ke bawah lori.

Ia berlaku begitu pantas dan hanya beberapa saat hampir keseluruhan ruang bonet enjin hadapan sudah terperosok di bawah lori itu.

Pemandu lori itu pun berhenti mengejut setelah kenderaan di hadapannya berhenti tiba-tiba. Dia berjaya mengelak kereta di hadapannya, sementara saya tidak.

Puncanya, tidak jauh di hadapan ada satu simpang trafik, dan kereta beratur panjang untuk masuk ke simpang kanan. Banyaknya kenderaan sehingga ke simpang yang satu lagi. Itu dakwa Sarjan Jumain dari polis trafik yang berada di lokasi 5 minit selepas kejadian.

Semua ahli keluarga ada di dalam kereta. Hero saya Abd Hadi yang berada di belakang terpelanting ke cermin hadapan. Manakala dua kakaknya terhempas di belakang kerusi hadapan.

Kecut perut saya melihat anak kecil 9 bulan kami yang sejak awal asyik berada di ruang kaki kerusi hadapan di mana isteri saya duduk di situ. Tapi dia buat donno saja..

Nuha dan Hana langsung menangis, terkejut dan ketakutan sementara Abd Hadi diam tidak berkata apa-apa. Dia masih tidak mengerti.

Kemalangan itu berlaku sekitar 12.45 tengahari, dan urusan di tengah jalan itu selesai setengah jam kemudian. Lima belas minit sebelum kemalangan berlaku, satu kemalangan antara van dan Proton Waja baru berlaku di lokasi yang sama juga.

Terima kasih sahabat-sahabat Azhariyyun yang datang menjenguk di tepi jalan. Mereka kebetulan dari masjid dan sebelum itu kami bersama di rumah pengantin.

Saya meneguhkan diri untuk bersabar dan bersabar itu dituntut ketika musibah mula berlaku. Itu pesan Nabi, dan saya bersama pemandu lori berjabat tangan tanpa sedikit dendam di hati saya.

Musibah sudah berlaku dan tiada guna untuk panas hati dan cari pasal di tengah jalan yang tengah sesak itu.

pc200114Kursus pemantapan imam dan pegawai masjid tetap diteruskan, dan saya sedikit terlewat memulakan slot sebelah petang.

Saya bersungguh memahamkan peserta tetapi hati saya tetap berbelah bagi, rasa trauma masih terasa sehingga kini.

Esok kursus bersambung, saya masih punya satu slot lagi.

Selepas itu akan ke pusat bandar, mencari dan membeli USB kamera, gambar perlu dimuat naik ke blog ini untuk paparan.

Dalam kecoh dan panik menghadapi kemalangan dan sementara menanti polis trafik tiba, saya masih sempat mencari sudut menarik untuk mengambil gambar. Kamera terpelanting juga, tapi masih selamat.

Hehehe..

%d bloggers like this: