Setiap malam rabu dan malam jumaat, selepas isyak, saya ada kelas mengajar al-Quran. Kelas ini sudah berlangsung lebih tiga tahun sejak bertugas di Masjid Negeri lagi.

Dua orang yang setia mengaji itu ialah abang Pozi dan isterinya.

Ketika dipindahkan sekejap di Istana selama setahun empat bulan pun, kelas itu tetap berjalan seperti biasa.

Petang khamis lepas, saya agak keletihan. Fikiran saya hendak menangguhkan kelas kerana hanya tiba di rumah jam 7 malam. Hendak menelefon abang Pozi, celcom saya pula disekat panggilan keluar.

Lambat bayar punya hal.

Tidak lama, abang Pozi menelefon mengesahkan kelas malam itu berjalan seperti biasa. Saya pula tidak tergamak membatalkannya.

Setiba di surau, rupanya abang Pozi pun ada niat yang sama hendak menangguhkan kelas, cuma sama seperti saya. Mulut bagai terkunci untuk mengatakan tidak.

Teringat nasihat Ust Hj Muchlish. Katanya, buatlah kebaikan ketika hati tak mahu.

Sebab, ketika kita mahu melakukannya, kita memang melakukannya. Jadi ketika tidak mahu melakukannya, ketika itulah kita lawan supaya melakukannya. 

Jadi setiap masa kita akan melakukan kebaikan.