Malam jumaat lepas, bersama Che’gu Jamil, kami berkunjung ke dua buah surau.

Maghrib di Surau Kg Lobou dan Isyak di Surau Kg Keliangau. Kedua-duanya adalah kampung yang penduduk muslimnya adalah muallaf. Sudahlah muallaf, minoriti pula.

Tujuan kunjungan ke sana untuk mengatur sedikit program sempena eidul adha yang mendatang.

Kedua-dua surau ini tidak pernah saya kunjungi walaupun nama kampung sudah saya ketahui beberapa tahun lalu. Kedua-dua wakil surau ini pernah saya jemput ke Istana Negeri satu masa dulu untuk menghadiri usrah Istana. Nostalgia..

pb270016Lewat tiba maghrib di Lobou, tetapi ada beberapa orang dewasa di sana dan beberapa kanak-kanak belajar mengaji.

Yang memimpinnya pun seorang muallaf yang saya kenal namanya sebagai Miasin.

Ada cerita menarik tentang Miasin ini. Masa lain akan saya cerita secara khusus.

Hampir Isyak kami berangkat pula ke Surau Kg Keliangau. Sekitar 10 minit dari Lobou.

Surau berada di atas bukit, dan kelihatan pemandangan malam yang indah bandaraya Kota Kinabalu.

pb270024Tiba di surau, nampak gelap. Ruang dalaman surau agak sederhana luas tetapi cantik dengan lantai berkarpet.

Harap-harap ada jamaah untuk melakukan sedikit rundingan program sambutan dan jamuan eidul adha.

Kami solat berdua saja setelah Che’gu Jamil melaungkan azan. PA system pula rosak.

Selesai solat, kami menanti seketika kot ada orang kampung turun untuk bincang dengan mereka soal sambutan itu nanti. Adalah seorang turun setelah dipanggil.

Tapi yang saya ingin sentuh di sini tentang sambutan masyarakat tentang surau dan masjid yang bagi saya belum memuaskan. Bukan saja di sini tapi di kebanyakan masjid dan surau.

Sesetengah masjid hanya dikunjungi ramai menjelang tengahari jumaat. Solat fardhu tidak seramai mana walaupun penduduk majoriti muslim.

Kadang-kadang kita gembira 10 orang ada berjamaah di masjid setiap malam. Kita gembira ada 20 orang, 30 orang, 40 orang jamaah Isyak di masjid.

Sedangkan kita tahu di luar sana ada lagi beratus bahkan mungkin ribu yang beragama Islam tidak hadir kerana hanya menonton tv di rumah, lepak di warung, jalan-jalan, tanpa urusan yang wajar ditakrifkan sebagai uzur syar’ie.

“Alah, sunnat muakkad saja”. Nanti jawab seorang.

“Alah, paling tinggi pun fardhu kifayah saja”. Nanti jawab seorang lagi.

Remehkah persoalan solat berjamaah?

Kami sembang-sembang konon bahawa kerajaan telah mendirikan masjid dan surau untuk kemudahan masyarakat Islam.

Persoalannya, yang mengarahkan pembinaan masjid pun tidak ke masjid untuk berjamaah. Cukup hari jumaat.

Di mana kita letakkan firman Allah ini :

“Orang-orang yang Kami beri kekuasaan memerintah di bumi, mereka MENDIRIKAN solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat baik, dan menegah berbuat mungkar. Kepada Allah kembali segala urusan”.

MENDIRIKAN SOLAT bukan mendirikan masjid.

Bila jenis pemimpin memang mendirikan solat, insya Allah dengan sendirinya masjid terbangun.

Tapi bila pemimpin hanya memikir membangun masjid tapi sendiri tidak solat, inilah salah satu punca masjid dan surau akan lengang.