Archive for Oktober, 2008


JANGAN CUBA USIK AGAMA ISLAM

Firman Allah : “…dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu sehinggalah kamu murtad daripada agama kamu, sekiranya mereka mampu melakukannya..” (al-Baqarah -217)

Ramai rasanya sudah mengetahui salah satu petikan dalam ucapan Tan Sri Bernard Dompok ketika menyampaikan ucap tama dalam kongres ke-12 UPKO 10-12 Okt lalu.

Petikan yang kontroversi ialah berkait tentang agama Islam dan kebebasan beragama. Rujuk ucapan beliau di : http://www.upko.org.my/kongres-12/kongres_ke_12_2008_ucapan_final_presiden.htm 

Entah apakah ini namanya biadab, atau kurang ajar atau bodoh atau kesemuanya sekali.

Dan ramai juga tahu bahawa PAS Sabah sudah buat laporan polis di IPD Karamunsing semalam berkenaan ucapan ‘bernas’ Dompok itu.  Laporan itu boleh dibaca di : http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=17434&Itemid=1 

Sementara kenyataan penuh Dewan Pemuda PAS Sabah di sini : http://www.sabah-kita.net/index.php?option=com_content&task=view&id=447&Itemid=27

Sukalah kita mengingatkan Dompok dan orang-orang sekepala dengannya bahawa agama kami Islam yang kami junjung ini ada peraturan dan undang-undangnya.

Dalam Islam, tiada sesiapa yang dipaksa untuk masuk ke dalamnya. Kerana kebenaran dan kebatilan sudah jelas.

Tetapi apabila seseorang sudah menganut Islam, ia wajib melaksanakan perintah agama sebagaimana yang dituntut keatas setiap diri yang mukallaf. Orang yang tidak Islam, ia tidak wajib menuruti perintah Islam.

Sebagaimana kita lalu di hadapan Kem Tentera Lok Kawi, melihat askar berkawat. Yang wajib berkawat hanyalah askar, kita tidak kawat sebab kita bukan askar. Tetapi apabila sudah jadi askar, ia wajib menuruti perintah dan undang-undang askar.

Samalah dengan Islam.

Selama ia belum dan bukan Islam, ia tidak tertakluk dengan hukum Islam. Ia tidak dituntut melaksanakan hukum Islam sama ada yang wajib atau sunnat.

Tetapi apabila sudah memeluk Islam, wajib ia mentaati agamanya, sama ada rela atau paksa.

Maka dalam Islam, salah satu peraturan yang pasti di dalamnya ialah larangan keluar daripada Islam.

Oleh kerana Islam menetapkan adanya hukum larangan itu, jangan pula Dompok dan orang-orang seumpamanya mengatakan itu tidak menepati kebebasan beragama.

Dalam agama lain, tidak ada larangan keluar dari agama sedangkan dalam Islam peraturan itu ada.

Jangan Dompok dan orang sepertinya cuba mengusik agama Islam yang kami berbangga dengannya dan sanggup melakukan apa saja demi Islam. Siapalah Dompok yang cuba untuk mempertikai agama Islam ini.

Islam tidak mengajar penganutnya bermusuh dengan orang yang bukan seagama, selama mereka tidak bermusuh dengan umat Islam. 

Saya juga menasihatkan Dompok dan orang sepertinya agar melihat semula, sedangkan kami tidak pernah memaksa orang memeluk Islam, tetapi ada di kalangan tertentu yang cuba memurtadkan umat Islam, apatah lagi bagi mereka yang baru memeluk Islam.

Mereka dipujuk, malah ada dipaksa, dikurung dan sebagainya agar meninggalkan agama Islam yang murni ini.

Islam agama kami, jangan cuba usik keindahan dan kehebatan agama kami.

Dalam hidup ini, kita mendapat banyak nikmat. Bahkan tidak terhitung banyaknya. Nikmat paling besar sekali ialah nikmat iman dan Islam itulah.

Maka orang yang hendak keluar Islam mesti diikhtiarkan penyelesaiannya supaya ia jangan mengambil tindakan bodoh sebegitu.

Kerana ia berada dalam nikmat, tiba-tiba hendak keluar daripada nikmat. Bodohlah namanya.

Dompok mengatakan begini : “Sesungguhnya, tidak ada seorangpun yang sepatutnya dihalang daripada menganuti apapun juga agama. Ia termaktub dalam perlembagaan dimana setiap rakyat Malaysia berhak memeluk agama Buddha, Islam, Kristian atau apapun juga agama yang ia mahu.

Meskipun demikian, ia juga termaktub dalam perlembagaan hak rakyat Malaysia untuk kembali ke agamanya yang asal sekiranya itulah kemahuan orang itu. Tidak ada undang-undang atau orang yang sepatutnya boleh memisahkan seseorang dengan Tuhannya.”

Eh, sebenarnya apa agama asal manusia ini? Bukankah Islam? Hanya orang tuanya yang mencorak anak itu sama ada menjadi Yahudi, Kristian atau Majusi.

Jika tidak, semua manusia adalah Islam.

Kepada Dompok dan orang-orang sepertinya, terimalah Islam sebagai cara hidup. Saya menyeru Dompok agar memeluk Islam.

Semua Nabi-Nabi adalah Muslim. Nabi Isa pun beragama Islam. Ia bukan tuhan sebagaimana didakwa oleh orang Kristian.

Bible yang mereka dakwa suci itu pun sudah menjelaskan dengan sendirinya.

Saya yakin kalau Dompok jenis Kristian yang rajin baca bible akan menemui ayat itu. Isa adalah Nabi, bukan Tuhan.

Oleh kerana Nabi Isa menyeru kepada Islam, saya pun sekali lagi menyeru Dompok dan orang-orang sepertinya agar menerima Islam. Dia tidak akan bertemu Allah kalau dia kekal dengan Kristiannya.

Islam sahaja jalan untuk menemukan dia dengan Tuhannya iaitu Allah. Bukankah itu yang dimahukan dalam ucaptamanya?

PERPISAHAN DI HUJUNG PERTEMUAN

Hari khamis yang lalu, hari saya ke KL untuk mesyuarat KDN, hari itu juga sebenarnya hari terakhir pembantu rumah kami bekerja dengan kami.

Dia akan kembali ke kampung halamannya untuk mendirikan rumahtangga pada awal tahun hadapan. Jodoh sudah sampai.

Noraini Ansar, 29 kami anggap sebagai ahli keluarga kami sejak dua tahun lalu. Berasal dari Polmas, Kalimantan Selatan, Noraini bekerja melebihi tugas yang kami berikan.

Asalnya, tugasnya hanya mengurus hal berkaitan anak-anak seperti mandi, makan, cuci pakaian dan sebagainya. Tetapi semakin lama, semua kerja di rumah itu diurusnya.

Kadang-kadang rimas juga saya dibuatnya apabila  bekerja terlalu rajin pada pandangan saya.

Kerja-kerja lain dibuat tanpa disuruh, bahkan dia tidak meminta upah lebih daripada apa yang disepakati.

Kadang-kadang, jika ada duit lebih, saya berikan juga kepadanya sebagai satu penghargaan kami. Itu pun ia berasa hairan dan tertanya-tanya.

Saya berikan kebenaran kepadanya menelefon keluarganya di kampung menggunakan telefon rumah, sebagai satu hadiah kepadanya, sekurang-kurang sebulan sekali.

Ketika kami bercuti balik ke Labuan, ia tidak pernah merungut apabila kami membawanya sekali.

Sepanjang dua tahun itu, tidak salah saya hanya dua kali saya marah kepadanya. Itupun saya tidak tujukan di hadapannya. Marah saya bersebab, saya sampaikan kepada isteri berkenaan teguran saya kepadanya.

Selain itu, semuanya beres di mata kami sekeluarga.

Kebaikan dan kerajinannya itu, menyebabkan kami benar-benar kehilangan sejak ia menaiki bas menuju ke Tawau pada malam sabtu sebelum menaiki feri keesokan harinya.

Saya tidak hadir ketika seluruh ahli keluarga menghantarnya ke Terminal Bas Utara di Inanam, tetapi isteri saya mengirimkan SMS, kesedihan dan kesunyian mula terasa.

Saya membalas agar bersabar, begitulah hakikatnya perpisahan di hujung pertemuan.

MAAF, TAK DAPAT HADIR

Sepanjang sabtu dan ahad ini, saya kira banyak jemputan jamuan rumah terbuka sempena Idul Fitri berlangsung sama ada anjuran sanak saudara, rakan taulan dan sebagainya.

Saya mohon maaf kepada Che’gu Jamil dan keluarga yang menjemput lebih awal untuk hadir pada hari ini.

Juga mohon maaf buat Angah dan Datuk Matusin seisi keluarga, Abang Jamil Dan, serta yang lain.

Saya masih di KL.

DUA MAJLIS BERSEJARAH

Hari ini terdapat dua majlis yang begitu bersejarah bagi perkembangan Islam di Sabah.

Pertamanya, sebelah pagi diadakan majlis penyerahan nota serah tugas antara Imam Besar Masjid Negeri yang lama Tuan Hj Nahar Hj Matamin kepada Imam Besar yang baru, Tuan Hj Ibrahim Kisab, sahabat dan junior saya di Maahad dan di Mesir.

Bersejarah kerana pertama kali imam besar Masjid Negeri kali ini berumur awal 30an dan masih bujang lagi. Ia akan menimbulkan pelbagai reaksi positif dan negatif di kalangan jamaah. Itu sudah pasti.

Bahkan sebelum penyerahan rasmi ini pun, pelbagai cakap-cakap sudah kedengaran. Ada yang bersetuju dan ada juga sebaliknya.

Surat berpindah sudah kedua-dua mereka temui pada pertengahan Ramadhan lalu, tetapi bersetuju menangguhkan proses itu selepas hari raya memandangkan Masjid Negeri sedang rancak beraktiviti sepanjang Ramadhan.

Sementara Ust Ibrahim sebelum ini bertugas di Maahad Tahfiz, Ust Nahar pula akan ke Ibu Pejabat JHEAINS di Bahagian Pentadbiran Agama, Wilayah dan Daerah, khusus untuk unit Masjid.

Apa pun, kita mendoakan yang terbaik buat Ust Hj Ibrahim Kisab dan berharap tidak ada sesuatu yang negatif bentuknya disebalik pertukaran beliau dan Ust Nahar ini.

Bahkan saya berharap, Ust Ibrahim selaku orang muda akan memimpin Masjid Negeri dengan lebih rancak lagi. Bagi saya, dari sudut gerak dakwah Masjid Negeri selama 3 tahun di bawah Ust Hj Nahar, beliau berjaya.

Selamat bertugas Ust Ibrahim dan Ust Nahar di tempat baru masing-masing.

Sementara itu , majlis kedua yang saya maksudkan ialah kunjungan hormat Majlis Gabungan NGO’s Islam keatas Pengarah JHEAINS, Tuan Hj Amri Suratman pada petang ini.

Majlis Gabungan ini dikenali dengan ringkasan CONCERN dianggotai oleh ABIM, WADAH, Yayasan Amal Malaysia, JIM, Peguam Muslim, Persatuan Siswazah Sabah, Persatuan Ulama Malaysia, Puteri Islam, Persatuan Kebajikan Saudara Kita Kota Kinabalu (SAHABAT), Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA) dan KECAPI.

Saya berharap sangat isu-isu tertangguh yang terlalu meruncing di Sabah terutama undang-undang berkaitan murtad, gerakan kristianisasi, gejala sosial, memperkasakan masjid dan sebagainya akan dibincangkan dengan lebih serius, berlapang dada dan terbuka.

Selain itu, pertemuan ini akan lebih mengeratkan hubungan dan kerjasama antara JHEAINS dan NGOs Islam dalam memartabatkan Islam di bumi tercinta ini.

ZIKIR SELEPAS SOLAT

Ada beberapa hadith berkenaan hal ini saya petik daripada kitab al-Azkar Imam Nawawi yang saya baca buku ini dalam kuliah di Masjid Nurul Ihsan, Kg Lok Kawi Baru.

Saya turunkan secara ringkas :

Ulama’ sepakat bahawa sunnat berzikir selepas solat. Terdapat beberapa hadith sahih di dalam masalah ini, maka kami sebutkan beberapa hadith yang penting, antaranya :

Daripada Abu Umamah RA katanya : Rasulullah SAW ditanya : “Mana satu doa yang lebih diperhatikan Allah?” Baginda menjawab : “Doa pada tengah malam, dan selepas solat fardhu” (HR at-Tirmizi)

Daripada Ibnu Abbas RA katanya :
“Aku mengetahui selesainya solat Rasulullah SAW dengan suara takbirnya”. (HR al-Bukhari). Dalam riwayat Muslim ditulis dengan perkataan ‘kami’.

Daripada Ibnu Abbas RA katanya :
“Sesungguhnya, menyaringkan suara dengan berzikir ketika orang sudah selesai mengerjakan solat wajib, sudah berlaku pada zaman Rasulullah SAW”.

Kata Ibnu Abbas : “Aku mengetahuinya apabila mereka telah selesai solat dengan demikian itu (berzikir dengan kuat), apabila aku mendengarnya”. (HR al-Bukhari & Muslim)

Daripada Abdullah bin az-Zubair RA :

أنه كان يقول دُبُرَ كلّ صلاة حين يسلم‏:‏ ‏”‏لا إلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ وَهُوَ عَلَة كُلّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، لا حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ باللّه، لا إِلهَ إِلاَّ اللّه وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إيَّاهُ، لَهُ النِّعْمَةُ ولَهُ الفَضْلُ، وَلَهُ الثَّناءُ الحَسَنُ، لا إلهَ إِلاَّ اللّه مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الكافِرُونَ‏”‏ قال ابن الزبير‏:‏ وكان رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم يهلّل بهنّ دُبُرَ كُلِّ صلاة‏.‏

Selepas selesai solat, beliau membaca sesudah salam : “[Tiada Tuhan kecuali Allah, yang Maha Esa, tiada sekutu untukNya, milikNya segala kerajaan. MilikNya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Tiada daya dan upaya kecuali dengan izin Allah. Tiada Tuhan kecuali Allah, tidak ada yang kita sembah melainkan Dia semata-mata. MilikNya segala kenikmatan dan keutamaan. Segala pujian yang baik milikNya. Tidak ada Tuhan kecuali Allah, keranaNya kami beragama dengan tulus ikhlas, walaupun dibenci oleh orang kafir”].

Ibnu Zubair berkata : “Rasulullah SAW bertahlil dengan zikir ini selepas solat”. (HR Muslim)

Daripada Abu Hurairah RA :
“Sesungguhnya orang faqir daripada kalangan muhajirin datang mengadu kepada Rasulullah : “Orang-orang kaya pergi dengan kedudukan darjat yang tinggi dan nikmat yang abadi mereka solat sebagaimana kami solat. Mereka puasa sebagaimana kami puasa. Tetapi mereka punya kelebihan harta, mereka menunaikan haji, umrah, berjihad dan bersedekah”.

Sabda Nabi SAW : “Mahukah kamu kuajar satu amalan yang kamu akan menyertai orang yang mendahului kamu, dan kamu mendahului orang selepas kamu, tidak ada orang yang lebih utama daripada kamu kecuali orang yang beramal seperti kamu?” Jawab mereka : “Sudah tentu kami mahu wahai Rasulullah!” Sabda Rasulullah : “Hendaklah kamu bertasbih, bertahmid, bertakbir selepas solat sebanyak 33 kali” (HR al-Bukhari & Muslim)

Abu Soleh, perawi hadith ini berkata : Daripada Abu Hurairah RA, ketika ditanya tentang kaifiat zikir itu. Jawabnya : “Subhanallah, walhamdulillah, wallahu akbar, sehingga setiap satunya dibaca sebanyak 33 kali”.

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Rasulullah SAW :
“Sesiapa yang bertasbih kepada Allah selepas solat sebanyak 33 kali, bertahmid kepada Allah 33 kali, bertakbir kepada Allah 33 kali, dan menyempurnakan ke seratus dengan menyebut : [Tiada Tuhan kecuali Allah, yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya. MilikNya segala pujian. Dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu]. (Sesiapa membaca demikian), diampunkan dosanya walaupun sebanyak buih di lautan”. (HR Muslim)

Daripada Saad bin Abi Waqqas RA :

أن رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم كان يتعوّذ دُبُرَ الصلاة بهؤلاء الكلمات‏:‏ ‏”‏اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الجُبْنِ، وَأعُوذُ بِكَ أنْ أُرَدَّ إلى أَرْذَلِ العمُرِ، وأعُوذُ بِكَ مِنْ فتْنَةِ الدُّنْيا، وأعُوذُ بِكَ منْ عَذَابِ القَبْرِ‏”

Sesungguhnya Rasulullah SAW berdoa dengan berlindung kepada Allah di belakang solat dengan beberapa kalimat berikut : “[Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada penyakit takut; aku berlindung denganMu daripada usia terlalu lanjut; aku berlindung denganMu daripada fitnah dunia; aku berlindung denganMu daripada fitnah dunia; dan aku berlindung denganMu daripada azab kubur]”. (HR al-Bukhari di permulaan bab jihad)

Daripada Abdullah bin Umar RA, Rasulullah SAW bersabda :“Ada dua perkara apabila dipelihara oleh seorang hamba Muslim, dia akan masuk ke dalam syurga. Kedua-duanya mudah, tetapi yang beramal dengannya sangat sedikit. Iaitu bertasbih kepada Allah Taala di belakang solat sepuluh kali, bertahmid sepuluh kali, bertakbir sepuluh kali. Semua sekali jumlahnya dalam sehari semalam 150 kali diucapkan dengan lisan, dan nilainya 1500 dalam timbangan. Kemudian apabila berbaring, dia bertakbir 34 kali, tahmid 33 kali dan bertasbih 33 kali, jumlahnya 100 diucapkan lidah, dan nilainya 1000 di timbangan”.

 

Abdullah berkata : “Aku melihat Rasulullah SAW mengitung-hitung zikirnya dengan tangannya”. Para sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah, bagaimana boleh jadi kedua-dua zikir itu mudah tetapi yang melakukannya sedikit?”

Baginda menjawab : “Sebenarnya, syaitan telah datang kepada salah seorang kamu di dalam pembaringannya, lalu dia tertidur sebelum sempat membacanya. Syaitan juga datang mengganggu di dalam solatnya, ia teringatkan hajatnya yang lain sebelum ia sempat membacanya”. (HR Abu Daud, at-Tirmizi & an-Nasa’ie)

Daripada Uqbah bin Amir RA katanya :
“Rasulullah SAW memerintahkan aku agar membaca dua surah ‘mau’izatain’ selepas setiap solat”. Dalam riwayat Abu Daud dijelaskan agar membaca : tiga qul iaitu surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas”.

Daripada Muaz RA : Sesungguhnya Rasulullah SAW mengambil tangannya seraya bersabda :

‏”‏يا مُعَاذُ‏!‏ وَاللَّهِ إِنّي لأُحِبُّكَ، فَقالَ‏:‏ أُوصِيكَ يا مُعاذُ‏!‏ لا تَدَعَنَّ فِي دُبُرِ كُلّ صَلاةٍ تَقُولُ‏:‏ اللَّهُمَّ أعِنِّي على ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبادَتِكَ‏”

“Wahai Muaz, demi Allah sesungguhnya aku sangat mengasihimu. Aku berpesan kepadamu wahai Muaz, jangan abaikan doa ini selepas solat : [Ya Allah, bantulah aku untuk mengingatiMu dan mensyukuriMu serta bantulah aku agar dapat melakukan ibadah yang terbaik]”. (HR Abu Daud & an-Nasa’ie)

Daripada Anas RA, katanya :

كانَ رسولُ اللَّه صلى اللّه عليه وسلم إذا قَضى صلاتَه مسحَ جبهتَه بيده اليمنى، ثم قال‏:‏ ‏”‏أشْهَدُ أنْ لا إلهَ إِلاَّ اللَّهُ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ، اللَّهُمَّ أذْهِبْ عَنِّي الهَمَّ والحزنَ‏”

Rasulullah SAW apabila menyudahkan solatnya, baginda menyapu muka dengan tangan kanannya kemudian berkata : [Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ya Allah, hapuskanlah daripadaku dukacita dan kesedihan]” (HR Ibnu Sunni)

Daripada Abu Umamah al-Bahili RA, katanya :

ما دنوتُ من رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم في دُبُر مكتوبة ولا تطوُّع إلا سمعتُه يقول‏:‏ ‏”‏اللَّهُمَّ اغْفِرْ لي ذُنُوبي وَخَطايايَ كُلَّها، اللَّهُمَّ انْعِشْنِي واجْبُرْنِي وَاهْدِنِي لِصَالِح الأعْمالِ وَالأخْلاقِ، إنَّهُ لاَ يَهْدِي لِصَالِحها وَلاَ يَصْرِفُ سَيِّئَها إِلاَّ أَنْتَ‏”

“Aku mendekati Rasulullah SAW selepas solat fardhu atau sunnat dan mendengar baginda berdoa : [Ya Allah, ampunilah dosaku dan kesalahanku semuanya. Ya Allah, teguhkan pendirianku, sempurnakan kekuranganku, tunjukkan aku kearah amal soleh dan akhlak yang baik. Tiada yang boleh menunjuk kearah kebaikan dan tiada yang berkuasa mengubah akhlak yang buruk melainkan Engkau]”. (HR Ibnu Sunni)

Daripada Abu Said al-Khudriy RA :

أن النبيّ صلى اللّه عليه وسلم كان إذا فرغ من صلاته ـ لا أدري قبل أن يسلِّم أو بعد أن يسلِّم ـ يقول‏:‏ ‏”‏سُبْحانَ ربِّكَ رَبِّ العِزَّةِ عَمَّا يَصِفُونَ، وَسَلامٌ على المُرْسَلِينَ، وَالحَمْدُ لِلَّهِ رَبّ العَالَمِينَ”

“Sesungguhnya Nabi SAW apabila selesai daripada solatnya – aku tidak mengetahui sebelum atau selepas salam – baginda membaca : [Maha Suci Engkau Tuhan kami, Tuhan yang suci daripada apa yang mereka sifatkan. Salam sejahtera keatas para rasul. Dan segala puji milik Allah Tuhan pentadbir alam]” (HR Ibnu Sunni).

Daripada Anas RA, katanya :

كان النبي صلى اللّه عليه وسلم يقول إذا انصرف من الصلاة‏:‏ ‏”‏اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ عُمُرِي آخِرَهُ، وَخَيْرَ عَمَلِي خَواتِمَهُ، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامي يَوْمَ ألْقاكَ‏”

“Apabila selesai solat, Nabi SAW membaca : [Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umurku pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalanku pada penutupnya, dan jadikanlah sebaik-baik hariku ialah hari bertemu denganMu]” (HR Ibnu Sunni).

Daripada Abu Bakrah RA :

أن رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم كان يقول في دُبر الصلاة‏:‏ ‏”‏اللَّهُمَّ إني أعُوذُ بِكَ مِنَ الكُفْرِ وَالفَقْرِ وَعَذَابِ القَبْرِ‏”

Sesungguhnya Rasulullah SAW berdoa selepas solatnya : “[Ya Allah sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada kekufuran, kefakiran dan azab kubur]” (HR Ibnu Sunni)

Daripada Fadhalah bin Ubaidillah katanya : Rasulullah SAW bersabda :

“‏إذَا صَلَّى أحَدُكُمْ فَلْيَبْدَأ بِتَحْمِيدِ اللَّهِ تَعالى وَالثَّناء عَلَيْهِ، ثُمَّ يُصَلِّي على النَّبيّ صلى اللّه عليه وسلم ثُمْ ليَدْعُو بِمَا شَاءَ‏”‏‏

“Apabila salah seorang kamu berdoa, hendaklah ia memulakan dengan tahmid kepada Allah Taala dan pujian keatasNya, kemudian bersolawat keatas Nabi SAW. Kemudian berdoalah kamu dengan apa saja yang kamu kehendaki” (HR Ibnu Sunni).

Pagi esok, saya akan berangkat ke KL untuk menghadiri mesyuarat Penyemakan dan Penilaian Teks al-Quran atau kami selalu panggil Lajnah Tashih al-Quran kali ke-4/2008.

Mesyuarat kali ini diadakan di KL International Hotel.

Sepanjang tahun ini, mesyuarat telah diadakan di Shah Alam, Kuala Lumpur dan Ipoh. Sementara tahun lalu, mesyuarat sama diadakan di Bangi, Kangar, Melaka, Johor Bharu dan Kuala Lumpur.

Kebiasaannya, apabila mesyuarat diadakan di negeri-negeri, pertemuan atau kunjungan ahli lajnah bersama kepimpinan kerajaan negeri akan diadakan.

Antara yang saya hadiri ialah pertemuan dengan Dato’ Seri Shahidan Kassim, Dato’ Seri Md Ali Rustam dan terkini Dato’ Seri Md Nizar Jamaluddin.

Saya dicalonkan menganggotai lajnah seramai 35 orang ini oleh Ybhg Datuk Hj Ahmad Alawi Hj Adnan, Mufti Kerajaan Negeri Sabah selaku ahli Lembaga Kawalan Teks al-Quran yang berada di atas lajnah ini.

Saya kemudiannya dipersetujui untuk dipilih oleh Lembaga Kawalan Teks al-Quran bagi tempoh dua tahun iaitu Ogos 2006-Ogos 2008 bersama dengan Ust Adam Abd Hai, Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Sandakan, bersama dengan ahli lajnah yang lain.

Lembaga ini pula diketuai oleh Sahibus Sahamah Mufti Negeri Perak, Dato’ Seri Hj Harussani Zakaria dan ahli-ahlinya terdiri daripada semua mufti-mufti Malaysia dan beberapa tokoh yang lain.

Setelah sesi Ogos 2006-Ogos 2008 itu berakhir, sekali lagi nama saya dicalonkan semula oleh JHEAINS untuk dua tahun mendatang setelah mendapat sokongan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menilai prestasi semua ahli lajnah sepanjang dua tahun berkhidmat.

Setiap negeri mempunyai dua orang wakil sejumlah 28 orang, dua orang cadangan JAKIM dan bakinya seramai lima orang dicadang oleh ahli lajnah untuk dilantik oleh Unit Kawalan Teks al-Quran, Bahagian Kawalan Penerbitan & Teks al-Quran KDN yang menaungi lajnah ini.

Menurut maklumat, Lajnah Tashih al-Quran ini ditubuh pada Mac 1988. Kalau tidak salah, pengerusi pertamanya ialah Dato’ Hj Solahuddin Omar, dari Pahang.

Para ahli lajnah pula mestilah di kalangan huffaz al-Quran.

Ketika penubuhan awalnya, ia hanya berjumlah tidak sampai 10 orang.

Bagaimanapun kini ia  meningkat kepada 35 orang memandangkan terlalu banyak bahan yang perlu disemak setiap kali bermesyuarat.

Jika dahulu, semakan hanya tertumpu kepada teks al-Quran sahaja, kini dengan perkembangan teknologi ayat al-Quran boleh didapati melalui VCD, DVD, dan digital yang lebih sulit dan memerlukan lebih perhatian.

Lajnah ini kini diketuai oleh Dato’ Syeikh Hj Mohammad Nor Mansur, Imam Besar Masjid Negeri Perak dan timbalannya ialah Ust Hj Azhari Othman, Pensyarah Kanan di Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Baru Selangor.

Ketika mula menyertai mesyuarat ini awal tahun 2007, saya merasa rendah diri dan kerdil yang teramat sangat kerana di hadapan dan kiri kanan saya adalah para tuan guru, ahli al-Quran yang sangat saya hormati dan kagumi.

Mereka ini telah bergelumang dengan al-Quran jauh sebelum saya lahir ke dunia ini. Kebanyakan mereka saya kenali dari jauh atau hanya ditonton dan dilihat di kaca tv dan sebagainya.

Pun begitu, syukur alhamdulillah, kini saya berkesempatan, sambil bersama-sama bermesyuarat, berbincang serta dapat mengambil ilmu dan pengalaman berharga mereka.

Saya adalah ahli lajnah yang paling junior sekali berbanding umur ahli lajnah yang lain.

Saya banyak berdiam diri dan menumpukan semakan daripada banyak bercakap dan mengambil pengalaman mereka yang telah lama berada dalam lajnah.

Selain dua orang tokoh tadi, yang lain antaranya ialah Dato’ Hj Solahuddin Omar, seorang pendidik dan guru al-Quran yang tidak asing di kalangan para hafiz al-Quran di Malaysia.

Dato’ Hj Solahuddin yang kami panggil mesra dengan Dato’ Solah adalah pengetua Maahad Tahfiz al-Quran yang pertama kali memperkenalkan diploma tahfiz pada awal 80an.

Antara pelajarnya ialah Datuk Hj Asmali Bachi, bekas Imam Besar Masjid Negeri.

Bahkan beliau pernah diimport oleh Negara Brunei untuk menubuhkan Maahad Tahfiz al-Quran dalam tempoh beberapa tahun bersama dengan Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad, Imam Besar Masjid Negara.

Selain Dato’ Solah, lajnah ini juga dianggotai oleh beberapa Imam Besar Masjid Negeri, antaranya Imam Besar Perlis, Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka, serta beberapa pengetua Maahad-Maahad Tahfiz Negeri dan pensyarah al-Quran yang kesemuanya adalah para hafiz belaka.

Insya Allah seusai balik dari sana, saya akan menulis tentang mesyuarat kami, bagaimana kami menyemak al-Quran dan sebagainya.

Saya tidak berhasrat membawa laptop ini ke KL kerana menyedari, setiap kali mesyuarat, bahan al-Quran yang hendak disemak terlalu banyak hingga larut malam.

Biasanya waktu rehat hanya dihabiskan untuk makan tengahari atau minum. Selain masa itu, waktu dihabiskan untuk menyiapkan semakan yang telah diedarkan.

Berdasarkan panggilan mesyuarat kali ini yang lebih lama iaitu selama 4 hari, mungkin setiap ahli lajnah akan menyemak sekitar 25-30 juzu’ seorang atau lebih lagi dalam tempoh itu.

Saya baru melihat senarai penuh penerima anugerah pingat dan darjah kebesaran Negeri Sabah bagi 2008.

Tahniah kepada beberapa kenalan dan sahabat-sahabat saya yang disenarai untuk tahun ini. Mudah-mudahan menjadi peransang untuk berkhidmat lebih baik dan cemerlang.

1) Tuan Hj Abd Gafar Madin – SU Sulit kepada TYT – ASDK
2) Tuan Yunos Hj Ashmat – SU SPANS – ASDK

3) P/Supt Tuan Hj Abd Latif Ibrahim – ADC kepada TYT – ADK
4) DSP Tuan Hj Malik Dolusin – Bekas ADC TYT – ADK

5) Tuan Hj Matni Hj Untong – SPANS – BSK

6) Sarjan Abu Bakar Kahar – Pengiring TYT – BK
7) Koperal Ajim Akim – Pengiring TYT – BK
8 ) L/Koperal Idris Maidin – Pemandu Pengiring TYT – BK
9) L/Koperal Mohammad Ismail – Pemandu Pengiring TYT – BK
10) Puan Faridah Sidik – PA SU Sulit kepada TYT – BK
11) L/Koperal Redzuan Ismail – Pengiring TYT – BK
12) L/Koperal Wan Azman Mat Salleh – Pengiring TYT – BK

13) Muhammad Ali Duil – Pemandu Istana Negeri – Sijil Kehormat
14) Salim Salleh – Pelayan Istana Negeri – Sijil Kehormat

Mungkin ada lagi yang terlepas pandang. Apa pun tahniah. Senarai penuh boleh dilayari di http://www.sabah.gov.my/gazette/docs/002010.pdf

 

Disenaraikan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) untuk memudahkan saudara-saudara memilih lokasi terdekat atau yang digemari.

Senarai bermula dari Beaufort menuju ke Kudat.

Pendaftaran mula dibuka sekarang, untuk anak-anak 4-6 tahun (tahun lahir 2003-2004-2005). Jika ada anak-anak non muslim, pun boleh join sekali.

1) PASTI Darul Falah, No. 5 Taman Inti Subur, 89808 Beaufort – Ust Razali 019-8208489

2) PASTI Nor Mawaddah, S8 Taman Papar, Kg Sungai Padang Papar – Ust Salim 019-8102728

3) PASTI al-Aqsa, Lot 156, Lorong 2A, Taman Limauan, Kinarut – Ust Yusrizal Ramli  012-5784731

4) PASTI al-Furqan, Lot 303 Jalan Dinawan 2, Taman Pantai Lok Kawi(Sabindo) Jalan Papar, Kinarut – Ust Zainuddin Lateh – 013-758974

5) PASTI Nur Fathonah, No 4, Lorong 1, Taman Union, Pekan Putatan – Ust Akmal 013-8510199

6) PASTI ar-Raihan, Surau al-Firdaus, Kg Sri Pandan, Jalan Bukit Vor, Perkampungan Pasir Putih, Putatan – Cikgu Dahliya  Muri 013-8761052

7) PASTI al-Hidayah, Surau Quarters Keretapi, Tanjung Aru Kota Kinabalu. – Cikgu Firusah 088-266904

8 ) PASTI al-Hikmah, No 2, Lorong Selunsung E, Taman Sempelang Sembulan 88100 Kota KinabaluCikgu Firusah 014-8745157

9) PASTI Nurul Hasanah, Surau Perumahan Bukit Padang, Quarters Flat Hospital Mesra Bukit Padang, Jalan Kolam Luyang, Kota Kinabalu. –Cikgu Wahyu 013-8607242

10) PASTI asy-Syifa’, No 12 Lorong Pokok Seraya 5F/1 Taman Khidmat, Kolombong. Cikgu Musriani – 016-8135500

11) PASTI al-Amal, Kg Likas Kota Kinabalu. Cikgu Kasminah Sulaiman – 016-8382621

12) PASTI ar-Rahman, No 15 Jalan Raja Udang 3a, Taman Kingfisher, Likas – Cikgu Musriani – 016-8135500

13) PASTI an-Najah, No 55 Lorong 12 Fasa 1, Taman Kuala Menggatal – Cikgu Musriani – 016-8135500

14) PASTI Kg Lobou, Menggatal (Bakal dibuka 2009)

15) PASTI as-Solihin, Lorong 14 Taman Puterajaya Telipok  – Cikgu Musriani – 088-412512

16) PASTI al-Iman, Peti Surat 366 89208 Tuaran – 088-793103 (Cikgu Anisa Sakim)

17) PASTI al-Firdaus, Pekan Kota Belud D/A Datuk Ismail Gimbad, Peti Surat 147, 89150 Kota Belud – Ust Mustaqim Aling -014-8515289

18) PASTI al-Hikmah, No 45 Taman KDC, Jalan Pekan Baru 89108 Kota Marudu – Cikgu Zakaria Ali Hanafiah – 019-9745489

19) PASTI Pinggan-Pinggan, Peti Surat 441, 89108 Kota Marudu – Ust Wan 019-8808047

20) PASTI al-Furqan, Jalan Taman Tanjung Kapur, 89057 Kudat – Cikgu Samad – 013-8639117

Insya Allah akan dikemas kini dari semasa ke semasa. Masih banyak maklumat PASTI sedang dikumpul.

Dari Likas ke Lok Kawi Baru, pulang ke rumah sebentar untuk bersalin pakaian, saya keluar kembali menuju ke Masjid Nurul Hidayah Kg Bangka-Bangka, Likas.

Programnya ceramah Idul Fitri bersama masyarakat kampung.

Saya hanya mengambil masa antara maghrib dan isyak, menyebut ringkas sedikit tentang harapan Ramadhan, huraian idul fitri dan rukun Islam yang menjadi dasar fitrah itu sendiri.

Memahami falsafah syahadatain bukan semata perakuan di lidah keesaan Allah dan kerasulan Muhammad, bahkan menjadikan Islam sebagai cara hidup daripada perkara yang kecil hingga perkara yang besar.

Daripada urusan tandas sehingga ke pemerintahan dan hubungan antarabangsa, daripada bangun tidur hingga tidur semula, Islamlah kesemuanya.

Ada orang hanya Islam ketika di masjid, tetapi keluar masjid ‘sapu’ kasut orang, merempit di jalanraya, merasuah polis trafik lalu menipu pula di pasar.

Keduanya, bab solat yang tidak boleh ditinggal langsung. Biarlah solat kita ditunaikan dalam keadaan apa sekalipun, tak kiralah buat permulaan, lambat atau qadha tetapi jangan langsung tak buat.

Lepas tu perbaikilah sehingga ia benar-benar sempurna.

Puasa, zakat dan haji tidak sempat dihurai. Sambung tahun depan, tu pun kalau sudi dijemput lagi.

Kira-kira 50 orang hadir termasuk kaum ibu di ruang sebelah kanan masjid.

Terima kasih kepada Pengerusi, Imam Qaryah dan seluruh jamaah yang mendengar ceramah.

Semoga ada manfaatnya.

KENDURI BABY BARU DI LOK KAWI BARU

Selesai makan-makan di rumah Ust Hj Nahar di Likas, kira-kira 20 minit kemudian saya minta izin tuan rumah untuk ke Kg Lok Kawi Baru.

Saya ada berjanji dengan Saudara Suraip Hassan, bilal di Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi Baru untuk hadir ke rumahnya selepas asar Ahad. 

Beliau menjemput saya ke majlis  kenduri kesyukuran sempena kelahiran cucu beliau.

Dari Likas pada jam 3.50 petang, kami tiba setengah jam kemudian.

Lambat 20 minit sebagaimana janji awal.

Saya terharu melihat penduduk kampung khususnya tuan rumah sabar menanti kehadiran saya dan enggan memulakan majlis walaupun mereka menanti sejak selepas solat Asar lagi.

Sepertimana di tempat-tempat lain, majlis kesyukuran yang dipanggil ‘potong jambul’, dimulakan dengan bacaan barzanji.

Saya diberi penghormatan memulakan bacaan rawi pertama.

Heh.. sumbangnya. Lama sungguh saya meninggalkan barzanji ni.

Dahulu zaman sekolah adalah juga belajar dengan Ust Hj Ghazali Sulaiman.

Rasanya tahun ini baru sekali inilah saya ‘menyumbangkan’ barzanji.

Dulu-dulu pun sumbang juga.

Selepas itu marhaban sambil si baby comel bernama Muhammad Aqil Asyraf dibawa menghadap semua hadirin untuk dipotong rambut.

Aqil kini baru berusia sebulan lebih.

Sebelum doa dibaca, saya dipohon mentahnik atau melakukan upacara ‘belah mulut’.

Sambil kami makan, sekumpulan anak muda kampung ini yang menamakan diri mereka ‘REMAJA KOMPANG NURUL IKHLAS KAMPUNG LOK KAWI BARU’ mengambil tempat, menghiburkan kami dengan paluan kompang.

Saya hargai kesungguhan anak-anak muda ini, sambil mereka berkompang, mereka juga adalah tonggak harapan kampung yang selalu menghadirkan diri ke masjid setiap hari. Alhamdulillah.

Saya bisikkan kepada bapa baru seorang muallaf – yang namanya serupa nama saya – agar membotakkan rambut bayinya menurut sebagaimana yang disyariatkan.

“Ya Allah, fahamkan dia dalam urusan agama, dan mahirkan dia dalam ilmu ta’wil”. Amin.

%d bloggers like this: