(Catatan khamis – 6 Nov)

pb060567Selepas menghadiri mesyuarat di pejabat, saya bergegas kembali ke rumah sebelum bertolak ke Tawau melalui jalan Kimanis-Keningau-Pensiangan-Kalabakan-Tawau.

Kami berempat saja menaiki kereta Ford Everest.

Ia diketuai oleh bos bahagian saya, Ust Musally, Abang Jamiun selaku jurugambar dan Abang Manja selaku pemandu.

Sejak kembali ke JHEAINS, inilah program keluar daerah saya yang pertama khusus untuk kerja rasmi berkaitan langsung dengan unit dan bahagian saya sendiri.

pb060560Bertolak sekitar jam 2 petang, kami melalui jalan Kimanis-Keningau.

Pertama kali saya melalui jalan ini.

Pada pandangan saya, jalan ini tidaklah terlalu bahaya sepertimana yang digembur-gemburkan walaupun saya bersetuju kadar ketinggian naik dan kecuraman turun sedikit membimbangkan.

Setelah singgah solat asar di Masjid Jamek Institut Perguruan Keningau, kami meneruskan perjalanan dan singgah minum seketika di restoran Sri Sook.

pb060593Asal hajat untuk sekadar minum menghilangkan dahaga, akhirnya kami memesan makanan berat apabila diberitahu terdapat daging payau.

pb060588Kami senyum membaca menu terpampang yang bermain bahasa.

Sepotong ayam, sesudu daging, seekor ikan, sesenduk sayur..

Sepanjang perjalanan, pelbagai cerita memenuhi ruang kereta bagi menghilangkan kebosanan.

Bermacam kisah lucu, dan kenangan mereka bergerak ke daerah-daerah untuk berdakwah dan mengisi program-program jabatan sangat menarik perhatian.

Selepas seorang selesai bercerita, seorang pula menyambung.

pb060577Perjalanan antara Sepulut di Nabawan dimana bermulanya jalan berbatu halus hingga ke Kalabakan di Tawau adalah sejauh 130km dan mengambil masa sekitar 2 jam 15 minit.

Kami mula menempuh hujung Sepulut sekitar jam 6 petang. Alhamdulillah, tiba di bandar Tawau kira-kira jam 9.15 malam.

Pertama kali melalui Sook, Nabawan sehingga ke Kalabakan di Tawau, saya teringat seketika jasa-jasa para pendakwah terdahulu yang berjuang menyampaikan Islam ke seluruh pelusuk Sabah.

Tidak kiralah mereka dari USIA atau lainnya, bagaimana mereka ketika itu meredah bumi Sabah yang luas ini, dengan penuh ketabahan tanpa elaun khas atau kenderaan yang tersedia seperti hari ini. 

Tambahan pula, jalan tidak semudah hari ini.

Sesungguhnya jasa mereka besar sekali dalam perkembangan Islam di bumi tercinta ini. Mereka sudah memulakannya, sekarang kita akan meneruskannya.