Ini bukan nama orang.

pb170584Ini adalah satu tajuk buku yang saya khatam baca ketika ‘terbang’ balik ke Kota Kinabalu dari KLIA ahad lepas.

Sebenarnya saya tertonton promo buku ini oleh penulis di TV1 minggu lepas dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Lalu saya terlihat pula buku ini di kedai buku di Terminal KLIA lantas membelinya.

Ia berbentuk cerita dan catatan perjalanan penulis tentang hajinya pada tahun 2002 bersama beberapa ahli keluarganya.

Pun ia satu diari perjalanan, ia juga memuatkan beberapa tips untuk menjadi tetamu Allah di bumi barakah itu.

Ini termasuk cadangan-cadangan kaedah mengumpul wang agar dapat dicukupkan kos dalam tempoh usia muda.

Memang menjadi lumrah dan sebutan umum pelbagai alasan diberi apabila seseorang enggan pergi haji pada usia muda. Jawapan paling nakal ialah belum puas enjoy.

Satu jawapan yang dangkal juga apabila mengatakan haji itu untuk orang-orang pencen saja.

Saya turut mengakui hakikat bahawa saudara kita dari Indonesia lebih ke hadapan dalam hal ini.

Saya yang turut menunaikan haji pada tahun penulis ini pergi melihat ramai di kalangan jamaah haji Indonesia terdiri daripada kalangan belia.

Ketika itu umur saya 23 tahun dan bermusafir haji dari Mesir bersama 17 lagi siswa Sabah serta ratusan siswa Malaysia yang menuntut di bumi Anbiya’ itu.

Ibadah haji antaranya adalah ibadah harta dan fizikal.

Ia memerlukan kekuatan stamina kerana perlu melalui jalan yang jauh, berada dalam kesesakan kelompok manusia yang sangat ramai jumlahnya serta berjalan kaki dalam jarak yang boleh tahan juga.

Dari hotel ke masjid dan sebaliknya, pusingan 7 kali tawaf, 7 kali saie, melontar di mina dan sebagainya memerlukan kudrat yang bukan sedikit.

Ridzwan Bakar, penulis buku ini turut menyarankan agar pembaca mengkhatamkan terlebih dahulu buku ‘TRAVELOG HAJI’ : MENGUBAH SEMPADAN IMAN’ yang ditulis oleh Prof Dr Md Kamil Ibrahim, Pengarah UiTM Johor.

Saya kira buku sebegini sangat perlu dibaca khusus mereka yang khuatir untuk pergi haji kali pertama. Catatan ini membuatkan pembaca seolah-olah bersama dalam perjalanan mereka. Sebenarnya tiada apa yang harus dibimbangi apabila kita jujur dan suci hati menuju ke arahnya.

Haji sebenarnya adalah ibadah yang sangat menyeronokkan apabila kena gayanya.

Juga kunjungi blog penulis buku ini di http://ridzwan-bakar.blogspot.com