Baru-baru ini, JHEAINS mengadakan Bengkel Penulisan Khutbah di Hotel King Dynasty Park selama 2 hari. Ia mengumpulkan hampir 30 orang peserta daripada JHEAINS sendiri dan JAKIM.

Saya bagaimanapun tidak hadir atas faktor-faktor tertentu.

Saya sendiri melihat secara kasarnya ada empat faktor menyebabkan khutbah khususnya Jumaat kelihatan tidak berkesan.

Pertama, masalah teks. Masalah isu yang tidak relevan dengan jamaah, bahasa dan istilah yang sukar difahami atau terlalu bombastik menyebabkan khutbah tidak berkesan ke telinga jamaah.

Kedua, faktor khatib. Khatib tidak membuat persediaan, tidak memahami situasi setempat, suara tidak lantang dan bersemangat dan sebagainya.

Ketiga, faktor masjid. Misalnya situasinya terlalu panas, masalah PA sistem menyebabkan isu yang hendak diketengahkan tidak sampai.

Keempat, faktor jamaah. Jamaah datang lambat, bersembang semasa khutbah ataupun tidur.

p8080018Minggu demi minggu khutbah berlangsung, ia mungkin bermasalah dengan satu faktor sahaja atau mungkin saja keempat-empat faktor itu berlaku secara serentak.

Teks tidak sesuai, tambah pula khatib tidak bersedia; PA sistem bermasalah dan jamaah pula ramai lena.

Atau ada ketikanya teksnya sangat bagus, khatib pula tidak hadam dengan apa yang dibacanya. Tidak bersemangat, gagap, lagak seperti membaca berita atau membaca talkin sehingga tidak menusuk ke sudut hati yang mendengar.

Pernah kedengaran khatib terdiam seketika sambil mengeja satu istilah tulisan jawi. Kelihatan mulutnya kumat kamit mengeja sehingga rasanya jamaah tahu apa yang hendak disebutnya, cuma dia saja belum dapat menangkap lagi.

Ada juga ketikanya khatib bersemangat dan nada suara jelas, cuma isunya tidak relevan dengan situasi setempat. Pernah di kampung saya berlaku khatib membaca teks berkenaan dengan isu saham dan pelaburan BSKL. Ia langsung tiada kaitan dengan penduduk kampung yang mendengar.

Atau isu pertanian di kampung nelayan dan sebaliknya. Atau isu yang berat dibawa ke kampung-kampung sehingga jamaah sukar memahami. Atau juga isu terlalu remeh dan ringan dibawa ke masjid-masjid di tengah kota.

Sebaik-baiknya sederhanalah. Jika khatib tidak mampu mengarang dan berkarya sendiri, cuma mampu membaca teks yang tersedia, hadamkanlah teks sebelum naik ke mimbar.

Ulangi sehingga lancar terutama petikan berbahasa arab seperti puji-pujian dan salawat di muqaddimahnya, ayat al-Quran dan Hadith Nabi SAW.

Pastikan juga isunya sesuai dengan jamaah.

Konsep saya berkhutbah, jika di kampung-kampung saya akan bawakan isu yang rendah seperti hal orang kahwin, pengisian cuti sekolah untuk anak-anak, dan seumpamanya bersesuaian dengan tahap orang kampung.

Setengahnya saya tanya terlebih dahulu kepada pengerusi atau beberapa JK masjid, masalah yang berlaku di tempat itu.

Sementara jika di bandar, isunya berat. Rasuah, kepimpinan, isu antarabangsa seperti Palestin, dan seumpamanya.

Faktor ketiga pernah saya alami ketika berkhutbah di sebuah masjid di Tuaran. Pihak teknikal masjid sebenarnya sudah memastikan mikrofon berfungsi. Cuma apabila naik ke mimbar, mikrofon yang menggunakan bateri habis pula.

Sepanjang khutbah dan solat jumaat saya terpaksa berteriak. Mujur masjid kampung, yang jamaahnya agak sederhana sekitar 50-60 orang.

Saya tidak marah kepada mereka. Cuma selepas itu saya mengatakan ini satu pengajaran kepada mereka. Saya bimbang mereka malu kerana jumaat hari itu dihadiri oleh TYT.

Jika ketiga-tiga faktor sudah beres – teks bagus dan sesuai, khatib pula lancar dan bersemangat, masjid selesa dan PA sistem berfungsi baik; jika bermasalah juga, ia adalah pada diri jamaah itu sendiri.

Sikap yang tidak mahu berubah, menganggap khutbah jumaat hanya sebagai rutin hari jumaat, datang pula lambat, bila hadir berbual sakan dengan teman sebelah, atau khusyuk tertidur.

Sebenarnya majlis khutbah dan solat Jumaat adalah ruang wajib untuk setiap diri lelaki mukallaf untuk memperkukuh kekuatan iman dan Islam.

Jika tiada kuliah maghrib atau subuh sekalipun, khutbah jumaat itulah ruang untuk mengecas diri, mendengar ucapan dasar mingguan untuk dipegang dan diamal sebelum tiba Jumaat mendatang.