Archive for 8 Disember 2008


Hari ni mengikut kalendar masihi, genap 42 tahun usia pendakwah yang sedang meningkat naik Hj Muhammad Abdullah Nicholas Sylvester.

pb300090Hj Nic (panggilan mesra kami)  dilahirkan di Papar.

Beliau dilahirkan dalam keluarga yang taat kepada ajaran agama Kristian Katolik dan pernah dilantik sebagai Tentera Kristus ketika berumur 12 tahun.

Bahkan bapanya sendiri adalah orang kuat gereja di Papar.

Bahkan pendidikan awalnya sendiri bermula di sekolah missionary iaitu di SK Sacred Heart di Karamunsing (bersebelahan gereja) dan di SM La Salle Tg Aru.

Tetapi begitulah, jika Allah mengkehendaki hidayahNya meluncur masuk ke hati seseorang, tiada siapa dapat menangkisnya.

Lama mengkaji Islam, bermula di sekolah menengah, akhirnya beliau ditakdirkan memeluk Islam ketika melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat. Peristiwa istimewa itu berlangsung pada 13 Januari 1985 di rumah seorang muslim di bandar Jonesboro, Arkansas.

Beliau bukan setakat menjadi muslim untuk dirinya sendiri, bahkan beliau telah mendambakan dirinya untuk berdakwah di seluruh pelusuk negara, khususnya dalam pemantapan aqidah.

Beliau adalah orangnya yang berkemahiran dan selayaknya bercakap soal kristianisasi hasil pengalaman silamnya berada dalam agama itu.

Kerana keterlibatan beliau dalam agama Kristian sebelum ini menyebabkan ramai tertarik hati menjemput beliau menyampaikan ceramah di pelbagai peringkat. Hj Nic pula bukanlah jenis memilih jemputan.

dsc04512Beliau pernah berceramah di Istana Negeri di sisi TYT Yang diPertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah, (gambar atas) di masjid-masjid dan surau-surau, bahkan sehingga berceramah di ceruk kampung di dalam hutan pun sudah dihampirinya.

Beberapa kali mengikuti dan menemani beliau dalam ceramah-ceramahnya khusus di Sabah, saya melihat sinar ikhlas di wajahnya. Beliau tidak mempersoalkan pun soal berapa isi sampul yang diberikan penganjur.

Di Timbua baru-baru ini pun, beliau hanya diberikan dengan sebakul rambutan sebagai cenderamata. Bahkan terdapat program yang diisi tidak diberikan apa-apa daripada pihak penganjur.

Tetapi itu tidak membuatkan beliau merajuk dan bosan daripada menyampaikan ceramah tentang perbandingan Islam dan Kristian.

Saya pernah bertanya sendiri pengalaman manisnya berdakwah.

Katanya satu pengalaman yang sukar dilupakan apabila seorang audien bukan Islam dalam satu ceramahnya di Kota Belud telah memeluk Islam di dalam majlis itu juga.

Aktif bersama Jamaah Islah Malaysia (JIM), beliau mengetuai JK Dakwah yang terkenal dengan Pusat Hidayah Centre milik JIM.

Doa saya buat Hj Nic semoga terus tabah menyampaikan Islam di mana saja berada. Insya Allah ganjaran dan upah yang lebih lumayan daripada Allah SWT.

Terima kasih juga buat isterinya dan anak-anaknya yang seramai 9 orang itu. Sudi meminjamkan ketua keluarga mereka untuk Islam yang tercinta.

pc050081pc050082Gambar yang saya ambil sendiri di rumah.

Anak-anak along – Farah dan Farhan bersama anak saya Nuha – hubungan mereka bersepupu – tengah asyik solat zuhur.

Lucu pula melihat Farah yang baru berumur 7 tahun (darjah 1) menjadi ‘imamah’ kepada adik lelakinya Farhan ( 6 tahun)  dan anak perempuan saya – Nuha (5 tahun). Sementara kedua-dua ma’mum ini pula berlainan jantina.

Sebenarnya di hadapan Farhan dan Nuha, terlindung hero saya Abd Hadi (2 tahun) tengah sujud. Masbuk kot. Tapi tengah pakai kain telekung sekerat di sebelah bawah. Aduh!

Alhamdulillah, ini adalah permulaannya. Insya Allah satu masa mereka akan memahami hukum dan peraturan mendirikannya.

Semoga gambar ini mengubat kerinduan Along dan isterinya yang kini berada di Kuching atas urusan perubatan.

Seminggu menjelang Eidul Adha, kita menyaksikan pelbagai musibah berlaku khususnya yang ditatapkan kepada kita lewat media.

Pada 30 November lalu, dua beradik mati tertimbus di dalam banglo di Ulu Yam Perdana, Kuala Kubu Bharu Selangor.

Pada 4 Disember lalu, 11 kenderaan dalam tanah runtuh di Pusat Bandar Damansara.

Ia diikuti kejadian 6 Disember iaitu tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Selangor mengorbankan 4 mangsa dan 14 rumah banglo;

Itu belum dikira kejadian kemalangan ngeri mengorbankan 10 jiwa di Johor jam 2 pagi semalam.

Ia sudah tentu menjadi detik sukar buat ahli keluarga yang kehilangan saudara, bahkan menjadi pengalaman sangat bernilai buat mangsa yang masih hidup.

Korban jiwa manusia di sana sini itu berlaku saat Qurban Eidul Adha belum bermula. Saat unta, kerbau, lembu dan kambing belum tumbang; di sana sini darah manusia sudah tumpah dek tragedi yang menimpa.

Semua itu namanya musibah.

Musibah boleh saja menjadi bala’ (ujian), atau jaza’ (pembalasan) atau juga tarbiyah (pendidikan), baik kepada mangsa atau orang sekeliling.

Musibah yang menimpa mungkin tanda Tuhan murka, tetapi mungkin juga tanda Tuhan menyayanginya. Semua itu bergantung kepada empunya diri.

Kadang-kadang orang baik ditimpa musibah, mungkin sebagai kasih Allah hendak memberinya pahala dek kesabarannya.

Kadang-kadang orang jahat ditimpa musibah, mungkin Tuhan murka kepadanya atas kesalahannya, atau boleh jadi Tuhan sayang kepadanya jika ia masih hidup kerana mungkin ingin memberi ruang bertaubat kepadaNya.

Musibah juga menjadi pengajaran dan tarbiyah kepada semua orang, baik yang kepada mangsa atau kita yang memerhati dari jauh dan dekat, agar mengambil iktibar atas peristiwa yang berlaku.

Ingati kekuasaan Allah melakukan segala sesuatu. Dahulu orang yang berumah di tepi pantai bimbangkan ombak tsunami, kini orang yang berumah di atas bukit pula dihantui tanah runtuh.

Pokok pangkalnya, kembalilah kepada Iman dan Islam, itulah jawapan yang sebaik-baiknya.

%d bloggers like this: