Archive for November, 2008


MENGAPA SEPI

Saya seringkali meronda dan meninjau-ninjau blog orang lain. Ada sedikit kehampaan apabila melihat beberapa blog sahabat mula merudum sedikit demi sedikit. Mula terabai dan jarang dikemas kini.

Kalau setakat seminggu tu kira okeylah sebab kita ni bukan wartawan ada bahan tiap hari.

Tetapi kalau sebulan lengang, mungkin menyebabkan peminat dalam diam kita sudah mulai kecewa dan tidak berkunjung lagi.

Saya sangat berharap sahabat-sahabat yang saya ketahui selalu masuk ke blog ini agar kemas kini blog masing-masing. Sebenarnya ketahuilah bahawa sesama sahabat ini sering merindui tulisan-tulisan terkini mereka.

Kebanyakan peminat-peminat setia walaupun kecil jumlahnya mungkin ternanti-nanti, apa lagi cerita hari ini. Esok apa pula. Lusa apa pula.

Itulah juga perasaan saya apabila melayari hampir setiap hari blog penulis-penulis hebat yang saya minati seperti Haji Mohd Sayuti Omar (http://www.msomelayu.blogspot.com/), Roslan SMS (http://n32.blogspot.com/), Ust Nasruddin Tantawi (http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/), Ust Nik Abduh (http://nikabduh.wordpress.com/) dan lain-lain lagi.

Tetapi itu juga yang saya risaukan apabila masuk ke dunia siber ini. Bimbang-bimbang tidak boleh update sehingga menyebabkan mereka yang selalu berkunjung ini merasa hampa dan kecewa.

Saya tahu ada kalangan sahabat yang sering ke mari setiap pagi, setiap petang atau setiap malam.

Saya melihat perlunya pembahagian tugas dalam mengisi dunia blog ini. Ada yang fokus soal kampus, teruskan. Seperti saudara Fairuz fokus soal Kristianisasi itu adalah sesuatu yang sangat baik.

Tetapi yang banyaknya rojak. Menulis apa yang dia mahu. Ya, tiada siapa mahu larang. Blog pun masing-masing punya. Tetapi selain blogger, kita juga adalah du’at.

Bagi saya sendiri, fokus utama ialah catatan perjalanan harian. Ia seolah-olah diari tetapi disebalik yang tersurat itu ada yang tersirat. Terpulang masing-masing pembaca menilainya. Cuma sesekali saya menulis diluar daripada kebiasaan itu.

Setiap hari saya melihat statistik.

Apabila saya mendedahkan bahawa saya akan keluar daerah dan tidak update blog, setiap kali itulah statistik akan jatuh merudum dalam tempoh kadang-kadang hingga seminggu.

Sebenarnya saya gembira melihat ramai sahabat-sahabat turun dan tampil sebagai blogger. Ia bukan setakat memeriahkan dunia ini tetapi mengambil peranan dan mengisi maya dengan sesuatu yang lebih bermanfaat.

Tetapi sebagaimana yang pernah saya catatkan, biar sedikit tetapi jalan terus.

p8020094Kita bakal kehilangan seorang lagi pendakwah muda yang berkaliber apabila sahabat seperjuangan Ust Zulkili Mustafa bakal berpindah ke Kedah hujung bulan ini.

Setelah 14 tahun menabur bakti di negeri orang, kini tiba masa untuk beliau kembali berbudi di negeri sendiri.

Katanya memenuhi janji seorang anak kepada seorang ibu.

Sepanjang tempoh tugasnya mendidik anak bangsa di Maktab Sabah, beliau tidak pernah memohon untuk berpindah balik.

Cuma kini, setelah ia memohon kali pertama, permintaan pindah balik itu langsung diterima dan diluluskan.

Saya sendiri punya kenangan tersendiri dengan Ust Zulkifli. Ketika berada di tingkatan lima di SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah – 1996, saya sudah mengenalinya.

Kami diajak menyertai satu program yang saya lupa namanya, ketika itu di Surau Taman Sempelang. Ust Zulkifli adalah antara orang kuatnya. 

Selepas program untuk pelajar itu selesai, saya diajak lagi ke rumahnya untuk menonton video ceramah.

dscn1926Cuma saja saya tidak dapat turut serta lagi kerana punya kelas tambahan petang hari yang sama. Maklumlah ketika itu SPM tidak lama lagi.

Satu perkara lagi yang saya sedari dalam kuliah atau usrah berkenaan Ust Zulkifli ini ialah beliau adalah seorang yang lembut dalam bicaranya tetapi sentuhannya penuh makna. Perhatikanlah.

Abang Md Pozi pula mengatakan kelainan Ust Zulkifili dalam kuliah atau ceramahnya apabila sering memulakan ceramah dengan ayat al-Quran sebagai satu sentuhan pemula dan muqaddimahnya.

Dalam program kepartian, Ust Zulkifli sering dikenali sebagai salah seorang pemandu kenderaan kepada pimpinan yang hadir ke Sabah.

Antaranya Ust Azizan Abd Razak yang kini menjadi Menteri Besar Kedah dan pimpinan yang lain.

Di peringkat kawasan, beliau adalah seorang yang cinta kepada kebajikan sesama sahabat.

Tidak lekang kepeduliannya terhadap sahabat yang ditimpa musibah, atau mendapat berita gembira seperti perkahwinan dan kelahiran cahayamata, kenduri dan sebagainya.

dscn1929Beliau juga sering menyertai program ziarah pesakit Hospital Queen Elizabeth anjuran Masjid Negeri dan NGO Islam.

Surau Taman Sempelang akan kehilangan tenaga utamanya, begitu juga surau Taman Austral akan kehilangan seorang lagi pengkuliah yang konsisten dan hebat.

Nampaknya kita semakin kehilangan dan kekurangan kerana penggerak semakin susut, tatkala mereka yang sepatutnya bersama kita mengambil langkah menjarak diri. Adanya seperti tiada.

Sesuatu mesti dilakukan.

Sebenarnya, usaha dakwah saya tidaklah sebegitu gagah dan deras sebagaimana para pendakwah lain yang jauh lebih hebat. Sangat dan terlalu sedikit dan kecil nilainya.

Usah dibandingkan dengan perjuangan Rasulullah dan para sahabatnya. Tidak juga para salafus soleh dan para ulama mujtahidin.

Bandingkan saja diri kita dengan para pendakwah yang ada di negara kita. Usahlah yang tarafnya high profile, dengan ustaz-ustaz dan pendakwah biasa-biasa pun sudah cukup. Malu kita dibuatnya.

p9190203Bandingkan diri kita dengan orang-orang seperti Hj Nicholas Sylvester, Hj Ayub Abd Rahman, Lim Jooi Soon dan seumpama mereka yang lambat sedikit menerima Islam berbanding kita yang Islam sejak dalam perut ibu hingga ke hari ini.

Orang-orang yang selalu berurusan dengan mereka ini akan sering mendapati bahawa diri mereka tidak selalu lekat di rumah.

Sekali kita telefon mereka, katanya ada di Johor Bharu. Esok kita telefon lagi, ada di Sungai Petani. Lusa kita telefon lagi ada di Jerantut. Telefon lagi, ada di Ranau. Telefon lagi, di Kuching pula.

Bukan enjoy tapi menyampaikan kuliah dan memenuhi undangan berceramah kepada pelbagai peringkat masyarakat.

Bila orang hubungi kita pula, ada di mana? Di rumah. Esok orang telefon lagi. Di warung. Lusa orang telefon lagi. Bowling. Giant. Servay. Golf.

Sebenarnya seronoknya menjadi pendakwah. Kecil-kecilan pun tidak mengapa. Untuk kampung dan kawasan sekitarnya pun memadai. Ukur baju di badan sendiri.

Ilmu kita pun bukan tinggi dan banyak mana. Cukuplah untuk diri sendiri, anak isteri dan sampaikan kepada orang kampung mengikut kemampuan kita.

Oleh kerana kita pun bukannya manusia yang sangat baik, adalah baiknya sedikit kebaikan yang kita ada itu disebar-sebarkan. Maksudnya serba sedikit memberikan manfaat kepada orang lain.

Bukankah Nabi SAW mengatakan manusia paling baik itu ialah manusia yang ada manfaatnya kepada manusia. Itulah yang saya selalu fikirkan.

Apabila selalu mengajar, berceramah dan berkuliah, perkara yang selalu saya fikir dan harapkan agar sedikit ilmu yang disampaikan itu dapat dimanfaatkan oleh audien yang mendengar. Sikit pun tidak mengapa.

Mudah-mudahan adalah sedikit saham dan komisyen yang masuk dalam akaun akhirat saya. Sebab jika bergantung dengan amalan sendiri, saya akui tidaklah memadai.

Selalu juga saya teringatkan hadith 3 amalan yang masih mengalir pahalanya walaupun kita sudah tiada di dunia ini. Semua kita tahu hal ini.

Setidak-tidaknya, jika ilmu yang diajar itu dipraktik oleh sebahagian kecil orang dan mereka pula menunjuk ajar orang lain dan kemudian diikuti pula, sahamnya sedikit pun tidak berkurang.

Sebenarnya artikel ini ditulis apabila satu komen yang ditulis oleh Sdr Kasim Muyang, Pengerusi Masjid Lok Kawi Baru yang tertanya-tanya kuliah saya di masjid mereka sudah tertangguh 2-3 minggu.

p8240006Sebenarnya bukan saja di sana, juga di beberapa tempat lain.

Surau Petronas sejak Ramadhan lalu, Surau Taman Limauan  dan Surau Taman Olivia Kepayan sejak 2-3 minggu berlalu.

Tidak lupa Masjid Negeri yang banyak memberi pengalaman berharga.

(Saya kini tidak lagi berkuliah di Masjid Negeri sejak sebulan lalu setelah diSMS oleh Datuk Imam. Katanya kuliah saya diKIV. Saya menganggapnya sebagai satu pemberhentian dan jodoh saya di sana sudah berakhir).

Saya sebenarnya menyedari hakikat itu apabila terlalu lama tidak mengajar, perasan serba salah pula timbul. Tambahan pula saya seorang yang suka memberikan komitmen apabila sudah mengajar.

Mengajar dan berkuliah menimbulkan ukhuwwah Islamiyyah sesama jamaah. Cuma hambatan tugasan pejabat dan jabatan yang mesti juga diraikan bersama.

Ada satu wasiat yang disampaikan oleh Imam asy-Syahid Hassan al-Banna dalam hal ini yang selalu saya ingat-ingati berbanding wasiatnya yang lain.

Katanya, tugas dan kerja kita lebih banyak daripada waktu yang ada. Oleh itu ringkaskan urusan dalam semua pekerjaan.

Manakan tidak. Mana hal keluarga, pejabat, masjid, surau, hospital, parti, ngo. Semuanya mesti diuruskan dengan baik dalam ruang masa yang terbatas.

Tetapi sebenarnya itulah keseronokan dan keindahan dalam berdakwah. Keletihan dan pengorbanan merupakan satu kepuasan yang mempunyai nilai tersendiri.

Kini saya punya waktu maghrib yang kosong pada selasa dan rabu.

Saya tidak berhajat membiarkan waktu itu kosong tanpa kuliah dan bersedia mengisi mana-mana masjid dan surau yang memerlukan asal saja tidak jauh dari rumah.

Maklum saja, tiba di rumah dari pejabat sekitar jam 6 petang dan perlu bersiap lagi untuk ke kuliah.

Buat masjid dan surau yang saya ada jadual bersama mereka, insya Allah minggu ini saya akan mengisi program di tempat mereka. Tunggu!

Sesibuk mana ketika mesyuarat di Port Dickson, saya mencari sedikit ruang bertemu dengan sahabat lama Ust Md Ghazali Yunus dan isterinya Cikgu Katizah, berbangsa Kedayan.

Ust Ghazali berasal dari Kedah, manakala isterinya berasal dari Sandakan. Ust Ghazali pernah berkhidmat di Sabah selama 9 tahun.

Bermula mengajar di Terusan Sugut di Sandakan sekitar 3 tahun (?) dan kemudian berpindah ke SK Kepayan Kota Kinabalu.

pb1406921Menjelang Jun 2006 beliau berangkat pindah bagi menyambung pengajian di UKM dalam bidang usuluddin setiap hujung minggu dan dijangka berakhir setahun lagi.

Beliau kini mengajar di sebuah sekolah di Paroi manakala isterinya kini menyambung KPLI dalam bidang pemulihan.

Sahabat-sahabat yang mengenalinya lebih lama, pasti mengakui kerajinan dan kesungguhannya dalam menjalani aktiviti-aktiviti dakwah.

pb140695Seorang yang jarang sekali bersungut, bahkan selalu memenuhi kehendak dan keperluan sahabat.

Kehilangan dan perpindahannya ke N.Sembilan lebih 2 tahun lalu, sememangnya ditangisi.

Kunjungan sebentar ke rumahnya baru-baru ini di blok B Kg Sentosa membuktikan itu semua.

Melihat kereta proton iswara dan motor kapcainya SA 4394V di rumah yang dibawa dari Sabah, mengembalikan nostalgia manis di Sabah.

pb140699Sebagaimana hidupnya di Sabah dulu, beliau tidak lekang hadir ke surau yang tidak jauh dari rumahnya.

Saya lihat juga carta surau beliau dilantik sebagai pembantu imam. Padahal beliau baru saja 2 tahun di sini. Lihatlah kepercayaan masyarakat setempat kepadanya.

Bahkan tengah malam minggu lepas, seketika hendak menghantar saya kembali ke penginapan, rupanya jirannya seorang makcik tua telah kembali ke rahmatullah.

pb1508081Ghazali yang merancang untuk berangkat ke Kedah awal pagi esoknya bagi meraikan ibunya yang hendak ke Makkah terpaksa melewatkan musafir bagi membantu pengurusan awal janazah.

Raikan jiran baiknya.

Saya kagum melihatnya, sementelah pula sudah lewat 12 malam, beliau ditemani isterinya terpaksa pula menghantar saya kembali ke resort yang jauhnya hampir sejam perjalanan pergi.

Begitulah Ghazali Yunus yang tidak berubah pada pandangan saya, berulangkali disuarakannya agar datang kembali membawa keluarga.

Sebenarna begitulah juga yang disebut-sebutnya kepada sahabat-sahabat lain apabila berkunjung ke sini.

Sanggup datang ke KLIA menjemput sahabat dan memberi ruang masanya yang sibuk itu melayani karenah dan keperluan sahabat yang datang.

pb140768Ingatannya kepada anak sulung saya, Nuha Wafiyyah yang kini sudah berumur 5 tahun tidak pernah lekang di bibirnya.

Semua sahabat memahami betapa kasihnya kepada kanak-kanak sangat menyentuh naluri.

Tambahan pula pasangan ini belum dikurniakan cahayamata walaupun sudah beberapa tahun mendirikan rumahtangga.

Saya sangat terharu dengan komitmennya dengan sahabat-sahabat.

“Baliklah ke Sabah”. Pinta saya berulang kali.

Saya fikir, apalah kiranya sahabat-sahabat di Kota Kinabalu atau di mana saja berdiri sebentar di atas sajadah, buatkan solat hajat untuk mereka berdua, mohonkan kepada Allah agar dikurniakan cahayamata.

Saya menyedari mereka kesunyian.

Saya baru balik dari Negeri Sembilan menghadiri mesyuarat penyemakan al-Quran mulai khamis dan berakhir tengahari ahad.

Tiba di KLIA setelah dihantar dengan bas KDN, saya baru menyedari telefon bimbit saya tertinggal di dalam bas tersebut.

Bukan handphone itu yang disedihkan, tetapi nombor-nombor telefon dan maklumat di dalamnya yang sukar dicari ganti.

Saya sudah menghubungi mereka, insya Allah saya masih berkeyakinan telefon bimbit saya belum hilang berdasarkan maklumat sahabat di KDN, bro Zahid dan Pak Yunus. Harap sangat ia dapat ditemui dan dikirim segera ke Kota Kinabalu.

Mungkin handphone saya merajuk, sebab saya memang berhajat hendak menggantinya..

TAMBAHAN : Sekarang saya menggunakan handphone sementara, masih no celcom yang lama dan terpaksa mematikan handphone yang tertinggal di KL.

Sebahagian besar no telefon sahabat ada dengan saya sebab selama ini saya sememangnya menyalin ke dalam laptop. Cuma ada nama yang tercicir sebab lama tak update. Harap sahabat-sahabat bila SMS dapat tulis nama di belakang.

pb1508051

pb130622Sekitar jam 3.15 petang 13 Nov lalu, bas KDN yang kami naiki dari KLIA selamat tiba di Glory Beach Resort, Port Dickson.

Di dalam bas itu hanya kami berempat yang naik, Ust Syukri dan Ust Yusuf kedua-dua dari Sarawak dan saya bersama Ust Ibrahim dari Sabah.

Ini adalah mesyuarat kali kelima dan terakhir untuk tahun ini, sebelum kembali bertemu pada tahun hadapan.

pb140632Sebelum ini mesyuarat diadakan di Kuala Lumpur (dua kali), Ipoh dan Shah Alam.

Mesyuarat kali ini juga menyaksikan penampilan sulung sahabat saya, Imam Besar Masjid Negeri Sabah Ust Hj Ibrahim Kisab yang baru pertama kali dilantik ke dalam lajnah ini.

Saya pernah menulis satu catatan bulan lepas berkenaan peranan lajnah ini bagi menjaga kesahihan al-Quran al-Karim daripada sebarang pencemaran, sama ada ia berbentuk mashaf, vcd, dvd atau al-Quran Digital yang semakin banyak sekarang ini.

pb160836Seramai 32 orang daripada 35 ahli lajnah hadir ke mesyuarat kali ini.

Mesyuarat ini juga merakam sejarah semakan terbanyak setakat ini, apabila lebih 1400 juzu’ disemak.

Secara puratanya, setiap ahli lajnah dikehendaki menghabiskan semakan lebih kurang 45 juzu seorang selama tempoh berada di sini.

pb1406721Semakan bermula khamis malam jumaat dan berakhir pada pagi ahad sebelum mesyuarat terakhir dibuat untuk membuat keputusan penuh terhadap bahan-bahan yang disemak kali ini.

Bahan semakan yang diluar jangka kali ini menyebabkan hasrat masing-masing untuk santai seketika di pantai Port Dickson terpendam begitu sahaja.

Ini kerana semua ahli lajnah terpaksa bersengkang mata, ada yang berjaga sehingga jam 3-4 pagi untuk menyiapkan semakan.

pb1608581Masa rehat kebanyakannya dihabiskan untuk solat, makan dan kudapan yang disediakan di bilik mesyuarat.

Tidak dinafikan bahawa ini adalah mesyuarat semakan yang tersibuk pernah saya hadiri sehingga terpaksa merancang dengan penuh teliti pembahagian semakan supaya ada sedikit ruang untuk berehat.

pb160854Mengikut rekod, semakan paling banyak diterima ahli lajnah sebelum ini hanya sekitar 30 juzu sahaja berbanding tambahan 15 juzu atau lebih pada kali ini.

Walaubagaimanapun, sesibuk dan banyak bahan yang diterima, suasana mesyuarat penyemakan tetap ceria  tetapi penuh tanggungjawab dan kerjasama sesama ahli lajnah.

pb160868Tahniah kepada semua ahli lajnah, khusus pengendalian yang semakin tersusun oleh Ust Kamaruddin Komeng dari Johor selaku penolong setiausaha bersama urusetia Bahagian Kawalan Teks al-Quran KDN – Ust Rahimi, Pak Yunos dan Bro Zahid.

Semoga niat dan usaha yang murni ini mendapat ganjaran sewajarnya.

Amin.

pb160878

pb160866

Ramadhan lalu, ada satu program ziarah ukhuwwah yang dilakukan oleh Surau Riyadhus Solihin ke rumah pakcik Tasman yang menderita kesusahan. Cerita itu ada saya catatkan dalam blog ini :

 https://abunuha.wordpress.com/2008/09/14/penderitaan-keluarga-pakcik-tasman-sekeluarga-pilunya-hati/ 

p91300301Saya sempat mencatatkan bahawa salah seorang anak mereka yang bernama Abdul Talip baru saja menduduki UPSR.

Alhamdulillah, keputusan yang diumumkan beberapa hari lepas, Abdul Talip mendapat keputusan cemerlang, 5A. Melakar sejarah buat sekolah yang tidak pernah diberi harapan.

Kejayaan ada dimana-mana, asal sahaja usaha dan penyerahan yang bersungguh kepada Allah.

Kejayaan Abdul Talip menunjukkan kemiskinan dan kesusahan bukanlah penghalang kepada kejayaan dalam hidup.

Semoga Abdul Talip terus cemerlang dalam hidupnya, dunia dan akhirat serta membela keluarganya. Tahniah!

ADUAN DI SOOK

Ketika rehat-rehat dan makan di sebuah restoran di Sook, kami diceritakan oleh orang-orang di restoran itu bercerita tentang jenayah di Sook.

pb091308Sembang itu bermula apabila kami menyedari ada sekelompok pemuda yang dikatakan beragama Islam sedang santai-santai meminum arak di tepi premis, melakukan kekecohan dan mengganggu orang.

Orang-orang yang berada di restoran itu mungkin menyedari kami bukan orang sana lalu menunjukkan minat bercerita tanpa diminta.

“Tempat kami ni bukan ada balai polis. Kalau ada pun pondok buruk yang dibuat dengan nilai 15 ribu. Itu pun sebab ada orang besar datang. Siapa mau datang ke tempat begitu.”

“Balai polis yang terdekat di Keningau atau di Nabawan. Sebab tu jenayah makin banyak di sini,” kata seorang lagi.

pb091319“Encik, tolong ambil gambar, masukkan dalam suratkhabar”, pinta mereka, setelah menyedari saya tidak lekang dengan kamera.

“Ni mau pilihanraya ni, tau la kami mau ajar”.

Kami selamat kembali ke rumah masing-masing sekitar maghrib.

Banyak cerita ni.

 

pb091322

BERTEMU DI HUJUNG JALAN

Sejak beberapa hari kebelakangan, banyak artikel berkenaan saranan agar kita meningkatkan kepedulian ke Selatan Mindanao yang dilanda musibah perang.Antaranya artikel yang ditulis di dalam harakahdaily : http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=17836&Itemid=50  

Juga saranan hampir serupa oleh Sdr Roslan SMS : http://n32.blogspot.com bertajuk Rayuan buat bangsa Moro

Seingat saya, bersama beberapa orang sahabat di sini yang dipelopori oleh Yayasan Amal Malaysia Negeri Sabah telah melakukan beberapa pertemuan bagi membincangkan bantuan yang boleh dihulurkan kepada saudara seaqidah kita di sana.

Tentang hal itu, saya pernah mencatatkannya di dalam blog ini dalam Ramadhan yang lalu.

Selepas gerakan mengumpul dana itu, saya mendapat maklum kira-kira RM10 ribu dapat dikumpul sehingga selepas hari raya lepas.

Sudah tentu dimaklumi, Sabah adalah negeri dimana lokasi umat Islam berada lebih hampir berbanding negara lainnya.

Jadi, berbanding musibah yang mereka hadapi, dan kita sebagai jiran paling hampir, sudah pasti tidak memadai nilai sejumlah itu sahaja berbanding pelarian yang kian meningkat sehingga 500 hingga 600 ribu orang ramainya.

Sayugia juga, bangsa Iranun yang banyak terlibat dalam perang sama ada sebagai pejuang dan mangsa pelarian perang di sana, bangsa itu juga terdapat di Sabah.

(Almarhum bekas pesuruhjaya PAS Sabah Dr Datu Bandira berbangsa Iranun; Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Negeri Sabah Tuan Hj Khairan berbangsa Iranun; tidak lupa Speaker Dewan Rakyat Malaysia Tan Sri Pandikar Amin Hj Mulia juga berbangsa Iranun).

Apa yang menyedihkan apabila berlaku peperangan, yang menjadi mangsa ialah mereka yang tidak terlibat dengan pertempuran itu. Rumah-rumah dibakar, tanah dirampas, anak-anak tidak dapat meneruskan pendidikan lagi.

Selain itu pertempuran demi pertempuran berlaku antara tentera Kerajaan Filipina dan pejuang Islam Moro. Ia sudah berlaku hampir 50 tahun lalu.

Ketika itu Amerika memberi kemerdekaan kepada Filipina dengan memasukkan Mindanao sebagai sebahagian dari mereka tanpa persetujuan Mindanao.

Pada 1972 berlaku lagi peperangan sehingga kini.

Menurut khabar, pejuang MILF yang gugur syahid dalam tempoh empat bulan terakhir ini belum sampai 40 orang, berbanding tentera musuh yang terbunuh sekitar satu battalion iaitu sekitar 1200 orang.

Pejuang MILF adalah seramai 15 ribu bertembung dengan musuh yang mempunyai kekuatan 150 ribu tentera. Satu lawan sepuluh.

Ini berdasarkan serang-serang hendap dan taktik perang ala gerila yang MILF lakukan berikutan kekuatan pejuang yang sedikit berbanding musuh.

Walaubagaimanapun, maklumat sebegini jarang diketahui kerana media dikuasai oleh Kerajaan Kafir itu, menyebabkan bangsa Moro ini tidak begitu dikenali kerana kekangan media termasuk negara-negara jiran.

Kini sedikit sebanyak maklumat sebelah pejuang boleh diakses melalui laman web Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di : http://www.luwaran.net  

Teringat pesan seorang sahabat, jika kita di Malaysia berjuang melalui pilihanraya dan demokrasi, nun di seberang negara jiran mereka bertempur dengan darah dan senjata.

Kedua-duanya mencari kemenangan atau gugur di jalan Allah. Wasilah yang berlainan tetapi insya Allah akan bertemu di hujung jalan, satu hari nanti.

Teruskan sumbangan mencari dana untuk disumbangkan ke Mindanao dengan menghubungi Yayasan Amal Malaysia Negeri Sabah.

Sdr Ridhuan Othman : 019-8502525 dan memasukkan sumbangan ke akaun : 100 160 100 543 13 (BIMB). Atau boleh juga hantar serahan tangan kepada Sdr Abu Aslam 016-8337809.

Ingatlah Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada kita jalan jihad yang panjang ini, baginda telah bermandi darah dan berkubang keringat sehingga Islam bergema di seluruh belahan dunia ini.

Islam yang kita cintai ini pula tidak akan dibiarkan oleh Allah dengan diterjah dan dibantai oleh musuh tanpa pembelaan daripada pencintanya pada sepanjang zaman.

Semakin kuat hambatan dan kekangan itu, semakin ramai pejuang yang tampil walaupun mereka terpaksa membayarnya dengan harga yang mahal.

Ada di kalangan pejuang Islam yang sudah dipenjara, diusir, disiksa dan dibunuh oleh rejim yang berkuasa di tempat masing-masing.

Adakah kita tidak mahu termasuk hamba-hambaNya yang menjadi pencinta agama ini walaupun hanya dengan sedikit sumbangan kewangan?

Sedikit sumbangan untuk mereka, saudara seaqidah kita boleh memasukkan kita tergolong daripada umat yang diakui oleh Rasulullah SAW.

Bukankah mereka yang tidak mengambil berat tentang urusan orang Islam itu, tidak diakui sebagai umat baginda SAW? Mahukah kita begitu?

Di tengah-tengah perjalanan, kami singgah di bangunan Galeri Penerangan Meliau Basin, sebuah kawasan yang terletak di tengah-tengah Negeri Sabah.

Tempat ini dinamakan Kawasan Pemuliharaan Lembangan Meliau, satu tempat  yang berumur 15 juta tahun, tidak pernah diganggu oleh manusia.

Menurut keterangan yang kami perolehi, hutan ini menjadi tempat perlindungan spesis haiwan yang jarang ditemui dan terancam seperti gajah asia, monyet belanda, tembadau, dan orang utan.

Satu segi yang lain, ia merupakan satu kawasan hutan yang luas iaitu 390 km persegi dan puncak tertingginya ialah 1676m.

Satu fakta yang menarik ialah, 15 juta tahun lalu, kawasan ini ialah zon persisiran pantai berdasarkan jenis pasir dan fosil hidupan yang ditemui.

 

 

%d bloggers like this: