Sebenarnya kami sekarang berada di Labuan. Misinya bercuti sambil mengisi beberapa program yang telah ditetapkan.

Petang tadi dan pagi esok saya mengisi 3 slot ceramah kursus pemantapan imam dan pegawai masjid yang melibatkan hampir  30 peserta dari 4 buah kampung dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan. Itu saya akan ulas esok jika berkesempatan.

Pagi tadi sempatlah menghadiri kenduri sempena perkahwinan sahabat al-azhariy – Hj Norazlan Mahmud. Pun akan saya akan cerita kemudian.

Keluar dari lokasi kenduri di Kg Batu Arang, saya berhajat untuk ke pusat bandar seketika. Tujuannya hendak mencari dan membeli wayar USB kamera, untuk memuat-naik gambar-gambar yang diambil sepanjang perjalanan termasuk pengantin baru.

Sebabnya wayar USB kamera tertinggal di KK sedangkan banyak cerita dan gambar hendak dipaparkan.

Begitulah Allah SWT menyusun kehendakNya. Kata orang, hendak dijadikan cerita.

Tiba di satu persimpangan lampu isyarat berhadapan Masjid Jamek An-Nur, menanti lampu isyarat yang masih merah untuk bergerak. Apabila lampu hijau menyala, baru sedetik dua menekan minyak, tiba-tiba lori di hadapan berhenti mengejut.

pc200111Saya juga menekan brek mengejut, tetapi sudah terlalu hampir dan Proton Persona yang baru 11 bulan itu melanggar masuk ke bawah lori.

Ia berlaku begitu pantas dan hanya beberapa saat hampir keseluruhan ruang bonet enjin hadapan sudah terperosok di bawah lori itu.

Pemandu lori itu pun berhenti mengejut setelah kenderaan di hadapannya berhenti tiba-tiba. Dia berjaya mengelak kereta di hadapannya, sementara saya tidak.

Puncanya, tidak jauh di hadapan ada satu simpang trafik, dan kereta beratur panjang untuk masuk ke simpang kanan. Banyaknya kenderaan sehingga ke simpang yang satu lagi. Itu dakwa Sarjan Jumain dari polis trafik yang berada di lokasi 5 minit selepas kejadian.

Semua ahli keluarga ada di dalam kereta. Hero saya Abd Hadi yang berada di belakang terpelanting ke cermin hadapan. Manakala dua kakaknya terhempas di belakang kerusi hadapan.

Kecut perut saya melihat anak kecil 9 bulan kami yang sejak awal asyik berada di ruang kaki kerusi hadapan di mana isteri saya duduk di situ. Tapi dia buat donno saja..

Nuha dan Hana langsung menangis, terkejut dan ketakutan sementara Abd Hadi diam tidak berkata apa-apa. Dia masih tidak mengerti.

Kemalangan itu berlaku sekitar 12.45 tengahari, dan urusan di tengah jalan itu selesai setengah jam kemudian. Lima belas minit sebelum kemalangan berlaku, satu kemalangan antara van dan Proton Waja baru berlaku di lokasi yang sama juga.

Terima kasih sahabat-sahabat Azhariyyun yang datang menjenguk di tepi jalan. Mereka kebetulan dari masjid dan sebelum itu kami bersama di rumah pengantin.

Saya meneguhkan diri untuk bersabar dan bersabar itu dituntut ketika musibah mula berlaku. Itu pesan Nabi, dan saya bersama pemandu lori berjabat tangan tanpa sedikit dendam di hati saya.

Musibah sudah berlaku dan tiada guna untuk panas hati dan cari pasal di tengah jalan yang tengah sesak itu.

pc200114Kursus pemantapan imam dan pegawai masjid tetap diteruskan, dan saya sedikit terlewat memulakan slot sebelah petang.

Saya bersungguh memahamkan peserta tetapi hati saya tetap berbelah bagi, rasa trauma masih terasa sehingga kini.

Esok kursus bersambung, saya masih punya satu slot lagi.

Selepas itu akan ke pusat bandar, mencari dan membeli USB kamera, gambar perlu dimuat naik ke blog ini untuk paparan.

Dalam kecoh dan panik menghadapi kemalangan dan sementara menanti polis trafik tiba, saya masih sempat mencari sudut menarik untuk mengambil gambar. Kamera terpelanting juga, tapi masih selamat.

Hehehe..