Saya seringkali meronda dan meninjau-ninjau blog orang lain. Ada sedikit kehampaan apabila melihat beberapa blog sahabat mula merudum sedikit demi sedikit. Mula terabai dan jarang dikemas kini.

Kalau setakat seminggu tu kira okeylah sebab kita ni bukan wartawan ada bahan tiap hari.

Tetapi kalau sebulan lengang, mungkin menyebabkan peminat dalam diam kita sudah mulai kecewa dan tidak berkunjung lagi.

Saya sangat berharap sahabat-sahabat yang saya ketahui selalu masuk ke blog ini agar kemas kini blog masing-masing. Sebenarnya ketahuilah bahawa sesama sahabat ini sering merindui tulisan-tulisan terkini mereka.

Kebanyakan peminat-peminat setia walaupun kecil jumlahnya mungkin ternanti-nanti, apa lagi cerita hari ini. Esok apa pula. Lusa apa pula.

Itulah juga perasaan saya apabila melayari hampir setiap hari blog penulis-penulis hebat yang saya minati seperti Haji Mohd Sayuti Omar (http://www.msomelayu.blogspot.com/), Roslan SMS (http://n32.blogspot.com/), Ust Nasruddin Tantawi (http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/), Ust Nik Abduh (http://nikabduh.wordpress.com/) dan lain-lain lagi.

Tetapi itu juga yang saya risaukan apabila masuk ke dunia siber ini. Bimbang-bimbang tidak boleh update sehingga menyebabkan mereka yang selalu berkunjung ini merasa hampa dan kecewa.

Saya tahu ada kalangan sahabat yang sering ke mari setiap pagi, setiap petang atau setiap malam.

Saya melihat perlunya pembahagian tugas dalam mengisi dunia blog ini. Ada yang fokus soal kampus, teruskan. Seperti saudara Fairuz fokus soal Kristianisasi itu adalah sesuatu yang sangat baik.

Tetapi yang banyaknya rojak. Menulis apa yang dia mahu. Ya, tiada siapa mahu larang. Blog pun masing-masing punya. Tetapi selain blogger, kita juga adalah du’at.

Bagi saya sendiri, fokus utama ialah catatan perjalanan harian. Ia seolah-olah diari tetapi disebalik yang tersurat itu ada yang tersirat. Terpulang masing-masing pembaca menilainya. Cuma sesekali saya menulis diluar daripada kebiasaan itu.

Setiap hari saya melihat statistik.

Apabila saya mendedahkan bahawa saya akan keluar daerah dan tidak update blog, setiap kali itulah statistik akan jatuh merudum dalam tempoh kadang-kadang hingga seminggu.

Sebenarnya saya gembira melihat ramai sahabat-sahabat turun dan tampil sebagai blogger. Ia bukan setakat memeriahkan dunia ini tetapi mengambil peranan dan mengisi maya dengan sesuatu yang lebih bermanfaat.

Tetapi sebagaimana yang pernah saya catatkan, biar sedikit tetapi jalan terus.