Ia seperti kaitan dengan pasang surut, putaran roda di atas dan di bawah.

Sejak telefon bimbit tertinggal di dalam bas KDN 2 minggu lepas, – yang saya yakini ‘belum’ hilang – saya agak lemas seketika.

Walaupun sudah punya handphone baru dan menggunakan nombor lama, ralat rasanya kerana banyak data tersimpan di dalam handphone lama. Selain memuatkan koleksi nombor telefon seperti orang lain, di dalamnya juga saya muatkan sinopsis bahan yang hendak saya tulis di dalam blog ini.

Agak banyak juga bahan-bahan yang saya muatkan tetapi kini saya hampir lupa kesemuanya.  Setiap perjalanan, buku yang telah dibaca, apa yang terpandang, juga sesuatu yang terlintas di fikiran, segera saya catatkan di dalam handphone.

Apabila kembali ke rumah, saya mencari ruang sendirian seperti ini, seperti waktu damai tengah malam sambil berhadapan dengan kaca tv juga, menulis kembali apa yang catatan ringkas di telefon bimbit tadi; di samping anak isteri yang sudah jauh terlena menerawang entah ke mana ruh mereka.

Tetapi itulah, dengan handphone baru saya belum mahir dan mesra dengannya, menyebabkan banyak pemandangan seharian terlepas daripada catatan. Saya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan teman baru ini.

Sementara 4-5 hari lepas, hambatan kerja di pejabat dan di rumah benar-benar merumitkan lagi keadaan untuk menulis.

Saya mengambil cuti isnin dan selasa lepas untuk mengecat semula bilik yang dibesarkan, – tidak semudah yang disangkakan rupanya, menyiapkan kandang arnab-arnab saya yang semakin membesar (kini sebanyak 11 ekor).

Tambahan kerja-kerja di pejabat menuntut kudrat yang lebih berbanding kebiasaan. Persiapan menganjurkan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah sudahpun bermula dan bahagian kami menjadi urusetia induk.

Saya diamanahkan menjaga hal ehwal buku aturcara sambutan. Tidak juga mudah tetapi tidak terlalu sukar. Mudah jika kerjasama diberikan oleh mereka yang berkaitan.

Mana lagi kerja-kerja unit yang tidak kesudahan bahkan semakin rumit dan kompleks bentuknya.

Buku rampasan perlu disemak kesahihan dan kebatilannya, begitu juga poster-poster, surat-surat serta aduan yang memerlukan penjelasan hukum, begitu juga dakwaan ajaran sesat dan salah yang sukar dibuktikan.

Itulah kerja saya sejak berada di unit penyelidikan genap 9 bulan lalu.

Sebenarnya ini hanya luahan perasaan untuk mengangkat kembali semangat menulis yang terganggu sedikit seminggu ini.

Kini kamera sudah kembali ke tangan setelah dibaiki 3 minggu lepas di KL, telefon bimbit baru menggamit semangat baru, sementara bilik di rumah sudah hampir kemas sepenuhnya.

Banyak bahan menuntut untuk dicatat di dalam blog ini.