Antara perkara yang diajar di dalam agama Islam ini ialah istiqamah dalam melakukan kebaikan.

Istiqamah atau konsisten merupakan perkara yang tidak mudah dilakukan. Banyak cabaran di sepanjang jalan.

Ada orang hanya hangat-hangat tahi ayam, semangat di permulaan, gugur di pertengahan, atau langsung tak bergerak. Hanya cakap saja berdegar-degar.

Bicara kali ini saya ingin kaitkan dengan kelas mengaji al-Quran.

Sejak zaman masih menuntut di Maahad Tahfiz lagi, saya sudah mula mengajar orang mengaji al-Quran.

Ia semakin galak semasa di Masjid Negeri, bahkan sehinggalah sekarang.

Tidak cukup tangan dibuatnya.

Permintaan belajar al-Quran dipohon oleh pelbagai jenis orang, peringkat umur dan kedudukan.

Ada muallaf, orang tua, kanak-kanak, pegawai tinggi kerajaan, kakitangan swasta, kaum ibu, dan sebagainya. Ada yang datang ke pejabat, dan tidak kurang yang mohon saya datang ke rumah mereka.

Saya pula jenis mudah kasihan dan sebolehnya ingin membantu.

Keadaan itu membuatkan saya terpaksa banyak mengatur jadual pergerakan mengajar agar semua permintaan dapat dipenuhi. Berkejar sana ke mari.

Saya kira keadaan ini dialami oleh banyak guru al-Quran.

Mereka sanggup meluangkan masa mengajar walaupun habuan dunianya hakikatnya tidak berbaloi dengan keadaan ekonomi hari ini.

Saya seperti kebanyakan guru al-Quran yang lain, tidak terlalu berkira soal itu.

Bahkan ada yang belajar tidak pernah bayar sesen pun.

Ibubapa yang menghantar anak-anak pula ada yang jenis berkira daripada segi yuran.

Ada guru al-Quran yang hanya menetapkan yuran serendah RM20 sebulan untuk tiga kali mengaji seminggu. Ustaznya pula datang ke rumah pelajar, bukan dia yang mencari.

Dalam keadaan itu pun, ada yang liat membayar, menganggap mahal dan ustaz mata duitan!

Antara perkara yang selalu saya titikberatkan ketika awal-awal mengajar ialah tidak boleh malu, banyak bersabar dan sedia untuk ditegur. Tambahan lagi kepada yang lebih tua daripada saya sendiri.

Tetapi begitulah manusia, ada diantaranya apabila ditegur, mulalah merajuk.

Kelas mula diabaikan, mencari alasan untuk mengelak diri. Hal anaklah, keluar daerahlah, kerja pejabatlah. Bermacam alasan lagi diberikan.

Akhirnya, secara perlahan-lahan mereka meninggalkan kelas sehingga akhirnya tidak nampak muka lagi.

Padahal, ketika rundingan dibuat atau ketika kelas mula berjalan, bukan main bersungguh lagi.

Ada juga yang tidak bersabar, kerana mempelajari al-Quran tidak dapat dalam masa yang singkat. Ia mungkin saja dipelajari bertahun lamanya, bahkan sebenarnya sepanjang hayat.

Tetapi dek sikap gelojoh dan tidak bersabar itu, akhirnya ada yang mulai bosan dan meninggalkan kelas al-Quran sedangkan ada kawan-kawan seangkatan mereka sudah pergi jauh.

Ada yang hanya bertahan beberapa minggu atau beberapa bulan dan berhenti sekerat jalan.

Mereka tidak menyedari atau mungkin buat-buat tidak tahu bahawa kebanyakan guru yang mengajar al-Quran ini bersusah payah telah mencari dan meluangkan masa untuk mereka sedangkan dalam masa yang sama permintaan orang lain yang hendak belajar terpaksa ditolak.

Saya kadang-kadang berfikir sendirian.

Ada ketikanya hendak menamatkan saja kelas-kelas tertentu, kerana komitmen mereka yang separuh-separuh dan tidak bersungguh, tetapi tidak sampai hati kerana ukhuwah dan persaudaraan Islam yang telah terjalin.

Dalam masa yang sama, permintaan daripada orang lain yang hendak belajar lagi terus diterima sehingga sekarang.

Ada yang waktu diminta itu bertembung dengan kelas dan program lain, dan ada waktu yang kosong terpaksa ditolak kerana ruang untuk ahli keluarga nampak terabai.

Walaubagaimanapun, saya tidak menafikan kebanyakan mereka yang belajar memberikan komitmen dan kesungguhan untuk berjaya.

Sanggup mengenepikan perasaan segan dan malu walaupun lebih berumur dan berjawatan tinggi, sanggup ditegur hatta sesekali dimarah demi untuk mahir dalam membaca al-Quran.

Tabik spring.

Orang sebegini saya sangat rai dan hormati walaupun mereka dibebani dengan hambatan kerja dan keluarga, walaupun sesekali kelas ditangguh kerana keluar daerah. Kalau betul-betul ada hal, tak apalah.

Apa yang ingin saya luahkan, saya sangat berharap mereka yang mengaji al-Quran ini bersungguh-sungguh belajar.

Sebenarnya, saya adalah jenis apabila telah memberi satu komitmen untuk mengajar, payah pula untuk ponteng kecuali ada hal lain yang lebih penting atau keluar daerah.

Jadi, saya mengharapkan komitmen yang sama daripada mereka yang belajar.

Apabila mereka tidak bersungguh, saya tidak rugi. Tetapi saya kasihankan mereka yang bersungguh mahu belajar tetapi tidak mendapat layanan saya kerana kesuntukan masa.

Benar satu wasiat Imam Hassan al-Banna : Masa kita sedikit, tugas kita banyak.

Kepada mereka yang sedang belajar mengaji terutamanya, jika mereka membaca artikel ini, tidak kira siapa guru mereka, fahamilah situasi guru al-Quran.

Tolonglah diri sendiri dengan bersikap istiqamah terhadap guru dan al-Quran yang sedang dijunjung itu. Biarlah belajar sikit-sikit tapi jalan terus.