1) Hukum

Hukum asal qurban ialah sunnat muakkadah iaitu sunnat yang sangat dituntut. Jumhur ulama mengatakan sunat melakukan ibadah qurban bagi yang mampu dan makruh meninggalkannya.

Walaubagaimanapun, jika ditinggalkan tidak berdosa dan tidak wajib mengqadha’nya sekalipun tanpa keuzuran.

Hukum sunnat ini akan menjadi muakkadah ainiyyah iaitu sunnat yang dituntut ke atas individu jika ia tinggal sendirian di dalam sebuah rumah. Sebaliknya, menjadi sunnat muakkadah kifayah iaitu sunnat yang dituntut secara umum bagi sebuah keluarga dalam sebuah rumah.

Ertinya, jika salah seorang daripada ahli keluarga  berkenaan melakukan qurban, gugurlah tuntutan sunnat kifayah keatas anggota keluarga yang lain. Dalam maksud yang lain, memadai jika dalam sebuah rumah ada seorang yang melakukan qurban. Jika ramai berqurban adalah lebih baik.

2. Waktu Penyembelihan Qurban.

Masa penyembelihan binatang qurban ialah bermula selepas naik matahari pada hari raya sekira-kira berlalu 2 rakaat solat dan khutbah hari raya sehingga terbenam matahari pada hari terakhir tasyriq iaitu hari ke 13 Zulhijjah.

Jika penyembelihan dilakukan sebelum atau selepas waktu itu, ia tidak termasuk ibadah qurban. Hanya menjadi sembelihan biasa sahaja.

3. Umur Binatang Qurban.

Unta yang gugur gigi hadapannya, yang sempurna umur lima tahun masuk tahun keenam. Lembu, kerbau dan kambing yang gugur gigi hadapannya, sempurna umur dua tahun masuk tahun ketiga.

Kambing biri-biri berumur setahun; atau gugur gigi hadapannya walaupun belum cukup umur setahun, sesudah berumur 6 bulan.

4. Masalah Kecacatan Atau Aib Binatang Qurban.

Binatang yang buta atau rosak matanya atau yang tidak dapat melihat walaupun biji matanya masih ada tidak boleh dibuat sembelihan. Jika matanya sedikit rabun tetapi boleh melihat, sah dijadikan qurban.

Binatang yang jelas tempang kakinya, jika ia berjalan bersama sekumpulan kawan-kawannya yang lain di padang untuk mencari makan, ia tidak dapat ikut bersama atau ketinggalan jauh di belakang, tidak boleh dijadikan qurban. Jika tempangnya sedikit, iaitu tempang yang tidak menghalang daripada mengikuti kawan-kawannya, maka sah dibuat qurban.

Binatang yang nyata sakitnya sehingga menyebabkan kurus dan kurang dagingnya tidak boleh dijadikan qurban. Jika sakitnya itu sedikit dan tidak mengurangi dagingnya, maka sah dibuat qurban.

Haiwan yang kurus sama ada kerana sakit, gila, kurang makan atau sebagainya tidak boleh dibuat qurban.

Haiwan yang terpotong telinganya walaupun sedikit, atau yang tidak bertelinga sejak awal tidak boleh dijadikan qurban kerana hilang sebahagian anggota yang boleh dimakan dan mengurangkan dagingnya. Tetapi tidak mengapa jika hanya terkoyak atau berlubang dengan syarat tidak gugur daripada dagingnya walaupun sedikit.

Haiwan yang terpotong ekornya walaupun sedikit tidak boleh dijadikan qurban. Adapun yang dilahirkan tanpa ekor semulajadinya adalah sah dibuat qurban. Tidak memadai (tidak sah) jika yang terpotong sebahagian lidahnya atau pahanya.

Haiwan yang gugur semua giginya sehingga menghalangnya makan rumput tidak boleh dijadikan qurban. Jika hanya tanggal sebahagiannya dan tidak menghalangnya makan rumput dan tidak mengurangkan dagingnya (kurus) ia boleh dibuat qurban.

Haiwan yang berpenyakit gila atau yang kena penyakit kurap sekalipun sedikit tidak boleh dijadikan qurban.

Haiwan yang bunting tidak boleh dijadikan qurban kerana bunting itu mengurangkan dagingnya. (al-Majmu’ dan Mughni al Muhtaj). Jika binatang itu baru beranak, boleh dibuat qurban berdasarkan pendapat Ibnu Hajar dan ar-Ramli dalam an-Nihayah.

5. Hukum Memakan Daging Qurban Wajib

Seseorang yang telah berqurban wajib iaitu ia bernazar, ia diharamkan memakan daging itu walaupun sedikit. Jika daging itu dimakannya wajib diganti kadar yang dimakannya, tetapi tidak wajib menyembelih binatang lain sebagai ganti.

6. Pembahagian Daging Qurban

Sunat orang yang berqurban sunnat memakan sebahagian atau sedikit daging qurbannya itu. Yang baiknya disedekahkan sebahagian daripada daging itu dalam keadaan mentah dan belum dimasak kepada orang fakir miskin yang Islam.

Harus juga orang yang berqurban itu membahagikan qurbannya kepada tiga bahagian, satu pertiga untuk dimakan; satu pertiga untuk disedekahkan kepada fakir miskin dan satu pertiga lagi dihadiahkan kepada orang kaya.

Tetapi yang paling afdhal ialah disedekahkan kesemuanya kecuali sedikit untuk dimakan beberapa suap untuk mengambil barakah, kerana itu lebih mendekatkan diri kepada taqwa dan menjauhkan diri kepada tamak dan mementingkan diri sendiri.

7. Daging Qurban Untuk Orang Bukan Islam.

Haram hukumnya memberi atau menghadiahkan daging qurban – sama ada mentah atau dimasak – kepada orang kafir sekalipun dia kaum kerabat, sama ada qurban wajib atau qurban sunnat walaupun sedikit, kerana qurban itu adalah perkara yang berhubung dengan ibadah. (I’anah at-Tholibin)

8. Daging Qurban Dijadikan Upah.

Kulit atu daging binatang qurban haram dijadikan upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan kepadanya sebagai sedekah jika ia miskin atau sebagai hadiah jika dia bukan orang miskin.

9. Berqurban Bagi Pihak Orang Lain.

Tidak sah melakukan ibadah qurban bagi orang yang masih hidup kecuali dengan ada izinnya, dan tidak sah juga melakukan ibadah qurban bagi orang yang telah meninggal dunia kecuali dengan ada wasiatnya.

10. Menjual Daging Qurban.

Menjual daging qurban sama ada qurban wajib atau sunnat adalah haram hukumnya bagi orang yang berqurban dan orang yang menerima qurban kecuali orang fakir dan miskin. Termasuk dilarang dijual ialah kulit, tanduk dan lain-lain anggota tubuh binatang qurban itu.

11. Perkara Sunnat Ketika Menyembelih.

– Menajamkan pisau yang akan digunakan.

– Menekan pisau pada leher binatang dengan kuat dan bersungguh dengan cepat supaya mudah putus urat halqum dan mari’nya.

– Orang yang menyembelih menghadap qiblat dan menghalakan leher binatang itu juga ke arah qiblat.

– Ketika hendak menyembelih sunnat membaca basmalah dan solawat.

– Sunnat diberi minum binatang yang akan disembelih.

– Sunnat dibiarkan sembelihan sehingga mati setelah selesai disembelih.

12. Perkara Yang Makruh Dilakukan Dalam Penyembelihan.

– Menajamkan pisau di hadapan binatang.

– Sengaja meninggalkan bacaan basmalah sebelum menyembelih.

– Menyembelih dengan pisau yang tumpul.

– Menyembelih binatang di hadapan binatang yang lain.

– Memutuskan, mematahkan kepalanya, anggota binatang sembelihan, menggerakkannya, memindahkannya sebaik sahaja selepas penyembelihan dilakukan.

– Menyembelih pada waktu malam tanpa sebab yang memerlukannya.

13. Berkongsi Seekor Binatang Untuk Qurban, Aqiqah, Dam Haji Dan Lain-Lain.

Seekor unta, lembu atau kerbau dagingnya boleh dikongsikan sama ada kesemua dagingnya khusus untuk aqiqah atau sebahagiannya untuk daging biasa atau sebahagiannya untuk qurban, asalkan sahaja pembahagian setiap seekor unta, lembu atau kerbau tidak lebih daripada tujuh bahagian. (al-Majmu’ Imam an-Nawawi)

Dipetik dan disesuaikan semula daripada buku Ibadah Korban Hukum & Cara Pengendaliannya, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam.