pc200076Sabtu dan ahad, saya bersama-sama Ust Hj Nahar Matamin bergilir-gilir mengisi program kursus berkenaan yang diadakan di Masjid al-Muzakkirullah, Kg Lubok Temiang WP Labuan.

pc200092Pagi sabtu, Ust Nahar mengambil dua slot iaitu ‘Peranan Imam Dalam Pengurusan Masjid Yang Cemerlang’ dan ‘Hukum-Hakam Berkaitan Solat & Masjid’.

Saya pula mengambil tempat sebelah petang juga dengan dua slot iaitu ‘Ilmu Tajwid Sepintas Lalu’ dan ‘ Tahsin Al-Fatihah dan Surah Lazim’.

Malam tadi, Ust Nahar mengisi ceramah sempena Maal Hijrah 1430 di masjid yang sama.

Sementara pagi tadi, saya mengisi slot terakhir bertajuk ‘Seni Khutbah’.

Program berkenaan melibatkan hampir 30 peserta dari 4 buah kampung, Kg Pohon Batu, Kg Batu Manikar, Kg Ganggarak dan Kg Lubok Temiang selaku tuan rumah dan penganjur bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan.

Saya kurang pasti apa kesimpulan dan pendapat Ust Nahar, tetapi bagi saya kursus sebegini mesti diadakan setidak-tidaknya secara bulanan. Para imam berhimpun dan mendalami semula ilmu-ilmu asas sebagai satu ulangan dan refresh semula ilmu yang asalnya sudah ada itu.

Contohnya, dalam tempoh sejam setengah takkan dapat menghadamkan ilmu tajwid. Oleh itu saya namakan tajuknya ilmu tajwid sepintas lalu. Hanya mengingatkan kembali.

Begitu juga menyemak bacaan-bacaan surah lazim dan al-Fatihah, tidak semua berpeluang membaca dan memperdengarkan bacaan mereka kerana banyak masa diambil untuk menegur dan membetulkan kesalahan.

Satu yang menarik perhatian saya dan Ust Nahar, para peserta selain seperti biasa dibekalkan dengan fail dan kertas kerja, mereka turut diberikan elaun selaku peserta.

pc210138Harapan saya, semoga para imam lebih istiqamah untuk mendalami ilmu-ilmu asas ini disamping ilmu-ilmu yang lain untuk kebaikan bersama.

Saya sangat seronok dan berbesar hati dapat berkongsi ilmu dan maklumat dengan para imam ini yang sebenarnya lebih berpengalaman.

Mereka sudah puluhan tahun memimpin masjid di peringkat kampung masing-masing dan berkhutbah, sedangkan saya baru pertama kali naik mimbar pada 1995 di masjid kampung ini juga, ertinya baru 13 tahun lalu.

Saya sendiri juga kurang berpuas hati dengan kemampuan diri sendiri memimpin ketiga-tiga tajuk slot ini kerana ini adalah penampilan kali pertama menyampaikan kertas kerja kepada para imam.

Insya Allah dengan pengalaman kali pertama ini sangat berguna jika dijemput lagi dalam kursus yang sama di mana-mana tempat. Rasanya saya sudah boleh mengagak keterbatasan masa, keperluan dan keutamaan peserta untuk diperbaiki pada masa akan datang.