Pagi tadi saya berkesempatan mengisi slot di kelas Teratak Fitrah. Tajuknya berkenaan kaedah menjaga aqidah.

Sebelum menuju ke tajuk berkenaan, saya bercerita kepada mereka beberapa kisah teladan yang patut diambil pengajaran.

Antaranya kisah ketabahan seorang ibu bernama Yuhanidy yang melahirkan seorang manusia mulia iaitu Nabi Musa, bagaimana keteguhan aqidah dan imannya kepada Allah telah menghanyutkan bayinya ke sungai Nil.

Tetapi Allah SWT telah menjanjikan bahawa anaknya itu akan diselamatkan dan dipertemukan kembali dengan ibunya. Akhirnya, sebagaimana yang kita maklum, Nabi Musa membesar di istana Firaun sendiri, dan Nabi Musa disusukan oleh ibunya sendiri.

Saya juga menceritakan kepada mereka kisah malang yang menimpa Sayyidina Umar al-Khattab RA, apabila satu hari pada zaman jahiliyyahnya telah menanam anak perempuannya hidup-hidup.

Perkara itu adalah antara kisah yang dikenangnya setelah Amirul Mu’minin memeluk Islam. Tetapi yang membanggakan Islam sepanjang zaman, Sayyidina Umar  telah menjadi salah satu wira utama dalam perjuangan menegakkan Islam.

Baginda Umar adalah orangnya yang menjelmakan keislamannya secara terang-terangan, bahkan hijrahnya juga terang-terangan di hadapan musyikin Quraiysh Makkah sedangkan sahabat lain terpaksa menyembunyikannya.

Saya juga menceritakan satu babak hebat perdebatan anak muda bernama Nu’man yang akhirnya dikenali sebagai Imam Abu Hanifah dengan seorang dahriy – yang cuba hendak mencabar ketuanan Islam bahkan memperlekeh ulama yang ada pada zaman itu.

Pendek cerita, Imam Abu Hanifah menjadi wira umat Islam apabila berjaya menumbangkan si Dahriy itu tatkala ulama pada zaman itu satu demi satu tewas dalam perdebatan dengan Dahriy.

Saya menyebutkan contoh-contoh demikian sebagai suatu galakan dan motivasi kepada pelajar Teratak Fitrah yang kesemuanya muallaf,  mudah-mudahan hidup mereka sebagai seorang Islam akan sentiasa subur dan mekar sehingga nyawa kembali kepada Allah SWT walaupun berhadapan dengan bermacam dugaan hidup.

Saya membawa contoh ibu Nabi Musa yang tabah, membawa kisah Sayyidina Umar (yang juga seorang muallaf), juga Imam Abu Hanifah seorang pemuda yang berani lagi bijaksana.