Ramai sudah tahu, Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Negeri Sabah, yang juga Pengarah SIRIM Sabah dan Labuan, Tuan Hj Khairan Untoh dan isteri Hjh Aisyah Hj Misuari akan mengadakan kenduri kesyukuran sempena perkahwinan anak mereka ahad ini di Dewan Wisma SESB, Karamunsing, jam 7 malam.

pc120039Petang tadi berlaku majlis bersejarah, iaitu majlis akad nikah antara kedua mempelai – Karmilla binti Hj Khairan dan Mohd Yeozree Izwan bin Jemil.

Ia juga menyaksikan Hj Khairan menerima menantu pertama dalam suasana sedikit emosi.

Akad nikah yang diadakan di dewan utama Masjid Negeri Sabah itu dilakukan sendiri oleh Hj Khairan dengan disaksikan lebih 100 tetamu daripada kedua-kedua pihak.

Terdahulu, Hj Khairan membacakan sendiri khutbah nikah, sementara Tuan Hj Walid Abd Malek dan Tuan Hj Matin Pandin bertindak selaku saksi nikah yang hanya dilafazkan sekali oleh pengantin lelaki.

Mohd Yeozree juga menyebut dengan lancar dan tenang apabila sebelum itu dipinta imam beristighfar dan mengucap dua kalimah syahadah bagi memperbaharui tekad keimanan dan keislamannya.

pc120059Imam Yunus yang hadir membacakan doa memohon semoga barakah dan keridhaan Allah melimpahi kedua mempelai.

pc120064Hj Khairan dalam khutbahnya mengingatkan kasih sayang yang sepatutnya menjadi tonggak dalam instutusi kekeluargaan – suami, isteri dan anak-anak.

Satu ketika beliau tidak dapat menahan sebak apabila membacakan sepotong ayat al-Quran daripada surah an-Nisa’ yang berkaitan dengan kewajiban suami menjaga hubungan dengan isterinya.

Manakan tidak selain menjadi pengalaman pertama sebagai bapa mertua, Hj Khairan juga bakal ‘melepaskan’ tanggungjawab menjaga anak gadisnya kepada seorang pemuda yang bakal bergelar suami.

Mohd Yeozree berasal dari Kg Taun Gusi Kota Belud, campuran emak dan bapa yang berbangsa iranun dan bajau. Berumur 26 tahun sama seperti isterinya, kini bertugas sebagai pegawai IT di Jabatan Kesihatan Labuan.

Sementara Karmilla yang kini tidak bekerja, sebelum ini adalah kakitangan RHB di Kota Kinabalu.

pc120087Selamat pengantin baru buat Yeozree dan Karmilla, doa kami semoga menjadi suami dan isteri yang mithali. Kepada Hj Khairan dan isteri, juga kedua besan mereka, selamat menerima menantu. Semoga kebahagiaan yang mula berputik ini kekal hingga ke syurga. Amin.

p/s : Tuan Hj, bolehlah serapkan menantu sebagai aktivis Yayasan Amal. Sekurang-kurangnya kepakaran IT boleh dimanfaatkan, walaupun nanti hanya berada di Labuan.

Firman Allah : “..dan bergaullah dengan isteri kamu dengan cara yang terbaik dan sewajarnya. Jika kamu tidak menyukainya (bersabarlah), kerana kamu mungkin tidak menyukai sesuatu sedangkan Allah menjadikan pada dirinya kebaikan yang banyak”.