Beberapa minit berada di bilik penginapan masing-masing, kesemua ahli keluarga berkumpul beramai-ramai kesemuanya, menikmati juadah tengahari.

Sebagaimana yang telah dipesan beberapa hari sebelum berangkat, setiap keluarga dikehendaki membawa juadah tengahari masing-masing dan dikumpul untuk dinikmati bersama setiba di Zen Resort ini.

Seronok melihat semua ahli keluarga duduk santai bersama-sama, membentang tikar dan suratkhabar, duduk bersila, sambil melihat telatah anak-anak kecil merengek meminta itu dan ini.

Bak kata abang Jamil, payah nak memilih menu kerana pilihan yang terlalu banyak.

Syukur alhamdulillah atas nikmat rezeki makanan yang begitu banyak.

Tidak lupa nikmat menghirup udara segar kundasang yang sangat nyaman dan menyegarkan.

Resort ini lokasinya tidak jauh dari Pekan Kundasang.

Jika saudara berada di laluan utama di Kundasang, sebelum bertemu simpang menuju ke Masjid Jamek Pekan Kundasang dan Hotel Perkasa, kita akan bertemu terlebih dahulu satu simpang di kanan yang menunjukkan arah ke resort ini.

Bergerak perlahan dengan kenderaan tidak sampai 5 minit, kita akan bertemu dengan gerbang dan tanda nama resort ini.

Selesai makan, solat jamaah zuhur + asar didirikan dipimpin oleh Ust Nor Azamuddin.

Selepas ini, kesemua rombongan akan bertolak ke Sungai Moroli Kg Luanti untuk menikmati durian dan mandi-manda di sana pula.