Archive for 9 Disember 2008


PAGI RAYA ADHA DI SIPANGGIL

Sebenarnya, untuk saya sendiri tidak mempunyai perancangan awal masjid atau surau tertentu yang hendak dikunjungi untuk menunaikan solat hari raya. Memang ada beberapa jemputan sebagai khatib, tetapi lebih selesa untuk menjadi ma’mum kali ini.

Pagi raya, baru saya bercadang hendak ke Surau Austral rupanya mereka menjadualkan 7.30 pagi untuk solat raya. Gerenti tak sempat.

pc080018Saya beralih arah ke Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil yang jaraknya tidak sampai 5 minit daripada rumah dengan berkereta. Sedari saya terlewat, saya bersedia dengan sehelai sejadah.

Seperti yang dijangka, masjid yang tidak berapa besar itu berbanding dengan jamaah sekampung tidak mampu menampung jumlah kehadiran yang melimpah keluar.

Saya bersolat di luar masjid dan di luar khemah.

Bahkan situasi itu bukan saja ketika solat hari raya, bahkan ketika fardhu Jumaat pun begitu.

Empat khemah yang disediakan di luar juga tidak dapat menampung kesemua jamaah.

Sampai sudah masanya masjid ini perlu diperbesarkan bersandarkan keperluan itu.

pc080025Aneh juga kefahaman sesetengah jamaah dewasa memilih untuk bersembang di hujung sana ketika orang bersolat, hanya kerana sajadah tidak mencukupi atau hadir lewat ketika imam sudah mengangkat takbir.

Begitu juga ramai yang pulang ketika khatib mulai naik mimbar, enggan mendengar mutiara nasihat sempena Eidul Adha ini.

Apalah ertinya kehadiran ke masjid pada pagi raya tetapi solat raya tidak, sementelah khatib berkhutbah ada yang mulai mengangkat punggung balik ke rumah.

Sebagaimana di kebanyakan masjid dan surau, para khatib tidak lupa membawa kisah keluarga Nabi Ibrahim AS yang bersejarah itu untuk sama-sama diambil pengajaran.

pc080023Ketika khatib Ust Abd Rahman berseru, mengingatkan para jamaah yang hadir akan usia yang tidak sepanjang dan selama mana, mengingatkan diri, kulit yang mulai kendur, mata mulai kabur, rambut mulai gugur dan gigi mula bertabur; kedengaran jamaah di belakang mengomel :

Ada-ada saja imam ni!

Ia satu nama khusus kepada sebuah kelas pengajian buat saudara baru di Kota Kinabalu.

Saya kira sekitar 8 tahun beroperasi, kini TF punya sebuah rumah yang disewa untuk aktiviti ahli-ahli mereka. Premis berkenaan terletak di Jalan Korul Melangi Kg Likas. Sewanya saya difahamkan dibiaya oleh Pusat Zakat Sabah hampir RM2 ribu sebulan.

pc040075Di sinilah mereka berprogram, bermesyuarat, mengadakan pertemuan, dan seumpamanya. Ada keperluan khusus agar kita sama-sama membantu golongan ini.

Malam Jumaat lepas, ada sedikit pengisian di sini.

Majlis bacaan Yasin, doa selamat dan tazkirah khusus sempena Eidul Adha. Mungkin adalah sekitar 30 orang yang hadir.

Ust Yahya Mashur – salah seorang tenaga pengajar TF memimpin Yasin dan doa, sementara saya dipinta menyampaikan tazkirah berkenaan.

Acap kali saya suka memulakan satu-satu tazkirah dengan sama-sama menilai persoalan niat.

Niat yang salah menyebabkan kita boleh tercicir syirik kepada Allah SWT. Nauzubillah. Oleh kerana dalam sistem dakwah itu ada basyir (berita gembira) dan nazir (amaran), maka itu kita semua perlu beringat.

Sudah termaktub dalam surah Yasin yang saban minggu biasa dibaca :

“Supaya engkau (wahai Muhammad) memberi AMARAN kepada kaum yang datuk moyang mereka belum pernah diberi peringatan, kerana itu mereka lalai”. 

Berlakunya perkara syirik itu boleh dengan disedari atau tidak disedari. Sebab itu kita dianjur selalu mengungkap doa ini sebagaimana diajar oleh Rasulullah SAW.

اللهم إنا نعوذبك أن نشرك بك شيئا نعلمه، ونستغفرك لما لا نعلمه

“Ya Allah, sesungguhnya kamu berlindung denganMu daripada berlaku syirik kepadaMu dengan sesuatu yang kami ketahui, dan kami juga memohon keampunanMu daripada melakukan kesyirikan yang kami tidak ketahui”. (Rujuk al-Ma’thurat)

amyRamai sudah nampak gambar Amy Search jadi tok kadi, menikahkan sendiri anak gadisnya Nabila. Begitulah yang terbaik apabila anak sudah sampai jodoh, bapalah wali dan menikahkan sendiri.

Tapi kebanyakan bapa merasa takut dan bimbang menikahkan anak sendiri.

Sedangkan sedari kecil dialah mengazan dan mengiqamatkan, memberi nama dan membiaya tidak kurang 20 tahun lamanya. Tiba-tiba saat menikahkan, diserah pula kepada jurunikah.

Gambar itu sebenarnya yang menarik perhatian orang ialah penampilan Amy yang mengenakan jubah dan serban. Usah pertikai niat di hati Amy, apakah hanya sekadar mencari publisiti atau kejujurannya.

Yang lebih utama ialah peranan kita mendekati orang sepertinya dan mendoakan kebaikan untuk mereka. Besar manfaat jika orang seperti Amy kembali kepada fitrah Islam yang hakiki kerana beliau punya pengikut dan peminat yang tidak sedikit.

Malahan Amy sudah mula berubah sedikit demi sedikit walaupun masih bergelumang dengan dunia rokersnya.

Sikap Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat datang merasmikan restoran Amy beberapa bulan lepas menunjukkan sikap seorang pendakwah yang optimis dan bersangka baik.

Maksud hadith Nabi SAW : “Orang yang terbaik ketika zaman jahiliyyah, itulah juga orang terbaik ketika zaman Islam, jika mereka memahami”.

Cerita ni diterima daripada SMS Ust Hj Abdullah Din di Kedah.

Katanya, minggu lepas beliau pergi CIMB di Kedah. Urusannya ialah hendak membuka akaun di bank berkenaan. Beliau dilayan oleh seorang pegawai perempuan beragama Islam.

Tanpa disedari, beliau sebenarnya telah diberikan borang CIMB konvensional. Selepas itu disedari, Ust Abdullah menegur sikap pegawai berkenaan kerana memberinya borang yang salah.

Tapi boleh pula pegawai tu kata : “.. kenapa tak cakap awal-awal nak yang Islam?”

Ust Abdullah menegurnya bahawa sebagai seorang Islam, menjadi tanggungjawab dan peranannya memperkenalkan perbankan Islam kepada para pelanggan tambahan lagi yang beragama Islam.

Pegawai muslim, pelanggan muslim, tiba-tiba urusan tidak menurut Islam. Rugikah kita beramal dengan Islam?!

Cerita ini sebenarnya boleh kita semua ambil iktibar tentang kepentingan beramal dan mempromosi ajaran Islam.

Secara khusus pula, kepada para pegawai bank beragama Islam, bahawa ini adalah peluang mereka mendapat pahala yang berlipat kali ganda dengan sebab memperkenalkan perbankan Islam sama ada kepada yang beragama Islam atau sebaliknya.

Firman Allah : “Jika kamu berbuat kebaikan, kebaikan itu untuk diri kamu sendiri. Jika kamu berlaku salah, akibatnya juga kepada kamu sendiri..” (al-Isra : 7)

 

%d bloggers like this: