Maghrib tadi saya menyampaikan kuliah di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan.

Kebiasaannya saya membawa buku Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah, yang memuatkan 297 hadith dari Kitab Sahih Bukhari. Tetapi memandangkan petang tadi saya lewat balik dari pejabat dan langsung ke sana tanpa membawa apa-apa bahan.

Saya pernah terbaca sebuah buku – yang saya lupa tajuknya – bahawa musuh sangat bimbang empat kekuatan umat Islam jika digembeleng bakal memusnah dan meranapkan mereka yang berjuang menyesatkan umat Islam.

1. al-Quran. al-Quran peranannya bukan hanya untuk dibaca. Ia menjadi pedoman dan rujukan hidup umat Islam. al-Quran hanya dijadikan bahan pertandingan setiap tahun dan bacaan ketika orang mati.

al-Quran diabaikan dalam urusan kehidupan. Usah bercerita soal Islam dalam bab pemerintahan dan kenegaraan, perkara-perkara kecil yang melibatkan rumahtangga yang ada dalam al-Quran pun tidak diamalkan. Senang hati musuh Islam.

2. Solat Berjamaah. Ini adalah kekuatan orang Islam yang kedua yang diabaikan. Solat berjamaah adalah satu praktikal kepatuhan kepada kepimpinan dengan syarat-syarat yang tegas. Wajib taat dalam perkara yang dibenarkan, dan wajib pula mufaraqah jika ketua melakukan kesalahan.

Solat berjamaah juga mengeratkan kesatuan. Selepas selesai berwirid dan berdoa, kita bersua muka dan berjabat tangan. Apa kita banggakan jika 100 orang hadir di masjid dan surau jika penduduk tempat kita ada 5 ribu orang? Sekali lagi musuh bergembira. Senjata umat dibiar begitu saja.

3. Khutbah Jumaat. Ini senjata mingguan. Sepatutnya hari Jumaat hari yang dinanti kerana kita akan mendengar ucapan dasar pemimpin, sebagaimana Nabi SAW menjadi pemimpin menyampaikan khutbah saban minggu ketika memerintah dulu.

Hari ini orang datang solat Jumaat hanya sebagai rutin. Jangan tidak. Datang masuk masjid, tidur dan bangun apabila iqamat dilaungkan. Tiada apa yang dibawanya pulang kecuali giginya saja.

Khutbah dan penyampaian secara umumnya tidak lagi hebat sebagaimana dahulu. Ruang untuk menambah ilmu dan mengukuhkan semangat keimanan serta kekuatan ummat terbiar begitu saja. Musuh tersenyum lagi.

4. Ibadah Haji. Ia adalah pertemuan tahunan umat Islam di bumi suci. Sepatutnya umat Islam saling mengukuhkan persaudaraan, paling tidak berkenalan dan saling sapa menyapa jamaah yang duduk di sebelah masa bersolat walaupun berlainan negara. Tetapi tidak sedikit yang lebih selesa solat di bilik hotel atau tepi jalan dekat bangunan hotelnya dan tidak berebut untuk solat di dalam masjid.

Ruang lebih 40 hari di tanah suci banyak dihabiskan dengan berehat di bilik, kalau keluar pun untuk shopping. Pesanan dan hadiah untuk sanak saudara lebih diutamakan berbanding tumpuan ibadah di bumi Haram. Musuh gembira lagi.

Senjata yang ada di tangan, dibiar lesu dan tercampak di tepi longkang. Senjata dan peluru sudah ada tetapi tidak dimanfaatkan, malah diperlekeh oleh sebahagian umat sendiri.

Kita beriman dengan ayat-ayatNya dan keterangan sunnah NabiNya, bahawa Allah pasti akan memenangkan agamaNya ini, tetapi melihat kelakuan kita begitu, adakah kemenangan itu diberi pada zaman kita?