Pagi ini di pejabat kami, sibuk mengemaskini dan menyediakan kalendar taqwim solat bagi tahun 1430H yang disambut semalam. Selain telah mula diedarkan pagi semalam ketika sambutan Maal Hijrah berlangsung, pagi ini juga orang ramai datang mendapatkan taqwim.

Kebanyakannya mewakili individu, tetapi ada juga yang datang atas nama masjid, surau, persatuan dan pejabat masing-masing.

Hari ini saya mendengar tentang peristiwa semalam, ada yang berebut mendapatkan kalendar solat tetapi ditinggalkan di tandas di bangunan Wisma MUIS ini.

Apa tujuan kita mendapatkan taqwim solat ini sebenarnya?

Perbandingannya begini. Misalkan seorang yang bertugas di jabatan kerajaan antara 8.00 pagi hingga 5 petang. Sesiapa yang datang jam 8.01 pagi boleh ditakrifkan sebagai lambat hadir dan kadnya bertulis merah.

Bandingkan pula dengan solat. Zuhur hari ini masuk pada jam 12.20 tengahari manakala asar pada jam 3.42 petang.

Seorang yang belum solat zuhur, lalu dia pun melihat taqwim. Diperhatinya waktu asar : “Oh.. 3.42 petang, lama lagi. Sekarang baru jam 3.00”.

Kenapa kita tidak bersikap yang sama seperti hadir ke pejabat? Maksud saya datang jam 8.01 pagi sudah dianggap lambat walaupun dia masih punya waktu sehingga jam 5 petang untuk bekerja.

Tetapi waktu zuhur ada masa selama 3 jam 20 minit, kita masih menganggap solat zuhur jam 3 petang belum terlewat. Sepatutnya kita juga menganggap zuhur kita sudah terlewat jika bersolat pada jam 1.00 tengahari.

Sepatutnya taqwim solat dibaca supaya kita dapat solat pada awal waktu, bukannya pada akhir waktu.

“Oh, sempat lagi”. Fikirkanlah bersama.

(Dapatikan taqwim solat di tingkat 9, Blok A, Wisma MUIS, Sembulan Kota Kinabalu. Ada kaunter disediakan untuk mendapatkan taqwim berkenaan).