Pendapat ini mungkin betul atau mungkin salah.

Tetapi saya melihat ada keperluan dan kewajaran sepatutnya pemimpin pelbagai peringkat mesti menjadi khatib Jumaat.

Perhati begini.

Pada zaman awal Islam,  Rasulullah SAW bukan sahaja mengetuai sebuah negara, memimpin angkatan tentera, suami dan bapa dalam sebuah keluarga, bahkan pemimpin umat seluruhnya.

Baginda SAW sebagai pemimpin politik juga tidak pernah meninggalkan mimbar bagi menyampai dan menerangkan dasar-dasar Islam saban minggu.

Begitu juga kepimpinan selepas baginda, para khalifah beratus tahun lamanya. Merekalah orang yang paling wajar menerangkan dasar kepimpinan mereka di hadapan rakyat di satu ruang dan tempat yang mulia – masjid @ Rumah Allah.

Sebab itu saya berpendapat umat dan rakyat mudah mendengar, menerima dan mengambil berat dengan khutbah mereka. Akhirnya sejarah merakamkan kehidupan umat sangat bahagia sekali dengan Islam yang mereka junjung.

Kita lihat pula sekarang.

Pemimpin negara dan negeri hanya duduk mendengar Pak Imam berkhutbah. Maafkan saya, mereka – imam-imam itu mesti dihormati tetapi mungkin ada yang berkata :

“Ala imam tu s11 atau s17 atau s27 saja.” (Merujuk kepada gred jawatan mereka).

Tidak mustahil itu antara punca cakap dan khutbah imam tidak dipeduli. Sebab ada segelintir yang memandang pangkat dan jawatan orang sebelum mendengar kalimah seseorang.

Manakan tidak, di bawah ini ada Datuk-Datuk, Tan Sri-Tan Sri, ketua-ketua jabatan, agensi kerajaan dan swasta. Ada pemegang JUSA, ada gred 54, 52, 48 dan sebagainya. Sedikit sebanyak, egonya tetap ada. Menganggap imam hanya sebagai orang bawahan saja.

Tapi, cuba kalau yang berkhutbah itu pemimpin negara dan negeri. Rakyat dan jamaah akan memberi perhatian lebih berbanding dengan apa yang ada sekarang.

Syaratnya, mereka  mestilah pula beramal dengan Islam itu. Bukannya cakap saja berdegang-degang.

Inilah yang pernah satu ketika dahulu saya usahakan ketika bertugas di Istana Negeri.

Saya pernah memujuk TYT Tun Ahmadshah untuk berkhutbah di Masjid Negeri. Saya suarakan perkara itu di hadapannya pada bulan Rabiul Awwal ketika hendak menyambut Maulidur Rasul di Sandakan.

Tujuannya supaya institusi khutbah dipandang hebat oleh masyarakat, yang pada hari ini secara umumnya kelihatan lesu.

Kami minum-minum bertiga bersama ADC TYT, di sebuah restoran biasa sambil saya meluahkan hasrat untuk melihat beliau berada di mimbar Jumaat. Berdasarkan rekod, beliau pernah menjadi khatib sebelum naik sebagai TYT.

Antaranya di Masjid Jamek Inanam, kampung kelahirannya bahkan di Masjid Negeri juga ketika sebagai Setiausaha MUIS.

Saya pujuk pada Rabiul Awwal untuk berkhutbah pada awal Ramadhan.

Pada awalnya beliau bersetuju. Pada pagi Jumaat sekitar jam 9 pagi, Jumaat pertama Ramadhan 1428 / 2007, Tun sendiri datang ke pejabat saya, membawa khutbah yang saya sediakan untuknya.

Beliau membaca dan melancarkan petikan berbahasa Arab di hadapan saya. “Lulus Tun.” Kata saya dengan sedikit teguran bagi membetulkan makhraj huruf. Sedikit saja.

Selepas itu beliau menyerahkan kembali teks itu. Hampanya saya bukan kepalang ketika itu. Katanya beliau belum bersedia.

Sukar saya menerima pada mulanya. Saya luahkan lagi sebab-sebab lain keinginan saya beliau naik berkhutbah. Saya yakin TYT Tun sangat memahami. Ia bukan soal mencari nama dan populariti peribadi.

Saya faham juga bahawa walaupun beliau selalu berucap di atas pentas, tetapi selama 5 tahun menjadi Yang Dipertua Negeri, beliau belum pernah menjadi khatib. Mungkin tiada yang berani mempelawa sebagaimana saya memberanikan diri mencadangkan hal itu kepadanya.

Sebenarnya, Tun Ahmadshah ada seorang speaker yang baik.  Intonasi, lenggok bahasa dan sebutannya sangat baik sekali.

Saya beranggapan beliau mungkin gemuruh. Mimbar dan khutbah adalah satu tempat yang istimewa di dalam Islam.

Bayangkan kalau beliau menjadi khatib ketika itu. Bayangkan! Bagaimana jamaah, bagaimana rakyat di luar sana, bagaimana media kita.

Sebenarnya perkara ini hanya diketahui oleh beberapa orang. Antaranya beberapa individu di Istana, Pengarah JHEAINS, Mufti dan beberapa individu lain.

Entah siapa yang membocorkan, pagi itu sebelum TYT bertemu saya, saya dihubungi oleh pihak media bertanyakan hal itu. Bilik Berita RTM pula sedari awal meminta saya menfakskan kepada mereka isi-isi penting khutbah untuk siaran warta berita.

Peristiwa itu sudah berlalu dan ia tidak menjadi.

Tapi janji TYT Tun kepada saya, beliau akan naik mimbar sebelum turun takhta Disember 2010. Sekurang-kurangnya sekali.

Saya menunggu detik itu.