MANUSIA TERBAIK.

Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah kepada Allah, carilah bekalan, maka sebaik-baik bekalan itu ialah bertaqwa kepada Allah. Maka berjayalah orang-orang yang bertaqwa.

Seterusnya, marilah kita mendengar sebuah hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan at-Thobrani :

عن درة ابنة لهب قالت : قام رجل إلى النبي (ص) وهو على المنبر فقال : يا رسول الله! أي الناس خير؟ قال : خير الناس أقرءهم وأتقاهم وآمرهم بالمعروف وأنهاهم عن المنكر وأوصلهم للرحم.

Daripada Durrah binti Lahab RA katanya, seorang lelaki bangun menuju kepada Rasulullah SAW yang sedang berada di atas mimbar seraya bertanya : Wahai Rasulullah! Siapakah jenis manusia yang terbaik? Sabda baginda SAW : Manusia yang paling baik ialah orang yang paling banyak membaca al-Quran, yang paling bertaqwa, paling banyak menyuruh berbuat kebaikan, paling banyak melarang kemungkaran dan paling banyak menghubungkan silaturrahim.

Muslimin yang dikasihi Allah,
Berdasarkan hadith tadi, Rasulullah SAW menggariskan lima perkara yang mesti dilakukan oleh seorang seorang muslim, untuk menjadi manusia yang terbaik di sisi Allah SWT.

Ciri yang pertama, manusia terbaik itu ialah mereka yang banyak membaca al-Quran. Dengan membaca al-Quran boleh menyejukkan hati yang bergelora, mendamaikan jiwa yang serabut dan menenangkan fikiran yang kacau.

Manakan tidak, al-Quran adalah mu’jizat agung yang diturunkan oleh Allah SWT untuk menjadi penawar kepada penyakit rohani dan jasmani. Firman Allah SWT :

“Dan Kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian”. (al-Isra : 82)

Al-Quran adalah sumber perundangan dan rujukan hukum kehidupan bagi setiap muslim.

Oleh itu, al-Quran bukan sahaja dibaca tanpa difahami, walaupun tanpa difahami mendapat pahala, tetapi kerana al-Quran itu adalah sumber rujukan kita, sangat wajar sekali al-Quran itu dipelajari daripada sudut makna dan huraiannya sekali, supaya apa yang kita lakukan di dunia ini bersesuaian dengan perintah dan larangan al-Quran.

Ciri kedua yang disebut oleh Nabi SAW ialah orang yang paling tinggi taqwanya.

Sayyidina Umar al-Khattab RA pernah bertanya kepada Sayyidina Ubai bin Kaab RA tentang taqwa itu. Sayyidina Ubai bertanya kembali kepada Umar : “Pernahkah kamu melalui jalan yang berduri?” Jawab Umar : “Sudah tentu”. Ubai bertanya : “Apa yang kamu buat?” Umar menjawab : “Saya menyinsing kain lalu saya berjalan dengan cukup berhati-hati”. Kata Ubai : “Itulah taqwa”.

Berdasarkan dialog Umar dan Ubai itu, kita simpulkan bahawa berhati-hati dalam sebarang tindakan sama ada pertuturan, perbuatan dan niat; itulah taqwa. Sementara semua tindakan itu dilakukan semata-mata kerana Allah SWT.

Solat kerana Allah, hadir ke masjid kerana Allah, bersedekah kerana Allah, bekerja kerana Allah, berkeluarga kerana Allah dan sebagainya.

Hadirin Rahimakumullah,
Ciri ketiga ialah manusia yang paling banyak menyuruh kebaikan. Firman Allah SWT :

“Jadilah engkau manusia pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang kebaikan, serta berpalinglah dari pada orang-orang yang bodoh”.(a-A’raf : 199)

Kebaikan itu ialah sesuatu yang sesuai dengan perintah dan syariat agama. Kebaikan itu bukan semata-mata sesuai dengan pandangan dan akal manusia tetapi salah daripada segi peraturan Allah SWT.

Banyak perlakuan manusia hari ini, dianggap baik di sisi masyarakat sedangkan ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Contohnya penjualan arak dan judi dianggap baik kerana menguntungkan dan meningkatkan ekonomi negara. Begitu juga dengan banyaknya kelab-kelab malam dan disko dianggap boleh menarik ramai pelancong berkunjung ke tempat kita.

Pemikiran sebegini sesuai dengan akal fikiran manusia yang tidak berpandukan agama sedangkan setiap orang Islam disuruh berfikir dengan panduan al-Quran dan Sunnah Rasul SAW.

Ciri keempat, ialah orang yang banyak melarang kemungkaran. Hari ini banyak kemungkaran berlaku. Sama ada ia di kampung, di bandar, di dalam dan di luar rumah.

Perkara yang dahulunya bertentangan dengan agama dan norma budaya masyarakat, kini dianggap biasa kerana manusia tidak lagi mengamalkan budaya melarang kemungkaran; kerana ramai bersikap tidak mahu mencampuri urusan orang lain atau menjaga tepi kain orang.

Membuka aurat adalah mungkar, meninggalkan puasa adalah mungkar, melawan perintah suami dan ibu bapa adalah mungkar, berbohong adalah mungkar, rasuah adalah mungkar.

Sedangkan hakikatnya menyuruh kebaikan dan melarang kemungkaran itu merupakan ciri manusia cemerlang di sisi Allah SWT. Firman Allah :

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah..” (Ali Imran : 110)

Di sana juga terdapat hadith Rasulullah SAW yang terkenal yang menyuruh kita mencegah kemungkaran. Sabda Nabi SAW :

“Sesiapa di kalangan kamu yang melihat atau mengetahui kemungkaran, hendaklah ia ubah dengan tangan atau kuasanya; jika tidak mampu, dicegah dengan nasihat dan pertuturan; jika tidak mampu, cegahlah dengan dengan hati iaitu benci dan jijik. Mengubah dengan hati itu adalah selemah-lemah iman”.

Ciri kelima dan terakhir yang disabdakan Nabi SAW ialah menghubungkan silaturrahim.

Hubungan silaturrahim ini dapat dijalin melalui banyak ruang. Kehidupan berjiran, menerima dan mengundang tetamu ke rumah, mengucapkan salam dan berjabat tangan, berwajah manis dan ceria, bercakap yang baik dan tidak menyinggung perasaan sahabat, memberi hadiah, dan sebagainya.

Demikianlah Rasulullah SAW mendidik kita menjadi manusia yang terbaik dan baginda telah memberikan contoh teladan buat umat sepanjang zaman.

Firman Allah SWT :
“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.(al-Ahzab :21)

(Disampaikan di Masjid Nurul Ihsan, Kg Lok Kawi Baru, Putatan)