Sejak beberapa hari kebelakangan, banyak artikel berkenaan saranan agar kita meningkatkan kepedulian ke Selatan Mindanao yang dilanda musibah perang.Antaranya artikel yang ditulis di dalam harakahdaily : http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=17836&Itemid=50  

Juga saranan hampir serupa oleh Sdr Roslan SMS : http://n32.blogspot.com bertajuk Rayuan buat bangsa Moro

Seingat saya, bersama beberapa orang sahabat di sini yang dipelopori oleh Yayasan Amal Malaysia Negeri Sabah telah melakukan beberapa pertemuan bagi membincangkan bantuan yang boleh dihulurkan kepada saudara seaqidah kita di sana.

Tentang hal itu, saya pernah mencatatkannya di dalam blog ini dalam Ramadhan yang lalu.

Selepas gerakan mengumpul dana itu, saya mendapat maklum kira-kira RM10 ribu dapat dikumpul sehingga selepas hari raya lepas.

Sudah tentu dimaklumi, Sabah adalah negeri dimana lokasi umat Islam berada lebih hampir berbanding negara lainnya.

Jadi, berbanding musibah yang mereka hadapi, dan kita sebagai jiran paling hampir, sudah pasti tidak memadai nilai sejumlah itu sahaja berbanding pelarian yang kian meningkat sehingga 500 hingga 600 ribu orang ramainya.

Sayugia juga, bangsa Iranun yang banyak terlibat dalam perang sama ada sebagai pejuang dan mangsa pelarian perang di sana, bangsa itu juga terdapat di Sabah.

(Almarhum bekas pesuruhjaya PAS Sabah Dr Datu Bandira berbangsa Iranun; Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Negeri Sabah Tuan Hj Khairan berbangsa Iranun; tidak lupa Speaker Dewan Rakyat Malaysia Tan Sri Pandikar Amin Hj Mulia juga berbangsa Iranun).

Apa yang menyedihkan apabila berlaku peperangan, yang menjadi mangsa ialah mereka yang tidak terlibat dengan pertempuran itu. Rumah-rumah dibakar, tanah dirampas, anak-anak tidak dapat meneruskan pendidikan lagi.

Selain itu pertempuran demi pertempuran berlaku antara tentera Kerajaan Filipina dan pejuang Islam Moro. Ia sudah berlaku hampir 50 tahun lalu.

Ketika itu Amerika memberi kemerdekaan kepada Filipina dengan memasukkan Mindanao sebagai sebahagian dari mereka tanpa persetujuan Mindanao.

Pada 1972 berlaku lagi peperangan sehingga kini.

Menurut khabar, pejuang MILF yang gugur syahid dalam tempoh empat bulan terakhir ini belum sampai 40 orang, berbanding tentera musuh yang terbunuh sekitar satu battalion iaitu sekitar 1200 orang.

Pejuang MILF adalah seramai 15 ribu bertembung dengan musuh yang mempunyai kekuatan 150 ribu tentera. Satu lawan sepuluh.

Ini berdasarkan serang-serang hendap dan taktik perang ala gerila yang MILF lakukan berikutan kekuatan pejuang yang sedikit berbanding musuh.

Walaubagaimanapun, maklumat sebegini jarang diketahui kerana media dikuasai oleh Kerajaan Kafir itu, menyebabkan bangsa Moro ini tidak begitu dikenali kerana kekangan media termasuk negara-negara jiran.

Kini sedikit sebanyak maklumat sebelah pejuang boleh diakses melalui laman web Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di : http://www.luwaran.net  

Teringat pesan seorang sahabat, jika kita di Malaysia berjuang melalui pilihanraya dan demokrasi, nun di seberang negara jiran mereka bertempur dengan darah dan senjata.

Kedua-duanya mencari kemenangan atau gugur di jalan Allah. Wasilah yang berlainan tetapi insya Allah akan bertemu di hujung jalan, satu hari nanti.

Teruskan sumbangan mencari dana untuk disumbangkan ke Mindanao dengan menghubungi Yayasan Amal Malaysia Negeri Sabah.

Sdr Ridhuan Othman : 019-8502525 dan memasukkan sumbangan ke akaun : 100 160 100 543 13 (BIMB). Atau boleh juga hantar serahan tangan kepada Sdr Abu Aslam 016-8337809.

Ingatlah Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada kita jalan jihad yang panjang ini, baginda telah bermandi darah dan berkubang keringat sehingga Islam bergema di seluruh belahan dunia ini.

Islam yang kita cintai ini pula tidak akan dibiarkan oleh Allah dengan diterjah dan dibantai oleh musuh tanpa pembelaan daripada pencintanya pada sepanjang zaman.

Semakin kuat hambatan dan kekangan itu, semakin ramai pejuang yang tampil walaupun mereka terpaksa membayarnya dengan harga yang mahal.

Ada di kalangan pejuang Islam yang sudah dipenjara, diusir, disiksa dan dibunuh oleh rejim yang berkuasa di tempat masing-masing.

Adakah kita tidak mahu termasuk hamba-hambaNya yang menjadi pencinta agama ini walaupun hanya dengan sedikit sumbangan kewangan?

Sedikit sumbangan untuk mereka, saudara seaqidah kita boleh memasukkan kita tergolong daripada umat yang diakui oleh Rasulullah SAW.

Bukankah mereka yang tidak mengambil berat tentang urusan orang Islam itu, tidak diakui sebagai umat baginda SAW? Mahukah kita begitu?