Archive for 18 November 2008


p8020094Kita bakal kehilangan seorang lagi pendakwah muda yang berkaliber apabila sahabat seperjuangan Ust Zulkili Mustafa bakal berpindah ke Kedah hujung bulan ini.

Setelah 14 tahun menabur bakti di negeri orang, kini tiba masa untuk beliau kembali berbudi di negeri sendiri.

Katanya memenuhi janji seorang anak kepada seorang ibu.

Sepanjang tempoh tugasnya mendidik anak bangsa di Maktab Sabah, beliau tidak pernah memohon untuk berpindah balik.

Cuma kini, setelah ia memohon kali pertama, permintaan pindah balik itu langsung diterima dan diluluskan.

Saya sendiri punya kenangan tersendiri dengan Ust Zulkifli. Ketika berada di tingkatan lima di SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah – 1996, saya sudah mengenalinya.

Kami diajak menyertai satu program yang saya lupa namanya, ketika itu di Surau Taman Sempelang. Ust Zulkifli adalah antara orang kuatnya. 

Selepas program untuk pelajar itu selesai, saya diajak lagi ke rumahnya untuk menonton video ceramah.

dscn1926Cuma saja saya tidak dapat turut serta lagi kerana punya kelas tambahan petang hari yang sama. Maklumlah ketika itu SPM tidak lama lagi.

Satu perkara lagi yang saya sedari dalam kuliah atau usrah berkenaan Ust Zulkifli ini ialah beliau adalah seorang yang lembut dalam bicaranya tetapi sentuhannya penuh makna. Perhatikanlah.

Abang Md Pozi pula mengatakan kelainan Ust Zulkifili dalam kuliah atau ceramahnya apabila sering memulakan ceramah dengan ayat al-Quran sebagai satu sentuhan pemula dan muqaddimahnya.

Dalam program kepartian, Ust Zulkifli sering dikenali sebagai salah seorang pemandu kenderaan kepada pimpinan yang hadir ke Sabah.

Antaranya Ust Azizan Abd Razak yang kini menjadi Menteri Besar Kedah dan pimpinan yang lain.

Di peringkat kawasan, beliau adalah seorang yang cinta kepada kebajikan sesama sahabat.

Tidak lekang kepeduliannya terhadap sahabat yang ditimpa musibah, atau mendapat berita gembira seperti perkahwinan dan kelahiran cahayamata, kenduri dan sebagainya.

dscn1929Beliau juga sering menyertai program ziarah pesakit Hospital Queen Elizabeth anjuran Masjid Negeri dan NGO Islam.

Surau Taman Sempelang akan kehilangan tenaga utamanya, begitu juga surau Taman Austral akan kehilangan seorang lagi pengkuliah yang konsisten dan hebat.

Nampaknya kita semakin kehilangan dan kekurangan kerana penggerak semakin susut, tatkala mereka yang sepatutnya bersama kita mengambil langkah menjarak diri. Adanya seperti tiada.

Sesuatu mesti dilakukan.

Sebenarnya, usaha dakwah saya tidaklah sebegitu gagah dan deras sebagaimana para pendakwah lain yang jauh lebih hebat. Sangat dan terlalu sedikit dan kecil nilainya.

Usah dibandingkan dengan perjuangan Rasulullah dan para sahabatnya. Tidak juga para salafus soleh dan para ulama mujtahidin.

Bandingkan saja diri kita dengan para pendakwah yang ada di negara kita. Usahlah yang tarafnya high profile, dengan ustaz-ustaz dan pendakwah biasa-biasa pun sudah cukup. Malu kita dibuatnya.

p9190203Bandingkan diri kita dengan orang-orang seperti Hj Nicholas Sylvester, Hj Ayub Abd Rahman, Lim Jooi Soon dan seumpama mereka yang lambat sedikit menerima Islam berbanding kita yang Islam sejak dalam perut ibu hingga ke hari ini.

Orang-orang yang selalu berurusan dengan mereka ini akan sering mendapati bahawa diri mereka tidak selalu lekat di rumah.

Sekali kita telefon mereka, katanya ada di Johor Bharu. Esok kita telefon lagi, ada di Sungai Petani. Lusa kita telefon lagi ada di Jerantut. Telefon lagi, ada di Ranau. Telefon lagi, di Kuching pula.

Bukan enjoy tapi menyampaikan kuliah dan memenuhi undangan berceramah kepada pelbagai peringkat masyarakat.

Bila orang hubungi kita pula, ada di mana? Di rumah. Esok orang telefon lagi. Di warung. Lusa orang telefon lagi. Bowling. Giant. Servay. Golf.

Sebenarnya seronoknya menjadi pendakwah. Kecil-kecilan pun tidak mengapa. Untuk kampung dan kawasan sekitarnya pun memadai. Ukur baju di badan sendiri.

Ilmu kita pun bukan tinggi dan banyak mana. Cukuplah untuk diri sendiri, anak isteri dan sampaikan kepada orang kampung mengikut kemampuan kita.

Oleh kerana kita pun bukannya manusia yang sangat baik, adalah baiknya sedikit kebaikan yang kita ada itu disebar-sebarkan. Maksudnya serba sedikit memberikan manfaat kepada orang lain.

Bukankah Nabi SAW mengatakan manusia paling baik itu ialah manusia yang ada manfaatnya kepada manusia. Itulah yang saya selalu fikirkan.

Apabila selalu mengajar, berceramah dan berkuliah, perkara yang selalu saya fikir dan harapkan agar sedikit ilmu yang disampaikan itu dapat dimanfaatkan oleh audien yang mendengar. Sikit pun tidak mengapa.

Mudah-mudahan adalah sedikit saham dan komisyen yang masuk dalam akaun akhirat saya. Sebab jika bergantung dengan amalan sendiri, saya akui tidaklah memadai.

Selalu juga saya teringatkan hadith 3 amalan yang masih mengalir pahalanya walaupun kita sudah tiada di dunia ini. Semua kita tahu hal ini.

Setidak-tidaknya, jika ilmu yang diajar itu dipraktik oleh sebahagian kecil orang dan mereka pula menunjuk ajar orang lain dan kemudian diikuti pula, sahamnya sedikit pun tidak berkurang.

Sebenarnya artikel ini ditulis apabila satu komen yang ditulis oleh Sdr Kasim Muyang, Pengerusi Masjid Lok Kawi Baru yang tertanya-tanya kuliah saya di masjid mereka sudah tertangguh 2-3 minggu.

p8240006Sebenarnya bukan saja di sana, juga di beberapa tempat lain.

Surau Petronas sejak Ramadhan lalu, Surau Taman Limauan  dan Surau Taman Olivia Kepayan sejak 2-3 minggu berlalu.

Tidak lupa Masjid Negeri yang banyak memberi pengalaman berharga.

(Saya kini tidak lagi berkuliah di Masjid Negeri sejak sebulan lalu setelah diSMS oleh Datuk Imam. Katanya kuliah saya diKIV. Saya menganggapnya sebagai satu pemberhentian dan jodoh saya di sana sudah berakhir).

Saya sebenarnya menyedari hakikat itu apabila terlalu lama tidak mengajar, perasan serba salah pula timbul. Tambahan pula saya seorang yang suka memberikan komitmen apabila sudah mengajar.

Mengajar dan berkuliah menimbulkan ukhuwwah Islamiyyah sesama jamaah. Cuma hambatan tugasan pejabat dan jabatan yang mesti juga diraikan bersama.

Ada satu wasiat yang disampaikan oleh Imam asy-Syahid Hassan al-Banna dalam hal ini yang selalu saya ingat-ingati berbanding wasiatnya yang lain.

Katanya, tugas dan kerja kita lebih banyak daripada waktu yang ada. Oleh itu ringkaskan urusan dalam semua pekerjaan.

Manakan tidak. Mana hal keluarga, pejabat, masjid, surau, hospital, parti, ngo. Semuanya mesti diuruskan dengan baik dalam ruang masa yang terbatas.

Tetapi sebenarnya itulah keseronokan dan keindahan dalam berdakwah. Keletihan dan pengorbanan merupakan satu kepuasan yang mempunyai nilai tersendiri.

Kini saya punya waktu maghrib yang kosong pada selasa dan rabu.

Saya tidak berhajat membiarkan waktu itu kosong tanpa kuliah dan bersedia mengisi mana-mana masjid dan surau yang memerlukan asal saja tidak jauh dari rumah.

Maklum saja, tiba di rumah dari pejabat sekitar jam 6 petang dan perlu bersiap lagi untuk ke kuliah.

Buat masjid dan surau yang saya ada jadual bersama mereka, insya Allah minggu ini saya akan mengisi program di tempat mereka. Tunggu!

Sesibuk mana ketika mesyuarat di Port Dickson, saya mencari sedikit ruang bertemu dengan sahabat lama Ust Md Ghazali Yunus dan isterinya Cikgu Katizah, berbangsa Kedayan.

Ust Ghazali berasal dari Kedah, manakala isterinya berasal dari Sandakan. Ust Ghazali pernah berkhidmat di Sabah selama 9 tahun.

Bermula mengajar di Terusan Sugut di Sandakan sekitar 3 tahun (?) dan kemudian berpindah ke SK Kepayan Kota Kinabalu.

pb1406921Menjelang Jun 2006 beliau berangkat pindah bagi menyambung pengajian di UKM dalam bidang usuluddin setiap hujung minggu dan dijangka berakhir setahun lagi.

Beliau kini mengajar di sebuah sekolah di Paroi manakala isterinya kini menyambung KPLI dalam bidang pemulihan.

Sahabat-sahabat yang mengenalinya lebih lama, pasti mengakui kerajinan dan kesungguhannya dalam menjalani aktiviti-aktiviti dakwah.

pb140695Seorang yang jarang sekali bersungut, bahkan selalu memenuhi kehendak dan keperluan sahabat.

Kehilangan dan perpindahannya ke N.Sembilan lebih 2 tahun lalu, sememangnya ditangisi.

Kunjungan sebentar ke rumahnya baru-baru ini di blok B Kg Sentosa membuktikan itu semua.

Melihat kereta proton iswara dan motor kapcainya SA 4394V di rumah yang dibawa dari Sabah, mengembalikan nostalgia manis di Sabah.

pb140699Sebagaimana hidupnya di Sabah dulu, beliau tidak lekang hadir ke surau yang tidak jauh dari rumahnya.

Saya lihat juga carta surau beliau dilantik sebagai pembantu imam. Padahal beliau baru saja 2 tahun di sini. Lihatlah kepercayaan masyarakat setempat kepadanya.

Bahkan tengah malam minggu lepas, seketika hendak menghantar saya kembali ke penginapan, rupanya jirannya seorang makcik tua telah kembali ke rahmatullah.

pb1508081Ghazali yang merancang untuk berangkat ke Kedah awal pagi esoknya bagi meraikan ibunya yang hendak ke Makkah terpaksa melewatkan musafir bagi membantu pengurusan awal janazah.

Raikan jiran baiknya.

Saya kagum melihatnya, sementelah pula sudah lewat 12 malam, beliau ditemani isterinya terpaksa pula menghantar saya kembali ke resort yang jauhnya hampir sejam perjalanan pergi.

Begitulah Ghazali Yunus yang tidak berubah pada pandangan saya, berulangkali disuarakannya agar datang kembali membawa keluarga.

Sebenarna begitulah juga yang disebut-sebutnya kepada sahabat-sahabat lain apabila berkunjung ke sini.

Sanggup datang ke KLIA menjemput sahabat dan memberi ruang masanya yang sibuk itu melayani karenah dan keperluan sahabat yang datang.

pb140768Ingatannya kepada anak sulung saya, Nuha Wafiyyah yang kini sudah berumur 5 tahun tidak pernah lekang di bibirnya.

Semua sahabat memahami betapa kasihnya kepada kanak-kanak sangat menyentuh naluri.

Tambahan pula pasangan ini belum dikurniakan cahayamata walaupun sudah beberapa tahun mendirikan rumahtangga.

Saya sangat terharu dengan komitmennya dengan sahabat-sahabat.

“Baliklah ke Sabah”. Pinta saya berulang kali.

Saya fikir, apalah kiranya sahabat-sahabat di Kota Kinabalu atau di mana saja berdiri sebentar di atas sajadah, buatkan solat hajat untuk mereka berdua, mohonkan kepada Allah agar dikurniakan cahayamata.

Saya menyedari mereka kesunyian.

Saya baru balik dari Negeri Sembilan menghadiri mesyuarat penyemakan al-Quran mulai khamis dan berakhir tengahari ahad.

Tiba di KLIA setelah dihantar dengan bas KDN, saya baru menyedari telefon bimbit saya tertinggal di dalam bas tersebut.

Bukan handphone itu yang disedihkan, tetapi nombor-nombor telefon dan maklumat di dalamnya yang sukar dicari ganti.

Saya sudah menghubungi mereka, insya Allah saya masih berkeyakinan telefon bimbit saya belum hilang berdasarkan maklumat sahabat di KDN, bro Zahid dan Pak Yunus. Harap sangat ia dapat ditemui dan dikirim segera ke Kota Kinabalu.

Mungkin handphone saya merajuk, sebab saya memang berhajat hendak menggantinya..

TAMBAHAN : Sekarang saya menggunakan handphone sementara, masih no celcom yang lama dan terpaksa mematikan handphone yang tertinggal di KL.

Sebahagian besar no telefon sahabat ada dengan saya sebab selama ini saya sememangnya menyalin ke dalam laptop. Cuma ada nama yang tercicir sebab lama tak update. Harap sahabat-sahabat bila SMS dapat tulis nama di belakang.

%d bloggers like this: