p6010245Kata orang, sejak sebulan dua ini musim isteri bersalin, terutama yang pertama kali. Belum lagi campur bersalin kali kedua, ketiga dan seterusnya..

Ada juga benarnya, kebanyakan pengantin baru naik pelamin pada bulan November dan Disember. Jadi kebiasaannya, sesudah sebulan dua kahwin, perut mula berisi.

Selain mengunjungi kawan-kawan yang baru mendapat anak beberapa bulan ini, antaranya Tariq (Petronas), Dg Halimah (Kg Pimping), Rustam (Luyang) dan Dr Ali (Indah Permai), kebetulan sabtu lepas saya diminta mengganti kelas feqah di Teratak Fitrah.

Sebuah institusi untuk mengajar saudara kita, yang sudah beroperasi 7-8 tahun lalu.

Tajuk yang diminta saya menyampaikannya ialah berkenaan perkara-perkara yang dilakukan setelah anak lahir.

Secara ringkasnya, ada beberapa perkara yang dianjurkan agama dalam soal ini. Antaranya :

1) Mengazankan bayi di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri.

Jadi para bapa kenalah belajar-belajar azan ini. Nampak tidak manis dan jahil amat apabila membiarkan orang lain seperti tok bilal yang mengazankan anak sendiri.

Bayangkan jika bilal tengah bercuti balik kampung. Haa.. kau dengarlah azan radio! 

Azan dan iqamah ini dilakukan setelah anak dibersihkan. Jika bapa join di dalam bilik bersalin, buat di sana. Jika tidak, di wad pun ok.

Tapi ingat, tidak payahlah pakai mikrofon. Pecah pula telinga budak tu.

2) Mentahnikkan anak.

Ibadah tahnik saya perhatikan jarang dilakukan di dalam masyarakat kita terutama di Sabah ini. Bukan tiada langsung, tetapi jarang.

Keempat-empat anak saya, pada mulanya, saya akan tahnikkan terlebih dahulu. Biasanya pada hari pertama. Kemudian barulah saya serahkan kepada orang-orang alim untuk melakukannya.

Anak pertama saya antara lain ditahnik oleh Shaikh Nuruddin al-Makki al-Banjari ketika di Mesir. Anak kedua oleh Ust Hj Muchlish dan ketiga oleh Ust Hj Abdullah Din. Anak keempat hanya saya sendiri.

Tahnik ialah satu perbuatan menyuapkan makanan manis khususnya kurma atau madu ke langit-langit si bayi.

Kalau kurma, seeloknya dikunyah dan dihancurkan terlebih dahulu oleh orang alim, dan sedikit cebisannya disuap ke langit-langit bayi.

Hikmahnya, mudah-mudahan anak ini nanti akan menjadi manusia yang baik dan manis mulutnya. Bukan jenis manusia yang suka maki orang.

3) Memberi nama yang baik.

Ibu bapa wajarlah berunding untuk memberi nama yang baik kepada anak, kerana harus diingat nama ini akan dipanggil pada hari kiamat.

Kebiasaannya, walaupun kedua ibu bapa sudah ada rancangan nama semasa anak masih dikandung, ia dirasmi dan diumumkan pada hari ketujuh.

Saya berpendapat, tidak semestinya nama itu mesti dalam bahasa Arab. Bahkan jika nama dalam bahasa Melayu yang memberi maksud yang baik, tiada salahnya.

Misalnya nama Murni, Tuah dan sebagainya adalah nama Melayu yang baik.

Cuma baiknya kita mengguna dan meraikan perkataan bahasa Arab untuk keserasian masyarakat kita yang pelbagai kaum.

Jika seorang Islam yang menggunakan nama seperti orang Kristian, dikhuatiri menimbulkan salah anggap orang lain.

4) Melakukan ibadah aqiqah.

p8020087Aqiqah ialah perbuatan menyembelih kambing atau lembu dan kerbau sempena kelahiran anak. Ia dilakukan pada hari ketujuh kelahiran, atau ke-14, 21 dan seterusnya.

Jika anak sudah dewasa, ibadah itu tertanggung atas dirinya sendiri.

Jika anak lelaki, dua ekor kambing atau dua bahagian lembu atau kerbau, manakala seekor kambing atau satu bahagian jika anak perempuan.

Walaubagaimanapun, jika hanya menyembelih seekor kambing untuk seorang bayi lelaki, tuntutan ibadah itu sudah selesai.

Kerana Nabi SAW hanya melaksanakan aqiqah 2 ekor kambing untuk 2 cucunya Hasan dan Husain.

Melaksanakan beberapa tuntutan ini, memerlukan kepada ilmu dan kefahaman terutama kepada kedua ibu bapa.

Oleh itu sebelum dan semasa awal perkahwinan, pasangan suami isteri mesti mendalami perkara-perkara asas sebegini.

Kita kena maklum bahawa pendidikan anak ini bukan bermula ketika lahir, bahkan bukan juga ketika si isteri mula mengandung.

Pendidikan anak bermula daripada pemilihan suami isteri. Jadi, suami isteri yang faham islam akan memudahkan proses pendidikan Islam diajar dan diterap kepada anak-anak.