Archive for 6 Disember 2008


BENGKEL KES RIDDAH

pc0103452Isnin dan selasa lepas, Bahagian Pendakwaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) yang diketuai oleh Ust Sakaria Samela (Ketua Pendakwa Syarie) menganjurkan bengkel kes Riddah (Murtad) di Hotel Imperial International.

Ia melibatkan sekitar 30 orang peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai JHEAINS dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah (JKSN).

Peserta dari JHEAINS merupakan mereka yang sering terlibat dalam kes seumpama seperti dari Bahagian Pendakwaan sendiri, Bahagian Dakwah terutama unit muallaf, Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang dan Bahagian Penyelidikan & Informasi serta bahagian-bahagian yang lain.

pc010352Selain itu dijemput juga mereka yang berlatarbelakangkan pengajian syariah dan usuluddin untuk memberi pendapat mereka dalam bengkel yang diadakan.

Sepanjang pertemuan satu setengah hari itu, 3 kertas kerja dibentang dan 2 bengkel diadakan.

Kertas kerja dibentang oleh Ust Md Ridhuan Othman, Timbalan Pendakwa Syarie Negeri Sabah; Yang Arif Tuan Ahadin Arinen, Hakim Mahkamah Syariah dan ASP Misron dari Cawangan Khas PDRM.

Sebagai peserta bengkel, kami bukan sahaja mendapat banyak maklumat penting dan berharga, bahkan dapat berkongsi pandangan khususnya dalam merealisasikan pengwujudkan Pusat Bimbingan Islam di Sabah.

pc010373Dalam enakmen, orang-orang yang bermasalah daripada segi aqidahnya sama ada ajaran sesat atau ingin keluar Islam boleh dihantar di PBI ini selama 36 bulan.

Walaupun enakmen ini ada, masalahnya PBI ini belum wujud.

Walaubagaimanapun, kami dimaklumkan tapak pembinaannya sudah ada bersebelahan dengan lokasi SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah yang baru di Kinarut.

Hanya menunggu pelan bangunan dan kemudiannya kelulusan dari DUN.

Sedih sebenarnya apabila kami dimaklumkan bahawa kes permohonan keluar Islam ini semakin melonjak, khususnya bagi golongan muallaf.

pc010393Salah seorang panel memberitahu, dia sendiri tidak terangkat fail-fail permohonan berkenaan yang terdapat di pejabat mahkamah.

Sebenarnya isu ini memerlukan kerjasama semua pihak.

Rakyat dan masyarakat yang prihatin serta pemimpin kerajaan mesti mempunyai political will untuk melihat Islam benar-benar dijunjung di negeri dan negara kita.

Saya melihat ini kerana, ada sesetengah masyarakat yang tidak membantu golongan muallaf  sehingga mereka kembali ke agama asal.

Maklum, bahawa mereka ini ada yang dipulau oleh keluarga yang tidak Islam, sementara masyarakat Islam sekeliling tidak banyak membantu, sama ada dari segi akhlak, sosial, kewangan dan sebagainya.

pc020012Akhirnya, atas sebab kelemahan itu mereka kembali ke pangkuan keluarga.

Begitu juga kefahaman dan kesungguhan pemimpin politik sangat diperlukan untuk memartabatkan Islam. 

Bahkan untuk mendapatkan kelulusan PBI melalui DUN pun rasanya tidak semudah itu memandangkan ADUN bukan Islam juga bukan sedikit.

Pun begitu, satu fakta yang mesti diketahui, dalam kita menyelesaikan soal riddah, usaha-usaha dakwah terhadap mereka rancak berjalan di daerah-daerah khususnya.

Sebenarnya harus diketahui bahawa jumlah muallaf  juga semakin bertambah.

Di Bahagian Dakwah JHEAINS Ibu Pejabat, yang berhadapan dengan pejabat saya, saya saksikan setiap hari ada saja orang masuk Islam. Paling tidak pun ada seorang.

Belum lagi di daerah-daerah dan di tempat-tempat lain.

Insya Allah, Islam akan terus berkembang di Negeri Sabah.

SALAM EIDUL ADHA

Sempena Eidul Adha yang menjelang, marilah kita bersama-sama mengambil pengajaran kisah-kisah qurban yang menuntut kekuatan aqidah. Ia bukan semata-mata sembelihan, tetapi jati diri seorang muslim yang tulus tunduk kepada Rabbnya.

Kisah qurban Qabil dan Habil, Nabi Ibrahim dan Ismail alaihimassalam adalah dua kisah yang begitu intim setiap kali menjelangnya perayaan ini.

Perhati keikhlasan dan kejujuran Habil, juga ketamakan dan kerakusan Qabil.

Tulusnya Habil kerana tahu ada satu Zat yang memerhati hasil qurbannya, sementara rakusnya Qabil kerana berfikir singkat, yang akhirnya kita ketahui hujungnya berlaku satu sejarah memilukan dalam ketamadunan manusia. Pembunuhan manusia buat pertama kalinya. 

Insafi juga kepatuhan kedua-dua Nabi Allah Ibrahim dan Ismail, tidak lupa Hajar, isteri dan ibu yang tiada tolong banding ketabahan dan kesabarannya.

Bayangkan sepanjang hidupnya, Nabi Ibrahim hanya bertemu tiga kali dengan anaknya Ismail itu, berpisah atas titah perintah Allah, kemudian ditemukan juga atas arahanNya, setelah itu diperintah pula menyembelih anak tercinta, sesudah anak berusia sekira-kira boleh bekerja membantu ibunya.

Hajar – sang ibu pula yang bersedirian mendidik anak tidak pula meronta dan mengamuk dek perbuatan suami yang jelas diluar kebiasaan manusia bernama ayah. Tetapi ia turut akur dan patuh kerana itu ketentuanNya. Bukan kehendak suaminya.

Begitulah yang ingin saya perkatakan hari ini.

Kepatuhan dan ketundukan kepada perintah agama sebenarnya tidak perlu dipersoalkan. Kenapa dan kenapa Allah suruh dan perintah sekian-sekian amalan?

Siapalah kita untuk mempersoalkan itu semua!

Semoga iktibar qurban itu kita hayati bersama. Selamat menyambut eidul adha, dan selamat menjalani ibadah qurban.

%d bloggers like this: