Kita tentu pernah baca kisah Nabi Adam vs Iblis di dalam al-Quran. Antaranya dimuatkan pada awal al-Baqarah dan awal al-A’raf.

Di dalamnya, Allah SWT juga menceritakan peri kedegilan Iblis laknatullah alaih itu sujud hormat kepada Nabi Adam AS sebagaimana diperintah oleh Allah SWT.

Cuba kita perhati dan fikir sejenak. Allah SWT Maha Mengetahui akan kedegilan Iblis itu tetapi Allah SWT memberi ruang dan peluang untuk Iblis menjelaskan sebab dan alasan kenapa ia enggan tunduk hormat kepada Adam.

Kata Iblis : “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau ciptakan aku daripada api, dan Engkau jadikan Adam daripada tanah”. Demikian Iblis memberi hujjah, dan hujjah itu dipaparkan kepada kita.

Allah SWT yang menjadikan segala makhluk sudah tentu Maha Mengetahui sedari awal bahawa memang Iblis itu makhluk yang degil dan kurang ajar, tetapi Allah masih memberi ruang Iblis memberi hujjah dan alasannya.

Sengaja saya utarakan untuk kita bandingkan dengan undang-undang hutan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang disokong oleh PEWARIS baru-baru ini.

ISA adalah satu akta yang membolehkan seseorang ditahan tanpa bicara. Ertinya cukup dengan alasan pihak berkuasa, dia menahan, berhujjah sendiri tanpa memberi peluang mangsa berhujjah di mahkamah terbuka dan kemudian memutuskan hukuman sendiri.

Dialah polis, dialah pendakwa dan dialah hakim.

Allah SWT Maha Mengetahui kejahatan Iblis kerana Dia yang menjadikannya. Tetapi Allah SWT tetap memberi ruang kepada Iblis bercakap dan berhujjah. Akhirnya nanti, Iblis akan dicampakkan ke dalam neraka pada hari akhirat.

Allah SWT mengharamkan diriNya berlaku zalim, dan tetap membenarkan Iblis berhujjah walaupun hujjah Iblis itu sangat dangkal. Orang yang masih mengamalkan ISA pula membenarkan kezaliman berlaku dan tidak membenarkan hujjah dibentangkan di mahkamah terbuka.

Tau-tau saja orang itu bersalah. Sedangkan hari kiamat pun ada mahkamah dan proses pengadilan. Mereka mau jadi lebih daripada tuhan agaknya.