KHUTBAH JUMAAT 5 Muharram 1430 / 02 Januari 2009

الحَمْدُ للهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ، لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَو كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ

 أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَـرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَئٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَـدُ أَنَّ مُـحَمَّدًا عَـبْدُهُ وَرَسُولُـهُ، وَصَفِيُّهُ مِنْ خَلْقِهِ وَخَلِيلُهُ. بَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَأَدَّى الأَمَانَةَ، وَنَصَحَ الأُمَّةَ، وَجَاهَدَ فِي اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ حَتَّى أَتَاهُ الْيَقِينُ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلـِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَـبِيـبِنَا وَشَفِيـعِنَا وَقُدْوَتِنَا وَأُسْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، أَشْرَفِ الْأَنْبِـيآءِ وَالْمُرْسَلِينَ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ، وَالتَّابِـعِينَ لَهُمْ بِـإِحْسَانٍ إِلَى يَومِ الدِّينِ

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيرَ الزَّادِ التَّقْوَى , فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Carilah bekalan, sebaik-baik bekalan itu ialah bertaqwa kepada Allah SWT.

Pada saat kita bergembira menyambut dua tahun baru 1430 Hijrah dan 2009 Masihi, jangan kita lupa bahawa Tanah Suci Palestin yang terletak di dalamnya Baitul Maqdis telah dan sedang dinodai oleh Yahudi yang menjadi musuh utama umat Islam.

Umat Islam dan negara yang didiami oleh umat Islam di seluruh dunia sedang diuji oleh Allah SWT.

Diuji keimanan mereka, diuji keislaman mereka dan diuji hubungan persaudaraan mereka apabila hujung minggu lalu tentera negara haram Israel dan Yahudi melakukan tindakan dengan menyerang dan membunuh umat Islam dan rakyat Palestin.

Lebih 100 tan bom telah digugurkan, lebih 360 nyawa sudah melayang dan lebih 1700 lagi cedera di Gaza.

Tindakan yang sepatutnya menyentuh hati dan naluri umat Islam di seluruh dunia. Menguji keimanan mereka, sejauh mana umat Islam bertanggungjawab untuk menjaga amanah membantu saudara seagama walaupun jauh beribu batu.

Muslimin yang dikasihi Allah,

Bumi Palestin adalah tempat isra’nya Rasulullah SAW, dan bermulanya mi’raj Rasulullah SAW. Bumi Palestin yang mengandungi al-Masjidil Aqsa adalah tanah suci para Nabi AS, termasuklah Nabi-Nabi daripada kalangan Bani Israil.

Di hadapan kita kini, umat Islam diratah oleh musuh-musuh Islam. Umat Islam di Palestin menjadi mangsa kezaliman.

Mereka yang menjadi saudara seaqidah kita dikepung, ditangkap, dipenjara, disiksa dan dibunuh oleh Yahudi la’natullah, kerana mereka – umat Islam di Palestin ingin agama Islam ini tertegak di dalam pemerintahan dan seluruh kehidupan mereka.

Jangan kita hairan dengan sikap Yahudi Israel yang melakukan kekejaman ini. Mereka membunuh orang tua, kanak-kanak dan perempuan. Ingat! Bangsa ini jugalah yang pernah membunuh para Nabi dan Rasul AS. Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar terhadap ayat-ayat Allah, dan orang-orang yang bertanggungjawab membunuh Nabi-Nabi yang memang tidak dibenarkan, serta membunuh para ulama dan pemimpin yang menegakkan keadilan. Maka khabarkanlah mereka dengan azab yang pedih”. (Ali Imran : 21)*

Bahkan ulama-ulama Yahudi pada hari ini memberi fatwa membenarkan tenteranya membunuh sesiapa sahaja tanpa mengira siapa mereka kerana bangsa lain adalah haiwan dan binatang terutama Islam, tetapi Allah SWT telah menetapkan bahawa cahaya Agama Islam ini akan terus bersinar.

Cahaya dan hidayah Islam akan sampai di mana sahaja cahaya matahari akan sampai. Allah SWT telah menjanjikan bahawa akan sentiasa ada hambaNya yang menjadi pejuang dan akan mempertahankan agama Islam ini walau darah dan batang tubuhnya menjadi pertaruhan.

Allah SWT telah memilih segolongan umat ini yang tidak boleh dikalahkan sehinggalah Allah SWT memberi keputusan, memenangkan Islam dan menghapuskan Yahudi. Allah SWT telah menunjukkan kepada kita melalui sabda Rasulullah SAW :

لا تَزُولُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِى قَائِمِينَ عَلى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ، لا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى يَأْتِىَ أَمْرُ اللهِ. قِيلَ : مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ : هُمْ أَصْحَابُ بَيتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيتِ الْمَقْدِسِ

“Akan tetap ada satu kumpulan di kalangan umatku, mereka bangun berdiri menegakkan kebenaran agama ini. Mereka tidak boleh dilemahkan dan dikalahkan oleh orang yang mengecewakan mereka, sehinggalah datang keputusan daripada Allah SWT”. Para sahabat bertanya : “Siapakah mereka wahai Rasulullah?” Baginda menjawab : “Mereka ialah penduduk Baitul Maqdis dan mereka yang berada di sekitar Baitul Maqdis”.

Hari ini sudah ada kumpulan-kumpulan yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW, mereka tampil dengan gagah berani, mereka cinta dan rindukan mati syahid bagi mempertahankan umat Islam dan tanah suci mereka.

Kita melihat kebangkitan kumpulan HAMAS di Palestin dan Hizbullah di Lubnan serta didukung oleh kumpulan-kumpulan Islam yang lain.

Media-media Barat pula menggambarkan mereka ini sebagai pengganas kerana ingin menegakkan kalimah Allah SWT. Sedangkan hakikat sebenarnya mereka – puak-puak Yahudi, Israel dan Zionis inilah pengganas yang sebenarnya!

Tindakan-tindakan Yahudi ini disokong pula oleh negara-negara kuasa besar yang lain, dan ada juga kerajaan umat Islam yang menyokong dan membantunya. Perbuatan ini adalah satu jenayah besar terhadap agama Islam dan terhadap kemanusiaan.

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah,

Allah SWT mewajibkan umat Islam untuk mempertahankan maruah mereka, sama ada maruah yang berkait dengan agama Islam dan hukum syariat, atau perkara-perkara yang berkait dengan harga diri umat Islam, ataupun perkara-perkara yang berkait dengan tanahair mereka, terutama tanah suci yang dikurnia oleh Allah SWT.

Adalah menjadi kewajiban umat Islam agar menunjukkan sikap masing-masing menurut kemampuan yang ada pada diri mereka.

Ada yang berperang menggunakan senjata, ada yang menyumbangkan harta benda, ada yang memohon kepada Allah SWT dengan doa, dan ada yang menyatakan simpati mereka terhadap umat Islam yang berjihad di Palestin.

Marilah kita mengimbau kembali sebuah peristiwa yang berlaku pada akhir kerajaan Abbasiyyah di bawah pemerintahan Khalifah al-Mu’tasim.

Apabila seorang wanita Islam yang berniaga di negeri bukan Islam, ketika berada di pasar, wanita ini tergelincir jatuh lalu tersingkap pakaiannya dan terdedah auratnya.

Perempuan itu telah disorak dan diejek oleh orang-orang bukan Islam. Dia dihina di khalayak ramai kerana menutup aurat dan auratnya pula terbuka.

Tiba-tiba perempuan itu merayu : “Wahai Khalifah al-Mu’tasim! Selamatkan aku!” Orang-orang yang bukan Islam itu lebih kuat menyorak dan menghinanya.

Seorang lelaki muslim berada di tempat itu, lalu bermusafir ke Baghdad dan menghadap Khalifah al-Mu’tasim memberitahu hal itu. Khalifah al-Mu’tasim bangun berdiri dan terus menjawab :

“Wahai ibu! Ini Khalifah al-Mu’tasim mendengar seruanmu”. Lalu baginda mengerahkan bala tenteranya untuk menyerang negeri itu kerana menghina seorang wanita Islam.

Jamaah Jumaat Rahimakumullah,

Umat Islam yang tidak peduli dengan apa yang berlaku kepada saudara mereka pada hari ini, sebenarnya lupa dengan amaran Rasulullah SAW :

مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيسَ مِنْهُمْ

“Sesiapa yang tidak mengambil berat urusan orang Islam, ia tidak termasuk kumpulan orang Islam”.

Walaubagaimanapun, sehebat mana perancangan dan tindakan musuh, Allah SWT telah menjanjikan bahawa Agama Islam ini tidak akan dapat dihapuskan di atas muka bumi ini. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 54-56* :

“Wahai orang beriman, sesiapa yang murtad di kalangan kamu, nescaya Allah akan mendatangkan golongan (yang mempertahankan Islam); Allah mengasihi mereka dan mereka kasihkan Allah. Mereka merendahkan diri kepada orang-orang beriman dan bersikap tegas kepada orang kafir. Mereka berjihad pada jalan Alah, dan mereka tidak memperdulikan celaan orang. Itulah kemuliaan yang diberikan oleh Allah kepada sesiapa yang dikehendaki di kalangan hambaNya, sesungguhnya Allah Maha Luas KurniaNya lagi Maha Mengetahui.

Sesungguhnya, yang menjadi wali kamu ialah Allah, RasulNya dan orang-orang beriman yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka rukuk (iaitu patuh kepada Allah SWT).

Sesiapa yang berwalikan Allah, RasulNya dan orang-orang beriman, maka sesungguhnya golongan Allah itulah yang akan mendapat kemenangan”

أَقُولُ قُولِي هَذَا , وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

*(Sila semak dan dapatkan 2 petikan ayat al-Quran – ayat 21 Ali Imran dan ayat 54-56 al-Maidah)